Selasa, 10 Julai 2012

Tendang isteri kerana bebanan hutang

  Suami didakwa pukul isteri kerana bebanan hutang
Hamid termenung selepas dibawa keluar dari Mahkamah Majistret, kelmarin.
KOTA BHARU: “Saya sangat tertekan dengan beban hutang yang semakin banyak dan secara tidak sengaja mencederakan isteri saya,” kata seorang peniaga di Mahkamah Majistret, di sini, kelmarin ketika dihadapkan terhadap tuduhan mencederakan isterinya, April lalu.

Tertuduh, Hamid Hamad, 44, mengaku menendang isterinya di bahagian belakang badan wanita terbabit, April lalu.

Majistret Mohd Asri Abd Rahman Sidik bagaimanapun menetapkan 12 Ogos ini untuk jatuh hukum.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Hamid didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Rohana Mohd Zin , 40, dengan menendang bahagian belakang badan mangsa di sebuah rumah di Kampung Lata Janggut, Batu Melintang, Jeli antara jam 7.30 malam hingga jam 10 malam, 8 April lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa , Inspektor Adilla Othman menawarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Hamid yang tidak diwakili peguam dikenakan jaminan minimum kerana dia sudah insaf dengan perbuatannya.

“Insya-Allah saya berjanji tidak akan mencederakan isteri sekiranya jaminan ini dibenarkan walaupun kami masih tinggal bersama,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 berserta syarat tambahan tidak dibenarkan mencederakan isterinya./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan