Isnin, 16 Julai 2012

Ditumbuk tunang sendiri

REMBAU: Seorang ibu tidak dapat menutup perasaan kesal, kecewa dan marahnya apabila anak keempatnya cedera akibat ditumbuk tunangnya sendiri di rumah mereka di Kampung Bongek, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, mangsa, Nina (bukan nama sebenar), 18, yang ditumbuk di bahagian dahi sebelah kanan menerima tiga jahitan dan mata sebelah kiri bengkak.

Ibu mangsa yang berusia 40-an berkata, dia mengetahui kejadian itu kira-kira 11 malam ketika ingin tidur di asrama tempat kerjanya di Seremban.

“Ikutkan anak, dia tidak mahu saya mengetahui hal ini kerana tidak mahu saya bimbang, namun saya mengetahui daripada rakannya yang berada di Jelebu.

“Sebagai ibu, saya sangat kesal kerana tidak pernah mengakibatkan anak saya cedera teruk dan saya juga tidak mahu hubungan pertunangan ini diteruskan selagi tunang anak tidak mahu berubah,” katanya ketika ditemui di perkarangan Hospital Tampin (HT), semalam.

Berikutan kejadian itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membantu membuat laporan di Balai Polis Chembong.

Aziah berkata, dalam masa terdekat ini, dia akan pergi berjumpa keluarga sebelah lelaki yang berusia 20-an itu untuk berbincang mengenai insiden kali ketiga yang berlaku ke atas anaknya.

“Malah, semasa pergaduhan juga anak saya sudah memulangkan kembali cincin pertunangan mereka," katanya.

Sementara itu, jiran mangsa, Laila (bukan nama sebenar), 18, berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah dan terdengar rakannya itu menjerit meminta tolong memanggil namanya.

Menurutnya, dia bergegas pergi ke rumah rakannya dan melihat kepala rakannya berdarah sambil menahan kesakitan kerana ditumbuk tunangnya.

“Pada masa itu, tunang Nina ada di hadapan pintu rumah dan kelihatan berdiri bersahaja. Saya yang ketakutan bergegas memanggil keluarga dan menghantar Nina ke HT," katanya.

Manakala, Nina yang masih lagi ditahan di HT bagi rawatan lanjut berkata, dia hanya menyerahkan hal berkenaan kepada kedua-dua belah keluarga memandangkan ianya sudah masuk kali ketiga diperlakukan seperti itu.

“Bagaimanapun, saya masih sayang dengan perhubungan ini lebih-lebih lagi kami sudah berkenalan agak lama iaitu lebih dua tahun dan sudah mengikat tali pertunangan," katanya./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan