Jumaat, 13 Julai 2012

Didakwa cabul peniaga wanita dalam kedai

KUANTAN: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan mencabul seorang peniaga wanita dalam sebuah kedai di sini, kelmarin.

Tertuduh yang berusia 58 tahun dari Lorong Teruntum, Jalan Haji Junid di sini bagaimana pun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd Nazari di hadapan Majistret Rini Triany Muhammad Ali.

Tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah kepada pemilik kedai lampu hiasan berusia 45 tahun itu dengan maksud mencabul kehormatan wanita itu kira-kira jam 7.30 malam, 8 Julai lalu.

Kejadian berlaku dalam premis perniagaan wanita terbabit yang terletak di Jalan Tun Ismail 1, di sini. Disebabkan perbuatannya itu, tertuduh dihadapkan ke mahkamah itu dan didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh juga tidak mengaku salah terhadap satu lagi tuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatang kecederaan kepada pengadu yang sama menggunakan tangan pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam ditawarkan jaminan sebanyak RM4,000 oleh pihak pendakwaan bagi kedua-dua tuduhan bagaimana pun jumlah itu dikurangkan kepada RM2,500 selepas dia membuat rayuan.

Dalam rayuannya tertuduh memberi alasan dia hanya mempunyai pendapatan RM3,000 sebulan dan terpaksa menanggung tiga tanggungan.

Dalam prosiding mahkamah itu semalam, suasana dalam kamar agak kecoh apabila tertuduh berkeras untuk menerangkan kejadian sebenar kepada mahkamah.

Sedangkan mahkamah sebelum itu menjelaskan bahawa tertuduh boleh berbuat demikian melalui peguam yang akan dilantik dalam perbicaraan kes itu kelak.

Mahkamah menetapkan 2 Ogos depan untuk mendengar sebutan lantikan peguam berhubung kes tersebut./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan