Ahad, 18 Mac 2012

Pelajar tawar seks cari modal gugur janin

KULIM: “Untuk mendapatkan pil menggugurkan kehamilan, saya terpaksa melakukan hubungan seks dengan beberapa kenalan lain bagi mendapatkan modal,“ itu kata seorang pelajar tingkatan lima di sini yang terpaksa menawarkan khidmat seks.

Pelajar tingkatan lima yang hanya mahu dikenali dengan nama Shasha berkata, dia terpaksa bertindak sedemikian selepas teman lelakinya ketika itu bersikap lepas tangan sehingga dia terpaksa menempuh pelbagai masalah seorang diri.

Menurutnya, selain disahkan hamil dia juga hampir dibuang sekolah gara-gara sikap teman lelakinya ketika itu.

“Pil itu (gugurkan kandungan) terbahagi kepada dua jenis. Empat biji dimakan serta-merta manakala empat biji lagi dimakan selepas 12 jam. Harga pil ini sekitar RM350 hingga RM400.

“Untuk mendapatkan wang saya akan berjumpa seorang rakan lain dan meminta dia memperkenalkan diri saya kepada beberapa pelanggan atau kenalannya," katanya.

Shasha berkata, dia akan mengenakan bayaran sekitar RM100 setiap kali bersama mereka. Dengan duit itulah dia akan membeli pil.

Menurutnya, pil itu hanya berkesan bagi kandungan bawah tiga bulan. Setelah memakan pil, dia akan berasa sakit perut dan memulas untuk beberapa jam dan akan datang haid semula seperti biasa selepas itu.

Segala kesengsaraan itu terpaksa dialaminya sendiri dan bermula dari detik itu, dia menjadi takut untuk menjalinkan hubungan dengan lelaki dan mengubah selera kepada kaum sejenis.

Shasha berkata, dia menjalinkan hubungan cinta sejenis sejak setahun lalu. Namun sehingga kini keluarganya tidak mengetahui perkara itu.

Menurutnya dia dan kekasihnya yang hanya mahu dikenali sebagai Faiz akan tidur di rumahnya setiap hujung minggu.

“Cara ini lebih senang, ibu bapa tidak tahu kami sedang bercinta. Mereka akan menyatakan kami perempuan dan adalah lebih baik saya melepak dalam bilik dengan seorang kenalan perempuan dari keluar bersama teman lelaki. Saya jadi fobia untuk berkawan dengan lelaki kerana banyak keburukannya.

“Bagi saya bercinta sesama jenis lebih baik kerana ibu bapa tidak akan dapat mengesan perlakuan atau hubungan seks yang kami lakukan selain itu, ia tidak akan mengakibatkan saya hamil seperti dulu,” katanya./sinarharian

Lari dari asrama, gadis dirogol kekasih

BESUT: Gara-gara melarikan diri dari asrama sebuah sekolah menengah di Tanah Merah, Kelantan menyebabkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga dirogol teman lelakinya sendiri.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, pelajar perempuan yang berasal dari Kemahang, Tanah Merah Kelantan itu telah melarikan diri dari asrama tersebut bersama kekasihnya.

Menurutnya, mangsa menaiki sebuah kereta Perodua Viva yang disewa lelaki itu kemudian dibawa ke rumah kekasihnya di Kampung Gong Pasir, Kerandang dekat Jabi.

“Suspek membawa mangsa ke rumahnya pada 4 Mac lalu pada jam 7 petang dan pada petang esoknya suspek dikatakan telah memujuk mangsa kemudian merogolnya di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan,” katanya.

Kamaruddin berkata, keluarga mangsa yang melihat perubahan pada mangsa telah bertanya kepadanya, menyebabkan mangsa menceritakan apa yang berlaku.

Mangsa kemudiannya ditemaninya keluarganya kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Raja kelmarin./sinarharian

Sabtu, 17 Mac 2012

Buruh Indonesia dijumpai mati di bunuh

MARAN: Seorang buruh ladang warga Indonesia dijumpai mati dalam keadaan berlumuran darah di sebuah ladang kelapa sawit di Felda Jengka 14, dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Maran, DSP Ahmad Johari Sahabuddin berkata, mayat mangsa dikenali sebagai Marwan, 36, berasal dari Lombok dijumpai orang awam pada pukul 2.30 petang.

"Hasil pemeriksaan, polis mendapati terdapat beberapa kesan tikaman pada leher dan bahagian badan mangsa dipercayai akibat senjata tajam. Namun senjata yang digunakan tidak ditemui.

"Polis difahamkan mangsa baru setahun bekerja di ladang tersebut dan menerusi maklumat awam sebelum kejadian mangsa dipercayai keluar dengan beberapa rakannya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Susulan kejadian itu polis menahan tiga lelaki berumur antara 27 dan 35 tahun, manakala seorang lagi masih diburu bagi membantu siasatan kes tersebut, katanya./Bernama

Serah tubuh dapat top-up

KULIM: Perbuatan tidak bermoral. Begitulah yang dapat digambarkan mengenai kegiatan seorang remaja perempuan yang sanggup menyerahkan tubuhnya hanya untuk mendapatkan tambah nilai prabayar (top-up).

Sinar Harian difahamkan, modus operandi digunakannya adalah dengan cara berbaik dengan pekerja di stesen minyak yang bertugas hampir setiap malam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, remaja yang berusia 17 tahun itu akan pergi ke kaunter berpura-pura untuk membeli barang sebaliknya menyelak pakaian dan membenarkan pekerja berkenaan meraba buah dadanya.

“Dia juga sanggup melayan nafsu seks pekerja ini di bilik air yang terletak di belakang stesen. Namun, kegiatannya itu dapat dihidu pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, dari siasatan dijalankan mendapati remaja itu tidak bersekolah atau bekerja dan sering dilihat berkeliaran di sekitar kawasan stesen minyak pada awal pagi.

“Dia juga akan diberi gula-gula getah secara percuma selepas memberikan layanan seks. Kes ini terbongkar apabila pengusaha stesen minyak sering mengalami kerugian di antara RM400 hingga RM500 sebulan melalui mesin penambah nilai prabayar di stesen minyak setiap bulan,” katanya.

Ghuzlan berkata, polis boleh membuat siasatan terhadap perlakuan pecah amanah yang dilakukan pekerja itu kerana memberikan tambah nilai prabayar secara percuma kepada remaja terlibat sekiranya ada laporan polis dibuat.

“Walaupun kesal melihat anak muda menjual maruah sebegitu rupa, namun disebabkan remaja terbabit bukan di bawah umur, perlakuan seks yang dilakukan dianggap sebagai suka sama suka. Melainkan remaja itu membuat laporan polis di mana petugas stesen minyak itu bertindak kasar atau cuba merogolnya, maka kes ini diklasifikasikan sebagai rogol,” katanya./sinarharian

Mayat lelaki terapung dalam kolam ikan

KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemui mati terapung di dalam sebuah kolam ikan di Jalan Kolam Air, Kuala Kubu Baharu pukul 2.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Norel Azmi Yahya Afendy berkata, terdapat kesan tetakan senjata di bahagian tangan kiri dan kanan belakang kepala mangsa.

"Ketika pihak bomba menaikkan mayat mangsa kira-kira pukul 4.20 petang, mendapati mangsa turut diikat dengan batu besar di bahagian pinggang dan leher, bertujuan untuk menenggelamkan mangsa,” katanya dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini, hari ini.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identiti mangsa dan punca kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh./Bernama

Pekerja swasta mati dipercayai ditikam suami

KUALA LUMPUR: Seorang wanita ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di bahagian badan serta luka di tangan dipercayai dibunuh suaminya di ruang tamu rumah di Pangsapuri Permai, Sungai Besi di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata dalam kejadian 6.41 petang, wanita berusia 28 tahun itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah akibat daripada kesan tikaman.

"Mangsa merupakan seorang pekerja swasta yang tinggal di pangsapuri berkenaan dalam tiga ke empat bulan lepas telah dibunuh di dalam rumah itu dan polis tidak menolak kemungkinan ia dilakukan oleh suami mangsa.

"Ketika polis tiba di tempat kejadian, seorang lelaki berusia 42 tahun iaitu suami mangsa berada berhampiran tubuh isterinya yang sudah tidak bernyawa," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, siasatan awal polis menemui sebilah pisau dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

"Kita jumpa sebilah pisau di dalam sebuah bilik di sebelah ruang tamu rumah sementara siasatan yang dilakukan ke atas mayat wanita terbabit pula mendapati kesan luka di bahagian tangannya itu kerana mempertahankan dirinya semasa kejadian.

Mohan berkata polis masih menyiasat punca sebenar kejadian bagaimanapun tidak menolak ia berpunca daripada perselisihan faham suami isteri.

Katanya mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat dan suspek ditahan reman bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan./Bernama

Jumaat, 16 Mac 2012

Jurulatih pengakap hadapi 2 lagi tuduhan cabul

KUALA LUMPUR: Seorang jurulatih pengakap menghadapi dua lagi tuduhan mencabul pelajar-pelajarnya berusia 13 dan 14 tahun yang diletakkan di bawah penyeliaannya.

Ho Lee Fong, 44, mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini pagi ini dan meminta agar dia dibicarakan.

Dia dituduh mencabul dua pelajar di sebuah bilik di Sunway SPK Damancara di sini awal Jun lalu.

Pada 1 Mac lalu, Lee Fong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan mencabul lapan pelajar.

Laporan media bulan lalu menyebut jurulatih itu yang diberi tanggungjawab melatih 300 ahli Pergerakan Pengakap sebuah sekolah menengah, didakwa mencabul lebih 10 pelajar perempuan dengan memegang dada, kemaluan dan punggung mangsa.

Difahamkan, lelaki terbabit dipertanggungjawabkan melatih pelajar berusia antara 13 dan 14 tahun di sekolah berkenaan sejak 2008.

Perbuatan itu terbongkar 8 Februari lalu selepas seorang mangsa dicabul mengadu kepada bapanya sebelum mereka membuat laporan di Balai Polis Sri Damansara./sinarharian

Penjaja didakwa cabul remaja 14 tahun

GEORGETOWN: Seorang penjaja berdepan dengan hukuman penjara 10 tahun, denda dan sebatan selepas didakwa mencabul kehormatan seorang remaja pada 12 Mac lalu.

Tan Seng Hooi, 56, dari Gerbang Erskine didakwa melakukan kesalahan itu di dalam sebuah bilik tidak bernombor di tingkat bawaH Blok 16-A, Taman Teguh, Jalan Gerbang Erskine disini.

Mengikut pertuduhan, Seng Hooi didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan mencabul kehormatan remaja perempuan berusia 14 tahun antara jam 12.30 tengah hari hingga 1 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana antara dua, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Seng Hooi mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Noor Aini Yusof.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Hashim menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.

Namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan itu dikurangkan.

Noor Aini membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 April ini untuk sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam./sinarharian

Khamis, 15 Mac 2012

Guru didakwa edar gambar lucah

KUALA LUMPUR: Seorang guru bahasa Inggeris mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang di sini atas pertuduhan mengedar gambar lucah kepada seorang remaja, dua tahun lepas.

C. Shanmuga, 32, didakwa mengedar gambar lucah kepada seorang remaja perempuan berumur 18 di Jalan GU 3/10, Taman Garing Utama, Rawang di sini antara 21 April hingga 27 April, 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 293 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Mohd Isa Nor membenarkan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Mei 2012 sebagai tarikh sebutan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya S. Arunjothy manakala Shanmuga diwakili JRV. Ramjahen dan S. Satheesan./Bernama

Rabu, 14 Mac 2012

Cabul remaja bawah umur, lelaki 38 tahun dipenjara

Bersalah cabul remaja bawah umur sembilan tahun lalu
KUALA TERENGGANU: Mahkamah Majistret di sini, semalam menjatuhkan hukuman denda RM10, 000 dan penjara 10 bulan ke atas seorang lelaki setelah didapati bersalah mencabul seorang remaja bawah umur dan memecah masuk kediaman mangsa kira-kira sembilan tahun lalu.

Tertuduh, Kamal Juhan, 38, hanya tunduk ketika Majistret, Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman ke atasnya selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK) kerana mencabul dan Seksyen 457 KK kerana pecah rumah.

Mengikut pertuduhan pertama, Kamal didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan mencabul kehormatan mangsa yang ketika kejadian berusia 17 tahun di Kampung Surau Haji Daud, di sini, kira-kira jam 2.50 pagi pada 13 Ogos 2003.

Bagi pertuduhan itu, Abdul Hayyi menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau 10 bulan penjara sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.

Sementara itu, Kamal yang didakwa memecah masuk kediaman mangsa dengan masuk melalui tingkap rumah di alamat dan tarikh sama kira-kira jam 2.30 pagi turut dijatuhi hukuman penjara selama 10 bulan dan Abdul Hayyi memerintahkan hukuman berkenaan dijalankan bermula dari tarikh sabitan.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang memecah kediaman mangsa yang ketika itu berusia 17 tahun kira-kira jam 2.50 pagi pada 13 Ogos 2003 dan bertindak memukul mangsa atas alasan mahu membalas dendam.

Tertuduh bertindak mencabul mangsa dan mengugut akan mencederakan mangsa sekiranya mangsa enggan menuruti kehendaknya.

Mangsa cuba menjerit meminta tolong tetapi gagal disebabkan tertuduh menutup mulutnya dengan tangan.

Ketika kejadian, ibu bapa mangsa tidak berada di rumah dan dia hanya tinggal bersama adiknya. Bagaimanapun, perbuatan itu tidak disedari adiknya sebelum mangsa membuat laporan selepas tertuduh beredar dari kediamannya, tertuduh berjaya ditahan pada 18 Ogos 2003.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam./sinarharian