Jumaat, 22 Mac 2013

Warga Vietnam dirogol dalam kejadian samun

SEREMBAN – Seorang wanita warga Vietnam bukan sahaja menjadi mangsa samun malah dirogol dalam satu kejadian di Taman Semarak, Nilai, dekat sini, Sabtu lalu.

Mangsa yang berusia 20-an dan sudah berkahwin itu disamun dua lelaki warga tempatan yang memecah masuk rumahnya sebelum salah seorang suspek bertindak merogol mangsa.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa bersama suaminya berusia 39 tahun dan warga tempatan itu baru pulang selepas bertemu rakannya di sekitar bandar Nilai.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, sebaik tiba di rumah, si suami menurunkan isterinya di hadapan rumah berikutan mahu ke kedai makan berhampiran.

“Kira-kira setengah jam kemudian, suami mangsa pulang dan melihat isterinya sedang diseret dua lelaki di kawasan belakang rumah.

“Suami mangsa kemudiannya cuba melanggar kedua-dua suspek dengan kereta yang dipandunya namun gagal,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurutnya, kedua-dua suspek bertindak melarikan diri dengan motosikal yang diletakkan berhampiran dengan rumah mangsa.

“Hasil siasatan kita mendapati kedua-dua suspek telah memecah masuk rumah mangsa ketika suami isteri itu tiada di rumah.

“Mangsa juga mendakwa dirogol salah seorang suspek dan mengalami kerugian hampir RM6,000 berikutan barang kemas miliknya dibawa lari penjenayah itu,” katanya.

Mohd Yusoff berkata, pihaknya berjaya menahan kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 20-an itu di sekitar kawasan Pajam, Nilai, di sini, kelmarin.

“Kedua-dua suspek ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah samun dan rogol,” katanya./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan