Khamis, 7 Mac 2013

Isteri nekad tikam suami

SHAH ALAM: Tidak tahan kerana sering diungkit, seorang wanita nekad menikam suaminya sehingga mati dalam kejadian di sebuah rumah Taman Bukit Kinrara, Puchong, kelmarin.


Selepas menikam suaminya, wanita berusia 27 tahun itu memaklumkan kejadian tersebut kepada rakan karib mangsa.


Rakan suaminya itu kemudiannya menghubungi polis, kira-kira jam 2.30 pagi bagi memaklumkan kejadian tersebut.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, pemeriksaan mendapati mangsa berusia 25 tahun maut selepas ditikam dengan pisau di bahagian dada.


“Pasangan suami isteri itu merupakan warga Myanmar dan mereka mula tinggal di sini sejak setahun lalu.


“Siasatan mendapati suspek tidak dapat menahan marah kerana suaminya sering mengungkit perkara yang tidak baik terhadap keluarganya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.


Dalam perkembangan lain, seorang isteri dibunuh kejam di mana mangsa dibakar dan melecur hampir 45 peratus dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Air Hitam, Bandar Country Homes Rawang, Sabtu lalu.


Mangsa, warga Indonesia, berusia 34 tahun ditemui tertiarap di atas katil, kira-kira jam 3.20 petang.


“Ada kesan bakar di muka, tangan dan belakang badan mangsa. Sebuah botol yang mempunyai kesan minyak petrol juga ditemui.


“Kita menahan suami mangsa, seorang warga Indonesia berusia 55 tahun dipercayai terlibat dalam pembunuhan tersebut,” katanya.


Mohd Adnan berkata, motif kejadian masih disiasat dan suspek ditahan reman sehingga Sabtu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan