ANGGOTA polis mengangkat motosikal ditunggang Zamzarmi yang mati ditembak dalam kejadian samun di Alor Setar kelmarin.
ALOR SETAR: Seorang penyelia sebuah syarikat feri maut selepas ditembak dalam kejadian samun melibatkan wang hasil jualan tiket sebanyak RM12,500 di Taman Seri Putra Fasa 3, Kuala Kedah di sini kelmarin.
Kejadian pukul 7.30 malam itu mengakibatkan Zamzarmi Ghazali, 36, (gambar) maut selepas ditembak sebanyak tiga kali dari jarak dekat masing-masing di dada dan perut ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Desarina, Kuala Kedah.
Ketika itu, dia sedang menunggang motosikal jenis Yamaha Nuovo selepas mengambil wang hasil jualan tiket tersebut di Terminal Feri Kuala Kedah.
Sebaik tiba di satu deretan bangunan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya, mangsa telah didatangi dua individu menunggang motosikal dengan memakai topi keledar berpenutup penuh. Mereka dipercayai telah mengekori mangsa dari terminal feri.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan memberitahu, salah seorang suspek kemudian telah menembak mangsa sebanyak tiga kali dari jarak dekat sebelum melarikan wang RM12,500 yang dibawa lelaki itu.
Katanya, suspek masih diburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, Pengurus Ferryline Ventures, Hussin Hassan, 51, memberitahu, ketika kejadian, mangsa membawa hasil jualan tiket feri yang diperoleh sejak kelmarin.
“Saya dan Allahyarham bergilir-gilir membawa pulang hasil jualan tiket. Wang itu akan dimasukkan ke bank keesokan harinya,” ceritanya.
Tambahnya, dia sepatutnya membawa pulang wang itu tetapi Zamzarmi mahu mengambilnya sendiri sebelum keluar pada pukul 7.10 petang.
Isteri mangsa, Faradina Ghazali, 32, berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, dia mendapati suaminya sudah tidak sedarkan diri dan meninggal dunia di situ.
“Dia telah bekerja di situ sejak 15 tahun lalu dan pernah membawa pulang wang hasil jualan tiket sebanyak RM200,000 tetapi tidak pernah disamun,” ceritanya yang mempunyai empat anak berusia di antara tiga dan 10 tahun./kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan