Sabtu, 30 Julai 2011

Mayat bayi di tepi lebuh raya

SEREMBAN: Seorang penunggang motosikal yang dalam perjalanan dari Muar, Johor ke Kuala Lumpur terkejut apabila menjumpai mayat seorang bayi lelaki semasa sedang berhenti rehat di bawah sebuah jejambat di Kilometer 282.4 Lebuh Raya Utara - Selatan, berhampiran susur masuk Nilai, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, Azmi Talib, 44, bersama rakannya berhenti di tepi lebuh raya itu sebelum terlihat sebuah beg tangan wanita berwarna hitam di bawah jejambat berkenaan.

Disebabkan rasa curiga, Azmi berkata, dia kemudian mendapatkan beg berkenaan sebelum membukanya.

“Sebaik membuka beg tersebut, saya terlihat satu objek yang dibalut dengan tuala putih.

“Saya cuba memegang objek berkenaan tetapi terasa sesuatu yang lembik. Namun, saya terperanjat apabila melihat kaki bayi terkeluar di hujung tuala berkenaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi penemuan mayat bayi berkenaan, semalam.

Panik dengan penemuan itu, Azmi berkata, dia pergi ke tepi lebuh raya dan menahan sebuah kereta peronda Plus yang kebetulan berdekatan dengan lokasi kejadian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd. Yusoff Awang berkata, buat masa ini, polis belum mempunyai sebarang maklumat lengkap berhubung penemuan itu termasuk punca kematian bayi berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, bayi berkenaan dipercayai berbangas Melayu dan baru saja dilahirkan kerana masih terdapat tali pusat.

“Kita juga menjumpai satu bungkusan plastik yang mengandungi uri tidak jauh dari lokasi mayat bayi berkenaan dijumpai,” katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Berikutan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung ke jadian itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan