Khamis, 28 Julai 2011

Lelaki dijel lapan tahun, sebat

MUHAMAD HAFIZ diiring keluar dari Mahkamah Sesyen Kuantan selepas dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan semalam.

TEMERLOH: Kesengsaraan dua beradik yang melecur teruk selepas disimbah cuka getah oleh seorang buruh ladang sedikit terubat apabila Mahkamah Sesyen di sini semalam memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan.

Hakim Dazuki Ali memerintahkan Mohammad Hafiz Ismail, 31, menjalani hukuman itu selepas berpuas hati dengan pengakuan bersalah tertuduh terhadap dua dakwaan kerana mencederakan Syafiq Haikal Mat Safa Zaidi, 13, dan adiknya, Syaffiy Aiman, 10.

Kesalahan itu dilakukan berhampiran rumah No. 149, Felda Jengka 9 pada pukul 7.30 malam hingga 8.30 malam, 19 Julai lalu.

Ketika diminta mengulas mengenai hukuman tersebut, ibu mereka, Ruhasimah Julaili Mansor, 33, menyifatkan ia tidak setimpal jika dibandingkan dengan kesengsaraan yang akan ditanggung seumur hidup anaknya.

Katanya, hukuman itu agak ringan dan tidak memadai berbanding perbuatan kejam itu.

“Saya sukar terima keputusan itu kerana dua anak saya yang masih kecil. Selain menderita mereka juga mengalami trauma hingga ke akhir hayat ekoran perbuatan tidak berperikemanusiaan lelaki itu,” luahnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Lebih membuatkannya terkilan ialah dia mendakwa ibu tertuduh yang juga jiran mereka langsung tidak pernah menjenguk dua anaknya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) apatah lagi memohon maaf di atas kesalahan tertuduh.

Suami Ruhasimah, Mat Safar Zaidi Che Sam, 33, pula merasakan hukuman tersebut tidak berbaloi dan boleh menyebabkan tertuduh mengulanginya.

“Saya akan berbincang dengan ahli keluarga untuk membuka semula fail kes bagi memastikan nasib anak saya benar-benar terbela,” katanya.

Dalam prosiding semalam, tertuduh yang berbadan kurus didakwa dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Tuduhan pertama ialah menyebabkan kecederaan parah kepada Syafiq Haikal dengan menyimbah cecair disyaki cuka getah di muka dan badan. Bagi tuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mencederakan Syaffiy Aiman dengan cecair yang sama.

Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara 20 tahun, denda atau sebat.

Mohammad Hafiz yang tidak diwakili peguam merayu hukuman terhadapnya dikurangkan tetapi dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Rashidi Abd. Rahim.

Dazuki kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan dan mengarahkannya berjalan serentak.

Mengikut fakta kes, kedua-dua mangsa telah disimbah cuka getah di muka dan badan ketika melalui depan rumah tertuduh ketika mereka menunggang motosikal untuk ke rumah rakan bagi mengulangkaji pelajaran.

Dua beradik itu masih lagi dirawat di HKL dan selepas menjalani pembedahan, kulit mati pada tubuh mereka telah dibuang sebelum dibalut./kosmo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan