RANTAU PANJANG: Penduduk setempat gempar dengan penemuan mayat seorang lelaki dipercayai berusia sekitar 40 tahun ditemui mati dengan kesan kecederaan leher di tebing sungai Golok berhampiran Pos Kawalan Sempadan Salleh Berek, Jeram Perdah, dekat sini, pagi ini.
Ketika ditemui penduduk kampung kira-kira jam 10.30 pagi itu, mayat lelaki tersebut lengkap berpakaian.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, identiti lelaki ini masih belum diketahui dan pihaknya tidak menemui sebarang pengenalan diri pada mayat tersebut.
Menurutnya, pihaknya masih meneruskan siasatan lanjut berhubung penemuan mayat tersebut.
“Siasatan awal kita mendapati terdapat kesan kecederaan pada leher mangsa dan kita percaya dia telah dibunuh sebelum dicampak ke dalam sungai.
”Bagaimanapun kita tidak menolak kemungkinan lelaki ini warga Thailand,” katanya ketika dihubungi di sini.
Yong Heng berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk bedah siasat dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum sampai mati.
Berikutan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi balai polis berhampiran di talian 09-7908222./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan