Jumaat, 22 Julai 2011

Kematian rakan: Lelaki diberkas polis

JOHOR BAHRU: Mayat seorang lelaki rakyat Singapura yang dilaporkan hilang setelah diculik enam bulan lepas ditemui di kawasan ladang getah di Kajang, Selangor, semalam, hasil penahanan terhadap rakan baiknya, 12 Julai lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, usaha mengesan peniaga berumur 40-an itu dilakukan oleh pasukan khas yang ditubuhkan selepas isterinya membuat satu laporan polis pada 26 Januari lepas mengenai kehilangannya.

“Polis dalam menjalankan siasatan mendapati lelaki itu telah diculik berikutan isterinya ada membuat bayaran tebusan sebanyak RM12,000 tiga minggu selepas laporan polis dibuat.

“Hasil siasatan seterusnya, polis akhirnya berjaya menjejak seorang lelaki yang merupakan rakan baik mangsa lalu menahannya di Klang, Selangor, 12 Julai lepas,” katanya kepada pemberita, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.

Mohd Mokhtar berkata, lelaki berusia 40-an itu yang merupakan rakyat tempatan membawa polis ke ladang getah terbabit semalam sebelum polis menemui satu mayat tertanam di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang menunggu laporan bedah siasat ke atas mayat berkenaan bagi mengetahui punca kematian sebenar./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan