Jumaat, 14 Disember 2012

Remaja perempuan mengaku tidak bersalah sebabkan kematian bayi

KANGAR: Seorang remaja perempuan hari ini dihadapkan ke mahkamah majistret Kangar atas tuduhan menyebabkan kematian bayi yang baru dilahirkannya pada 24 Okt lalu.

Bagaimanapun remaja berusia 17 tahun itu mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu antara jam 12.30 tengah hari dan 5.30 petang di dalam tandas di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Padang Benta dekat sini.
Remaja itu dituduh mengikut Seksyen 309A Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan itu dan boleh dihukum mengikut Seksyen 309B Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Remaja yang berbaju kurung berwarna merah putih dan bertudung merah yang diwakili peguam Pyara Singh itu memohon dibicarakan dan timbalan pendakwa raya, Noor Syazwani Mohamad Sobry memohon mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun majistret Zuhair Rosli memerintahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin sama ada ibu atau bapanya dan menetapkan 6 Feb 2013 sebagai sebutan pengurusan kes.

Remaja itu kemudiannya dibawa ke sebuah pusat tahanan di Kedah sementara menunggu jaminan itu./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan