Rabu, 19 Januari 2011

Cedera ditoreh dengan kerambit oleh pemandu teksi samseng

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan menerima 16 jahitan di tangan kanannya selepas ditoreh seorang pemandu teksi dengan kerambit hanya kerana mangsa hampir bergesel dengan teksinya, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang semalam, mangsa berusia 27 tahun terpaksa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut sejurus diserang suspek.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Junaidi, berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang memandu bersama isteri dan dua anak kecil sebelum melalui kawasan berhampiran bawah jejantas di Jalan Petaling, di sini.

Menurutnya, dia yang ketika itu sedang memandu perlahan berikutan keadaan jalan yang sibuk terpaksa memberhentikan keretanya secara mendadak selepas mendapati sebuah teksi berwarna putih dan merah hampir melanggarnya.

“Pada masa sama pemandu teksi terbabit keluar dan meluru ke arah kereta saya. Saya tidak pasti apa yang menyebabkan dia naik angin apabila dia berulang kali mengetuk dan cuba memecahkan cermin kereta saya.

Memikirkan keselamatan anak dan isteri, dia memberanikan diri keluar dari keretanya untuk mententeramkan pemandu teksi itu.

“Namun, saya tergamam apabila pemandu teksi terbabit tiba-tiba mengeluarkan kerambit dan cuba merodok perut saya, tetapi dapat dielak.

“Namun mata kerambit itu mengenai tangan kanan saya menyebabkan luka sepanjang lebih 10 sentimeter. Dalam keadaan kesakitan itu, saya sempat menendangnya bagi mengelak daripada terus diserang,” katanya./hmetro

Selasa, 18 Januari 2011

Dua beradik, rakan ditahan disyaki pecah rumah

MARANG: Tiga remaja termasuk dua beradik lelaki dan perempuan masing-masing berumur 14 dan 13 tahun yang disyaki terbabit dalam empat kes pecah rumah di sekitar Taman Perumahan Aquarius, dekat sini, berjaya ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, dua beradik itu dan rakan mereka berumur 14 tahun ditahan di rumah masing-masing pada Jumaat lalu.

"Remaja yang berusia 14 tahun dan adik perempuannnya, 13, yang tidak bersekolah itu ditahan bersama pelajar lelaki tingkatan dua yang berasal dari Chendering, Kuala Terengganu dipercayai mula aktif dalam kegiatan pecah rumah sejak November lalu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, hasil siasatan mendapati beberapa barangan curi ditemui semula antaranya televisyen 32 inci, kamera dan kamera video, peralatan komputer dan pakaian bernilai RM20,000 yang disembunyikan dalam semak berhampiran rumah dua beradik
itu.

Beliau berkata, kumpulan remaja itu dipercayai memasuki rumah mangsa melalui bumbung bilik mandi atau tandas sebelum mengumpil pintu belakang dari dalam rumah untuk mengangkut keluar barang curi ketika penghuni tiada di rumah.

Sementara itu, Ahmad Mazlan berkata, dalam 'Ops Lejang' yang diadakan semalam, polis menahan dua pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah di sini yang disyaki terbabit dalam kes kecurian motosikal di daerah itu.

"Hasil siasatan terhadap dua remaja itu, hampir semua komponen motosikal jenis Honda EX5 yang dilaporkan hilang di kawasan itu sejak Disember tahun lalu berjaya ditemui semula," katanya./Bernama

Mayat wanita rentung ditemui belakang restoran

IPOH: Seorang wanita ditemui mati dalam keadaan rentung, dipercayai dibakar penjenayah di belakang sebuah restoran di Jalan Pasir Putih di sini, jam 8 pagi tadi.

Mayat mangsa ditemui kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh di sebelah tong sampah besar.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Azisman Alias, mengesahkan penemuan mayat itu./bharian


Kes Rompak: Hakim Tidak Benarkan Bekas Pekerja Kilang Diikat Jamin

SHAH ALAM: Seorang bekas pekerja kilang tidak pernah serik walaupun pernah dua kali didakwa atas kesalahan merompak pada tahun lepas dan hari ini dia sekali lagi menghadapi dua pertuduhan merompak di dua Mahkamah Sesyen di sini.

Tertuduh, Muhamad Junaidi Alias, 20, juga gagal mendapatkan simpati Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob untuk membenarkan dia diikat jamin berikutan tertuduh pernah didakwa di mahkamah yang sama sebelum ini.

Muhamad Junaidi mengaku tidak bersalah bersama seorang lagi yang masih bebas merompak seorang jurujual, Lizasari Suwirman, 19, dengan mengambil beg tangan mangsa yang mengandungi dompet, telefon bimbit dan kad pengenalan di Jalan Besar Sri Batu Caves, Gombak, kira-kira 12.05 malam pada 9 Januari lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Salwa Asmary Abdul Rahim membantah jaminan diberikan ke atas tertuduh atas alasan kesalahan yang dilakukannya serius.

Muhamad Junaidi yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah membenarkannya diikat jamin dengan alasan ibunya telah mendaftarkan dia di sebuah sekolah agama pondok di Tapah, Perak.

"Saya duduk belakang sahaja (semasa rompakan). Kawan saya yang tarik (beg tangan mangsa)...saya tidak sedar," katanya.

Wan Mohd Norisham yang kelihatan agak berang berkata: "Awak tidak sedar tetapi saya sedar bahawa awak pernah dituduh di mahkamah saya dan ketika itu awak marah mak awak supaya mengikat jamin awak. Ini kesalahan kali berapa ini?" dan tertuduh menjawab kali ketiga.

"Saya tidak benarkan jaminan. Jangan nak buat muka kasihan dengan saya. Kalau pertama kali dituduh kita boleh beri kelonggaran," kata Wan Mohd Norisham.

Beliau kemudian menetapkan 21 Februari depan untuk sebutan bagi tertuduh melantik peguam.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, Muhamad Junaidi turut didakwa bersama-sama seorang pelajar Giat Mara, Ismaalif Putra Ismail, 22, merompak sebuah telefon bimbit milik rakan mereka, Mohammad Aiman Ramli, 23, di sebuah rumah di Kg Seri Gombak Indah, Gombak, pada 5.40 petang, 16 Disember tahun lepas.

Dalam kejadian itu mereka didakwa menggunakan topi keledar dan besi pengunci tayar serta telah menyebabkan kecederaan ke atas mangsa.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh didenda atau disebat, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Hasbi Hasan.

Muhamad Junaidi bernasib baik apabila Hasbi membenarkan dia dan Ismaalif Putra diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh melapor diri di balai polis terdekat pada Sabtu pertama setiap bulan dan menetapkan 18 Februari depan untuk sebutan melantik peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Noora Nisa Ngadirin./Bernama

Pencuri motosikal bunuh remaja untuk tutup rahsia


KOTA SAMARAHAN: Bimbang rahsia kegiatan jenayah mereka terbongkar, sekumpulan lelaki dipercayai ahli sindiket curi motosikal dan pecah rumah membelasah remaja berusia 15 tahun hingga mati sebelum menanam mayatnya dalam lubang sedalam kira-kira 0.5 meter di Kampung Pendam, Sadong Jaya.
KETUA Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Abdul Rahman Ahmad (kanan) melihat lubang di mana mayat seorang pelajar Tingkatan Tiga, Taufik Abdul Rahim,15, (gambar kecil) yang menjadi mangsa bunuh ditanam di belakang rumah seorang suspek di Kampung Pendam, Sadong Jaya. - Foto Azahan Rosli

Jenayah itu dikatakan dilakukan ahli sindiket terbabit bagi mengelakkan rahsia mereka terbongkar dan diketahui pihak berkuasa, sekali gus meletakkan mereka dalam keadaan bahaya.

Mangsa dikenali sebagai Taufik Abdul Rahim, dari Kampung Iboi, dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu ditemui dalam keadaan duduk dalam lubang cetek di belakang rumah suspek kira-kira jam 8 pagi semalam.

Pembunuhan itu terbongkar selepas polis menahan seorang lelaki berusia 19 tahun ketika menunggang motosikal milik remaja berkenaan di sekitar kawasan kampung berkenaan beberapa jam sebelum mayat mangsa ditemui.

Suspek yang juga penganggur membawa polis ke lokasi mayat mangsa ditanam, di belakang rumahnya selepas disoal siasat polis.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Abdul Rahman Ahmad berkata, mangsa dilaporkan hilang pada Sabtu lalu ketika ke kedai membeli barang keperluan dapur dengan menunggang motosikal Modenas Kris milik abangnya.

Katanya, bapa mangsa membuat laporan polis pada jam 1.30 tengah hari kelmarin dan polis yang menjalankan siasatan tidak menunggu lama untuk menyelesaikan kes itu apabila menahan seorang lelaki menunggang motosikal mangsa di sekitar Kampung Pendam.

Beliau berkata, suspek yang tinggal berseorangan dipercayai mengenali mangsa dan berdasarkan siasatan awal, remaja berkenaan dibunuh kerana mengetahui kegiatan suspek bersama beberapa lelaki lain yang terbabit dalam aktiviti mencuri motosikal dan pecah rumah di sekitar kawasan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa dibelasah menggunakan kayu sebelum mayatnya ditanam dalam keadaan duduk di dalam lubang sedalam 0.5 meter di belakang rumah suspek,” katanya.

Katanya, siasatan dijalankan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di lokasi mayat ditemui mendapati mangsa berpakaian lengkap itu mempunyai kesan luka di kepala.

Abdul Rahman berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat manakala suspek ditahan untuk membantu siasatan.

Katanya, polis menjejaki lima lagi suspek berusia 30-an yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan itu./hmetro

Dibelasah polis palsu

 BANDARAYA MELAKA: Seorang remaja yang trauma selepas dia dan rakannya dibelasah teruk oleh empat lelaki yang menyamar sebagai anggota polis di Kelana Jaya, Selangor, awal bulan lalu, meminta siasatan kesnya dicepatkan dan penjenayah ditahan segera untuk menyelamatkan orang lain menjadi mangsa.

Hamzah Fansuri Zamzuri, 19, penuntut Seni Akulinari di sebuah kolej swasta di Kelana Jaya, berkata, sebelum itu empat kes serupa berlaku di sekitar kawasan berkenaan dan dalam satu kes, seorang pelajar mati.

Hamzah Fansuri sendiri cedera teruk dengan dua jarinya patah dan kepalanya berdarah akibat dihentak besi paip dalam kejadian yang berlaku antara jam 11 malam dan 12.30 tengah malam, pada 9 dan 10 Disember lalu.

“Seminggu selepas kejadian, rakan saya yang berada di Kuala Lumpur pergi ke Balai Polis Kelana Jaya untuk mengetahui perkembangan kes berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, rakannya mendakwa tidak mendapat jawapan yang jelas kerana pegawai yang dijumpai di situ sibuk.

Hamzah Fansuri berkata, laporan polis dibuat di Pondok Polis Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas mendapat rawatan awal di Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC) dan kemudian pulang ke rumah keluarga di Kuala Ina, Alor Gajah, untuk berehat.
 
Mengimbau kembali kejadian itu, Hamzah Fansuri berkata, ketika berjalan bersama rakannya dari kedai makan untuk pulang ke rumah sewa, sebuah kereta Kancil yang dinaiki empat lelaki dan seorang perempuan menghalang perjalanan mereka.

Menurutnya, seorang daripada mereka yang mengaku anggota polis meminta kad pengenalan mereka berdua sebelum seorang lelaki memukul rakannya kerana menimbulkan kemarahan mereka.

“Rakan saya bertanya siapa mereka dan minta tunjukkan pengenalan sebagai bukti jika benar mereka polis.

“Namun pertanyaan ini menimbulkan kemarahan seorang daripada mereka yang terus keluar daripada kereta dan bertindak memukul rakan saya serta menarik kami masuk ke dalam kereta untuk di bawa ke balai polis,” katanya.

Hamzah Fansuri berkata, mereka berdua ditarik masuk ke dalam kereta berkenaan dan rakannya terperosok di bawah tempat duduk, sementara dia di bahagian tengah tempat duduk belakang.

“Saya sedar mereka bukan polis, apabila kami melalui plaza tol Kelana Jaya dan berhenti di sebuah stesen minyak, satu kilometer dari tol berkenaan. Mereka isi petrol dan membeli rokok, minuman serta makanan ringan. Pembayaran dibuat menggunakan kad Maybank saya.

“Selepas itu, kami dibawa ke sebuah apartmen dan ketika itu pemandu keluar dengan membawa bersama komputer riba rakan saya sebelum kembali dengan tangan kosong,” katanya.

Menurutnya, mereka ditinggalkan di sebuah kawasan yang agak gelap berhampiran perumahan, kira-kira jam 12.15 tengah malam, selepas dibelasah kumpulan terbabit di dalam kereta dan di bahu jalan.

“Kami menahan sebuah kereta yang dinaiki sepasang suami isteri dan membawa kami ke KJMC selepas melihat saya berlumuran darah,” katanya./sinarharian

Mayat bayi dijumpai terapung

JOHOR BAHRU: Dua kanak-kanak Orang Asli yang sedang mandi di Sungai Skudai, terkejut apabila menemui bayi cukup sifat dalam bungkusan beg plastik di sini semalam.

Pada mulanya, mereka menyangka beg plastik berwarna kuning itu berisi barang lusuh dan pakaian, namun terkejut sejurus membukanya kerana mendapati ia berisi mayat bayi.

Tina Paizal dan Mazni John yang masing-masing berusia 9 tahun bergegas pulang ke rumah dalam keadaan ketakutan dan menceritakan penemuan itu kepada keluarga mereka.

Tina berkata, selepas memaklumkan kepada keluarganya, ibunya bergegas ke sungai berkenaan dan mendapati dalam bungkusan itu adalah mayat bayi.

“Ketika sedang asyik mandi, saya dan rakan melihat satu beg plastik berwarna kuning.

“Pada mulanya kami sangkakan kandungan adalah pakaian, namun setelah membuka, kami terkejut ianya mayat bayi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, pihaknya segera ke tempat kejadian setelah menerima panggilan daripada penduduk kampung terbabit.

“Sepasukan anggota polis telah ke lokasi kejadian dan mendapatkan beg plastik terapung-apung dalam sungai bersebelahan dengan Kampung Sungai Bakar Batu.

“Setelah membuka beg plastik itu, polis menemui mayat seorang bayi yang masih bertali pusat di dalamnya,” katanya.

Ruslan berkata, siasatan awal mendapati tiada kecederaan di luaran dan badan bayi berkenaan.

Katanya, mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.

“Kami percaya bayi itu telah dibuang di kawasan berdekatan dan dipercayai dibuang sehari yang lalu (kelmarin),” katanya.

Ruslan berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Hotline polis 07-2212999 atau datang ke balai polis terdekat./sinarharian

Penjual ayam terima padah

KOTA BHARU - Seorang penjual ayam dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam selepas mengaku bersalah merogol seorang wanita terencat akal tiga tahun lalu.

Hakim Zainal L. Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Al Waled Abd Kadir, 44, dari Kampung Pangkal Berangan, Kelaweh, Machang dan memerintahkan hukuman terbabit berkuat kuasa mulai semalam.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh masuk ke rumah mangsa yang berusia 33 tahun itu di Kampung Terasil, Gual Ipoh, Tanah Merah sebelum merogolnya sekitar jam 3 hingga 4 petang pada 12 November 2008 lalu.

Seminggu selepas kejadian, mangsa kemudiannya menceritakan kejadian itu kepada jirannya dan jiran terbabit memaklumkan kepada seorang ahli keluarga sebelum membuat laporan polis.

Kemudian mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk pemeriksaan dan mangsa disahkan dirogol.

Mangsa juga dirujuk kepada ahli psikologi dan dia turut disahkan mengalami terencat akal manakala tertuduh berjaya ditahan pada 21 November.

Tertuduh kemudian didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Dalam prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin.

Sebelum keputusan dibacakan, tertuduh dalam nada sedih membuat rayuan dan menyesal dengan perkara yang dilakukan tersebut, malah dia juga memaklumkan sudah meminta maaf daripada mangsa.

Tertuduh turut meminta mahkamah dapat memberikan hukuman paling ringan terhadapnya kerana mengaku salah terhadap perbuatannya itu.

Bagaimanapun, Intan Nor Hilwani memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat berdasarkan hukuman yang diperuntukkan undang-undang terhadap perbuatan tersebut kerana dianggap perkara serius.

Zainal kemudian membaca keputusannya itu turut mengambil kira rayuan oleh tertuduh.

Dalam hujahnya, beliau menyatakan hukuman berkenaan adalah untuk memastikan ia dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan semua supaya tidak melakukan perbuatan tidak bermaruah itu.

”Saya harap tempoh hukuman ini akan dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan sepatutnya perkara ini tidak dilakukan kerana awak sudah mempunyai keluarga,” katanya./sinarharian

Isnin, 17 Januari 2011

Samseng jalanan rempuh warga emas, cucu

KUALA TERENGGANU: Seorang wanita warga emas, 67, bersama cucu perempuannya, 21, nyaris maut apabila motosikal yang ditunggangi mereka dirempuh dari belakang oleh tiga buah motosikal yang sedang berlumba di atas jambatan Sultan Mahmud, lewat tengah malam, kelmarin.

Kejadian berlaku pada jam 12.50 pagi ketika kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Sinar Harian difahamkan, warga emas dan cucunya itu dilanggar oleh tiga motosikal jenis Ex-5 yang ditunggang tiga samseng jalanan yang sedang berlumba dengan melakukan aksi ‘Superman’ sambil mencelah, menyebabkan mangsa melambung ke bahu jalan.

Difahamkan, ketiga-tiga samseng jalanan itu kemudiannya melarikan diri dan dua daripada motosikal yang ditunggang mereka turut dibawa lari.

Akibat kemalangan itu, warga emas malang itu patah kaki kanan dan tulang rusuk kanan manakala cucunya mengalami luka pada badan serta kaki dan mereka dibawa ke HSNZ untuk rawatan lanjut./sinarharian

Tiga lelaki dicari

TAIPING: Polis meminta pertolongan orang ramai untuk mengesan dua lelaki berusia 20-an dan 30-an yang dipercayai dapat membantu siasatan kes pukul dan bunuh seorang lelaki di Kamunting.

Kejadian itu berlaku antara jam 10 hingga 11 malam pada 29 Disember tahun lalu, yang menyebabkan mangsa meninggal dunia di Hospital Taiping pada 31 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, dua individu yang dikehendaki itu ialah Zamarul Azuan Abd Rahim, 33, beralamat No 10, Lorong 31, Taman Lake View, Taiping dan rakannya, Shamsul Zaimi Soh Kawi, 23, beralamat 212, Kampung Seri Keramat Pasir Putih, Ipoh, Perak.

Menurutnya, kedua lelaki itu dikehendaki pihaknya bagi membantu siasatan kes pukul dan bunuh yang disiasat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Individu ketiga yang dicari ialah Muhamad Syakir Muhamad Lutfi, 19, di alamat 22, Jalan Paduka Setia, Kampung Tersusun Paduka Setia, Kampung Boyan, Taiping,” katanya.

Beliau berkata, lelaki itu dikehendaki membantu siasatan kes Seksyen 457, Kanun Keseksaan, iaitu kes curi, Kad Tambah Nilai telefon Bimbit di sebuah kedai syarikat di Taman Saujana Kamunting pada Ogos tahun lalu, berjumlah RM172,000.

Katanya, kepada sesiapa yang mengetahui di mana lelaki itu berada, dikehendaki menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping menerusi talian 05-8080222 atau Asisten Superintendan Mohd Nordin Abdullah di talian 019-4431055./sinarharian