Khamis, 29 November 2012

Peniaga ditemui mati dengan kesan tetakan

JOHOR BAHRU:Seorang peniaga barangan upacara keagamaan ditemui mati selepas ditetak berhampiran sebuah pusat membeli belah di Jalan Trus di sini, kira-kira jam 3.50 pagi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, lelaki berusia 30 tahun itu mengalami kecederaan parah akibat tetakan di kepala, tangan dan kaki.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa sedang bersiap untuk memulakan perniagaannya di Jalan Ungku Puan di sini, diserang sekumpulan enam lelaki bersenjatakan parang menaiki tiga motosikal.

“Hasil siasatan polis telah berjaya menahan seorang lelaki berumur 41 tahun kirakira jam 10.30 malam hari sama di Briekfields, Kuala Lumpur, dan direman selama tujuh hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan.

“Polis memohon bantuan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu atau mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Superintendan B Nagendra Rao di talian 07-2232222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan