Khamis, 29 November 2012

Bomoh dibenar merayu terhadap hukuman rogol remaja

PUTRAJAYA: Seorang bomoh diberi peluang sekali lagi merayu kepada Mahkamah Tinggi berhubung hukuman penjara 31 tahun dan lima sebatan yang dikenakan terhadapnya atas tuduhan merogol seorang remaja yang memintanya menghalau makhluk halus yang menguasai dirinya.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad mengekalkan rayuan Mohd Isa Haron, yang ditolak Mahkamah Tinggi pada 19 September tahun lepas kerana gagal memfailkan petisyen rayuannya.

Panel itu, yang turut dianggotai hakim Mahkamah Rayuan Mah Weng Kwai dan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer, memerintahkan rayuannya didengar semula di Mahkamah Tinggi.

Syed Ahmad Helmy berkata, untuk memastikan Mohd Isa mendapat keadilan, rayuannya perlu didengar semula di Mahkamah Tinggi.

Beliau juga memerintahkan pihak berkuasa penjara memfailkan petisyen rayuan bagi pihak Mohd Isa, yang tidak diwakili peguam.

Mahkamah Sesyen Temerloh menjatuhi hukuman penjara 31 tahun terhadap Mohd Isa setelah mendapatinya bersalah bagi dua tuduhan merogol mangsa berumur 18 tahun di dalam bilik rumah tumpangan di Taman Bahagia, Temerloh, Pahang pada 2 pagi dan 7 pagi 27 November, 2006.

Bagi tuduhan pertama, Mohd Isa, 45, dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan dikenakan dua sebatan, manakala bagi tuduhan kedua, dia dikenakan hukuman penjara 16 tahun dan tiga sebatan. Dia diperintah menjalani hukuman itu secara berturut-turut.

Mohd Isa kemudian memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Tiggi untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen itu, tetapi oleh kerana dia tidak memfailkan petisyen rayuan, maka Mahkamah Tinggi menolak rayuannya dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.

Berdasarkan fakta kes, mangsa berjumpa bomoh itu untuk mendapatkan rawatan dan sembuh. Lima hari kemudian, Mohd Isa memberitahu ibu mangsa bahawa anaknya perlu dibawa ke rumah bomoh itu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bagaimanapun, Mohd Isa membawa mangsa ke sebuah rumah tumpangan dan memberinya minuman mengandungi "serbuk kuning"./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan