ORANG ramai berkumpul untuk mengetahui perkembangan kes pekerja salun dijadikan tebusan di Kuala Krai
KUALA KRAI: Suasana tenang di Dataran Guchil di sini bertukar kecoh apabila seramai 2,000 orang awam berkumpul untuk menyaksikan adegan cemas melibatkan lima pekerja salun dan seorang pekerja restoran yang dijadikan tebusan selama tiga jam setengah oleh penyamun bersenjatakan pistol palsu.
Kejadian mendebarkan pukul 2 petang itu berakhir tiga jam setengah kemudian dengan polis dapat memberkas suspek berusia 27 tahun dari Tanah Merah selepas berjaya menjalankan rundingan tanpa melibatkan sebarang kecederaan.
Pemeriksaan mendapati, suspek merupakan seorang graduan pereka grafik dari salah sebuah universiti tempatan.
Kejadian itu turut mengakibatkan dua mangsa pengsan dengan salah seorang diserang asma.
Difahamkan, suspek datang ke premis itu dengan memakai topi keledar dan menutup mulut sebelum mengacukan pistol palsu ke arah pekerja. Suspek turut membawa sebilah pisau.
Ketika kejadian, dua pekerja yang berada di dalam tandas dan bilik rawatan muka yang tidak disedari suspek telah menghubungi polis bagi memaklumkan mengenai kejadian itu.
Sepanjang tempoh tiga jam setengah itu, suspek telah melepaskan seorang demi seorang tebusan sehingga tinggal seorang pekerja wanita sebelum dia diberkas.
Sementara itu, salah seorang pekerja salun, Muhamad Zafri Mat Hussein, 24, berkata, dia berada di dalam tandas ketika suspek memasuki kedai sebelum bertindak mendiamkan diri dan menghubungi polis.
"Saya ada keluar sebentar apabila terdengar bunyi kecoh dan masuk semula ke dalam tandas sebaik melihat penyamun mengacukan pistol dan mencekik salah seorang rakan saya.
"Saya duduk selama tiga jam di dalam tandas dan hanya keluar selepas segalanya selesai. Ketika itu, suspek tidak menyedari kehadiran saya," ceritanya ketika ditemui di Hospital Kuala Krai.
Seorang lagi mangsa, Siti Roskasma Rozali, 25, memberitahu, suspek terus memegang rakannya, Nazirah Isa, 18, sebaik pintu dibuka selepas loceng ditekan.
"Dia kemudian meminta Nazirah membuka peti simpanan wang. Suspek kemudian meminta saya menghubungi majikan selepas dimaklumkan yang kunci peti berada dalam simpanannya./kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan