BAYAN BARU, Pulau Pinang: Seorang lelaki warga Myanmar terkejut apabila niatnya untuk memeriksa rakannya yang tidak hadir ke tempat kerja membawa penemuan mayat rakannya itu tengah hari semalam.
Mangsa, Hussein Abu Hussein, 23, yang juga warga Myanmar ditemui dalam keadaan terlentang dengan kedua-dua tangan dan kakinya terikat di dalam sebuah rumah teres di sini, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata, selain kaki dan tangannya diikat, muka mangsa juga diserkup dengan tuala.
“Mangsa dijumpai rakannya yang datang mencarinya kerana tidak datang ke kilang tempatnya bekerja seperti biasa. Mangsa dijumpai mati di dalam sebuah rumah di Jalan Sultan Azlan Shah di sini.
“Mangsa ketika itu tidak berpakaian dan hanya berseluar dalam. Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12.20 tengah hari itu turut menemui kesan luka serta darah yang masih baru pada tapak kaki mangsa dipercayai dipukul dengan getah paip,” katanya ketika ditemui media di tempat kejadian semalam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa mati akibat lemas dan enam rakan serumahnya gagal dikesan.
“Polis turut menahan rakan mangsa yang membuat aduan berhubung kes itu bagi membantu siasatan. Motif kejadian masih belum diketahui dan kita sedang giat menjalankan siasatan.
“Kita juga sedang memburu enam rakan serumah mangsa untuk siasatan.
Mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan