Tiga anggota polis dibawa ke Mahkamah Butterworth hari ini.
Mangsa bersama Chiek Tuan menunjukkan laporan polis di pejabat MCA, Bukit Mertajam.
BUTTERWORTH: Tiga anggota polis dikenakan dua tuduhan secara berasingan merogol dan dan melakukan persetubuhan luar tabii seorang wanita warga Indonesia di Mahkamah Sesyen Butterworth pada 9 November lalu.
Konstabel Remy Anak Dana, 25; Kpl Nik Sin Mat Lazin, 33, dan Konstabel Syahiran Romli, 21, didakwa melakukan perbuatan itu di Berek Balai Polis Perai.
Mereka didakwa merogol wanita berumur 25 tahun di Bilik 4, Berek Balai Polis Perai di sini, antara jam 6.40 pagi hingga 7.30 pagi, 9 November lalu mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Ketiga-tiganya juga didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap wanita itu pada tarikh, waktu dan tempat yang sama mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim manakala Nik Sin dan Syahiran diwakili peguam Parmjit Singh manakala Remy oleh Anthony Samy.
Suhaimi meminta mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kerana bimbang mereka akan mengganggu saksi yang juga rakan setugas.
Bagaimanapun, kedua-dua peguam bersepakat meminta mahkamah menimbangkan jaminan dengan alasan anak guam mereka akan sentiasa patuh serta tidak mengganggu saksi.
Nabisha kemudian menetapkan wang jaminan RM25,000 setiap seorang dan menetapkan 12 Disember ini sebagai tarikh bicara.
Beliau turut mengarahkan tiga anggota polis itu melapor diri di balai polis terdekat sehingga kes mereka disebut semula.
Ketiga-tiganya membayar wang jaminan itu dan bergegas meninggalkan mahkamah menggunakan pintu belakang bagi mengelak wajah mereka dirakam media./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan