Selasa, 15 Mei 2012

Remaja suspek rogol warga Switzerland ditahan

KOTA BHARU: Seorang remaja 18 tahun ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kejadian rogol seorang setiausaha warga Switzerland dan mencabul rakan mangsa di sebuah banglo di sini, Rabu lalu.

Suspek ditahan anggota polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Intan, Lundang, di sini, pada jam 5 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, hasil maklumat awam, polis berjaya memberkas penganggur berkenaan dan tiga lagi rakan suspek masih diburu.

“Saya nasihatkan tiga lagi yang lain tampil menyerah diri bagi membantu siasatan kerana kesemua identiti mereka sudah pun dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Azham berkata, remaja tersebut itu kini dikenakan perintah tahanan reman selama seminggu sehingga 20 Mei depan.

“Reman dibuat di hadapan Timbalan Pendaftar, Amni Mat Jahari bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci mengikut Seksyen 376 dan 354 Kanun Keseksaan kerana rogol serta cabul,” katanya.

Ahad lalu, Sinar Harian melaporkan seorang setiausaha warga Switzerland mendakwa dia dirogol, manakala rakannya dicabul dalam sebuah banglo, di sini. Dalam kejadian jam 2.20 petang itu, dua pelancong masing-masing berusia 25 tahun itu singgah di Pejabat Konsul Thailand, di bandar ini bagi urusan visa untuk ke Bangkok, selepas balik bercuti dari Pulau Perhentian, Terengganu sebelum diperdaya empat lelaki./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan