Selasa, 15 Mei 2012

Pengawal keselamatan lelaki warga Pakistan mati ditetak

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan lelaki warga Pakistan mati ditetak dua lelaki di sebuah kuari di Kuang dalam kejadian pukul 1.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abd Rahim Abdullah berkata mangsa yang hanya dikenali sebagai Ubaidullah, 27, didatangi suspek yang bertopeng dan menaiki motosikal ketika sedang bertugas.

"Mangsa ketika itu berada di pos pengawal kuari, dan dia kemudian diserang serta ditetak di bahagian kepala menggunakan sebilah parang oleh seorang daripada suspek sebelum kedua-duanya melarikan diri.

"Rakan setugas mangsa yang dikenali sebagai Mahammad Umar, 30, yang berada di lokasi ketika kejadian, sempat melarikan diri dan bersembunyi di dalam tandas," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata mangsa, yang baru enam bulan bekerja, mati di tempat kejadian ekoran kecederaan parah dan mayatnya dihantar ke Hospital Sungai Buluh untuk bedah siasat.

Abd Rahim berkata tiada sebarang kesan pecah masuk di pejabat kuari dan hanya barang berharga milik mangsa sahaja didapati hilang.

Beliau berkata motif kejadian masih disiasat dan polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kuari.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan