Jumaat, 18 Mei 2012

Menggigil jumpa mayat

REMBAU: “Menggigil tubuh apabila menemui mayat lelaki berkain pelekat berlumuran darah di tepi jalan berhampiran laluan masuk ke ladang kelapa sawit,” kata Lai Tai Sun, 54, yang menemui jasad seorang lelaki dipercayai dibunuh sebelum dicampak di tepi jalan di Jalan Besar Linggi- Lubok China, di sini, kelmarin.

Difahamkan, Lai menemui mayat lelaki tanpa identiti itu kira-kira jam 4 petang lalu bergegas ke Balai Polis Linggi memaklumkan kejadian itu.

Menurutnya, dia menunggang motosikal bersendirian untuk keluar dari kebun getahnya apabila menemui mayat itu.

“Saya sangka objek lain, selepas mendekatinya ternyata tubuh manusia berlumuran darah. Saya bergegas ke balai polis berdekatan memaklumkan penemuan itu. “Keadaan mayat itu mengerikan dengan beberapa kesan luka di dada dan hanya berkain pelekat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom berkata, siasatan mendapati berlaku pergelutan antara mangsa dengan penyerangnya berdasarkan luka pada kedua-dua belah tangan. “Mangsa dipercayai warga tempatan berketurunan Melayu berusia 40-an dan ditemui berlumuran darah dengan kesan tiga tikaman di dada serta terdapat kesan jerutan pada leher. “Kami percaya mangsa dibunuh di tempat lain sebelum dicampak di kawasan ladang kelapa sawit,” katanya.

Mizan berkata, pihaknya percaya mangsa lelaki warga tempatan berdasarkan kesan suntikan BCG pada bahu kirinya.

“Lelaki itu berkulit sawo matang, hanya memakai kain pelikat dan seluar dalam hitam tetapi tiada pengenalan diri. Dia dipercayai dibunuh dalam tempoh 24 jam,” katanya. Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk dibedah siasat dan orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan RK Naga di talian 016-2212497./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan