Selasa, 15 Mei 2012

Lelaki dipenjara 14 tahun rompak dan rogol wanita Thai

SHAH ALAM: Seorang lelaki bertindak merogol seorang wanita warga Thailand, yang juga ibu kepada empat orang anak, sebelum melarikan kereta dan harta benda milik mangsa pada November tahun lepas.

Perbuatan kejam tertuduh, G. Thanaraj akhirnya dibalas hari ini apabila dia dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan lima sebatan ke atas tertuduh selepas dia mengaku bersalah merogol wanita berusia 42 tahun itu di dalam sebuah kereta Perodua Viva berwarna putih di tanah lapang kawasan hutan belakang Kelab Golf Serendah, Hulu Selangor, antara pukul 6 pagi hingga 7 pagi pada 7 Nov tahun lepas.

Bagi kesalahan itu, Thanaraj, 23, didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat.

Mohammed Mokhzani turut menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan tiga sebatan ke atas Thanaraj selepas dia mengaku bersalah bersama-sama seorang lagi tertuduh, Mohd Suhairi Mohd Sani, merompak kereta mangsa, satu pasport antarabangsa, wang tunai RM350, seutas rantai emas putih, tiga bentuk cincin emas dan sebuah telefon bimbit jenis Nokia milik mangsa yang membabitkan kerugian kira-kira RM35,000.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat, masa dan tarikh yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat.

Mohammed Mokhzani memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu berjalan secara serentak, berkuatkuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 12 Nov tahun lepas.

Beliau turut menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Mohd Suhairi, 24, selepas dia mengaku bersalah bersubahat menolong Thanaraj merogol wanita itu dan tidak menghalangnya daripada melakukan perbuatan itu di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Mohd Suhairi sebelum ini dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan lima sebatan di mahkamah sama selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan rompak itu.

Mengikut fakta kes, mangsa didatangi kedua-dua tertuduh yang kemudian bertindak memukul dan menolak mangsa ke bahagian tempat duduk belakang keretanya.

Mangsa dibawa ke tempat kejadian dan Thanaraj kemudian merogol mangsa sementara Mohd Suhairi berada di tempat duduk pemandu sambil memerhati dan melihat kawasan sekitar sehingga Thanaraj selesai merogol mangsa.

Kedua-dua tertuduh kemudian melarikan kereta dan barang-barang milik mangsa serta meninggalkan wanita itu sendirian di kawasan berkenaan, yang kemudiannya berjalan keluar ke jalan besar untuk meminta bantuan.

Thanaraj dan Mohd Suhairi ditangkap pada 12 Nov tahun lepas ketika sedang memandu kereta mangsa.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dan memohon agar hukuman berkuatkuasa dari tarikh mereka ditangkap.

Timbalan Pendakwa Raya Che Rohana Ismail yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan yang dilakukan kedua-dua tertuduh serius lebih-lebih lagi mangsa, yang sudah berkeluarga dan mempunyai empat orang anak, mengalami trauma akibat kejadian itu.

Beliau berkata Thanaraj juga mempunyai satu rekod kesalahan lampau iaitu kesalahan merompak./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan