Selasa, 15 Mei 2012

Remaja suspek rogol warga Switzerland ditahan

KOTA BHARU: Seorang remaja 18 tahun ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kejadian rogol seorang setiausaha warga Switzerland dan mencabul rakan mangsa di sebuah banglo di sini, Rabu lalu.

Suspek ditahan anggota polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Intan, Lundang, di sini, pada jam 5 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, hasil maklumat awam, polis berjaya memberkas penganggur berkenaan dan tiga lagi rakan suspek masih diburu.

“Saya nasihatkan tiga lagi yang lain tampil menyerah diri bagi membantu siasatan kerana kesemua identiti mereka sudah pun dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Azham berkata, remaja tersebut itu kini dikenakan perintah tahanan reman selama seminggu sehingga 20 Mei depan.

“Reman dibuat di hadapan Timbalan Pendaftar, Amni Mat Jahari bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci mengikut Seksyen 376 dan 354 Kanun Keseksaan kerana rogol serta cabul,” katanya.

Ahad lalu, Sinar Harian melaporkan seorang setiausaha warga Switzerland mendakwa dia dirogol, manakala rakannya dicabul dalam sebuah banglo, di sini. Dalam kejadian jam 2.20 petang itu, dua pelancong masing-masing berusia 25 tahun itu singgah di Pejabat Konsul Thailand, di bandar ini bagi urusan visa untuk ke Bangkok, selepas balik bercuti dari Pulau Perhentian, Terengganu sebelum diperdaya empat lelaki./sinarharian

Anak derhaka bakar rumah

Anak derhaka bakar rumah
Beginilah keadaan rumah Wan Muhammad yang hangus dalam kebakaran akibat tindakan anaknya dalam kejadian di hadapan SMK Bukit Tunggal, Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU: Gara-gara permintaan untuk mendapatkan wang tidak diendahkan oleh ayahnya, seorang anak sanggup bertindak di luar batasan dengan membakar kediaman mereka sekeluarga dalam satu kejadian di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Tunggal, di sini, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 3.20 petang itu, anak derhaka yang juga merupakan anak sulung daripada tiga beradik dipercayai berada dalam pe-ngaruh dadah sebelum menggesa ayahnya berusia 45 tahun menyerahkan wang sebanyak RM10 kepadanya.

Bagaimanapun, permintaannya itu gagal ditunaikan menyebabkan suspek naik berang dan bertindak di luar kawalan dengan membakar kediaman mereka dipercayai menggunakan minyak petrol.

Sinar Harian difahamkan, semasa api sedang merebak di bahagian dapur, suspek masih berada di dalam rumah sedang leka menonton televisyen sebelum bertindak meloloskan diri setelah menyedari api semakin marak.

Namun, tindakannya yang ingin ‘cabut lari’ itu berjaya dihalang oleh anggota Rakan Cegah Jenayah (RCJ) Terengganu yang berada di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada unit kereta Ronda MPV Balai Polis Gong Badak, di sini.

Difahamkan, sebelum ini suspek yang berusia 22 tahun pernah beberapa kali ditahan polis atas kesalahan jenayah dadah, curi motosikal dan pecah rumah.

Menurut saksi yang hanya mahu dikenal ‘makcik’, sebelum keja-dian, suspek ada mengugut akan membakar rumahnya sendiri.

“Saya dapat tahu dia ada minta duit dengan ayahnya dan selepas itu, dia keluar beli minyak motor yang diletakkan di dalam botol. “Balik saja beli minyak, dia terus pergi ke belakang rumah dan tidak lama kemudian, saya ada bau hangus sebelum ternampak asap tebal dari rumah dia,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Sementara itu, Pegawai Pengurusan Operasi dan Balai Negeri, Timbalan Penguasa Bomba, Zakariya Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 3.28 petang dan sebanyak dua jentera dengan kekuatan anggota seramai 17 orang dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, rumah separa kekal itu gagal diselamatkan dan musnah seratus peratus. Kini, siasatan punca kejadian masih dijalankan dan anggaran kerugian kira-kira RM200,000,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan ketika dihubungi Sinar Harian, semalam mengesahkan menerima tangkapan suspek dan siasatan lanjut sedang dijalankan./sinarharian

Bunuh: Tiga sekeluarga warga Filipina ditahan

SANDAKAN: Polis menahan tiga beranak yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan membabitkan seorang lelaki yang mati ditikam dalam satu pergaduhan di Kampung Pampang Jalan Sungai Batang dekat sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Supt. Fadzil Mohd. Ali berkata, tiga lelaki warga Filipina yang ditahan itu adalah seorang bapa berusia 51 tahun serta dua anaknya masing-masing berumur 19 dan 22 tahun.

Katanya dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, tiga beranak terbabit terlibat dalam satu pergaduhan dengan tiga lelaki di kampung berkenaan.

Insiden itu menyebabkan seorang lelaki yang dikenali sebagai Mig Urung, 43, warga Filipina mati ditikam, katanya di sini hari ini.

Fadzil berkata, polis turut merampas sebilah parang, lembing dan tombak daripada ketiga-tiga suspek yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu.

Beliau menambah, polis sedang mengesan dua lagi lelaki yang terlibat dalam pergaduhan itu, manakala ketiga-tiga beranak itu ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut./ Bernama

Pengawal keselamatan lelaki warga Pakistan mati ditetak

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan lelaki warga Pakistan mati ditetak dua lelaki di sebuah kuari di Kuang dalam kejadian pukul 1.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abd Rahim Abdullah berkata mangsa yang hanya dikenali sebagai Ubaidullah, 27, didatangi suspek yang bertopeng dan menaiki motosikal ketika sedang bertugas.

"Mangsa ketika itu berada di pos pengawal kuari, dan dia kemudian diserang serta ditetak di bahagian kepala menggunakan sebilah parang oleh seorang daripada suspek sebelum kedua-duanya melarikan diri.

"Rakan setugas mangsa yang dikenali sebagai Mahammad Umar, 30, yang berada di lokasi ketika kejadian, sempat melarikan diri dan bersembunyi di dalam tandas," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata mangsa, yang baru enam bulan bekerja, mati di tempat kejadian ekoran kecederaan parah dan mayatnya dihantar ke Hospital Sungai Buluh untuk bedah siasat.

Abd Rahim berkata tiada sebarang kesan pecah masuk di pejabat kuari dan hanya barang berharga milik mangsa sahaja didapati hilang.

Beliau berkata motif kejadian masih disiasat dan polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kuari.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan./Bernama

Lelaki dipenjara 14 tahun rompak dan rogol wanita Thai

SHAH ALAM: Seorang lelaki bertindak merogol seorang wanita warga Thailand, yang juga ibu kepada empat orang anak, sebelum melarikan kereta dan harta benda milik mangsa pada November tahun lepas.

Perbuatan kejam tertuduh, G. Thanaraj akhirnya dibalas hari ini apabila dia dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan lima sebatan ke atas tertuduh selepas dia mengaku bersalah merogol wanita berusia 42 tahun itu di dalam sebuah kereta Perodua Viva berwarna putih di tanah lapang kawasan hutan belakang Kelab Golf Serendah, Hulu Selangor, antara pukul 6 pagi hingga 7 pagi pada 7 Nov tahun lepas.

Bagi kesalahan itu, Thanaraj, 23, didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat.

Mohammed Mokhzani turut menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan tiga sebatan ke atas Thanaraj selepas dia mengaku bersalah bersama-sama seorang lagi tertuduh, Mohd Suhairi Mohd Sani, merompak kereta mangsa, satu pasport antarabangsa, wang tunai RM350, seutas rantai emas putih, tiga bentuk cincin emas dan sebuah telefon bimbit jenis Nokia milik mangsa yang membabitkan kerugian kira-kira RM35,000.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat, masa dan tarikh yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat.

Mohammed Mokhzani memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu berjalan secara serentak, berkuatkuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 12 Nov tahun lepas.

Beliau turut menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Mohd Suhairi, 24, selepas dia mengaku bersalah bersubahat menolong Thanaraj merogol wanita itu dan tidak menghalangnya daripada melakukan perbuatan itu di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Mohd Suhairi sebelum ini dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan lima sebatan di mahkamah sama selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan rompak itu.

Mengikut fakta kes, mangsa didatangi kedua-dua tertuduh yang kemudian bertindak memukul dan menolak mangsa ke bahagian tempat duduk belakang keretanya.

Mangsa dibawa ke tempat kejadian dan Thanaraj kemudian merogol mangsa sementara Mohd Suhairi berada di tempat duduk pemandu sambil memerhati dan melihat kawasan sekitar sehingga Thanaraj selesai merogol mangsa.

Kedua-dua tertuduh kemudian melarikan kereta dan barang-barang milik mangsa serta meninggalkan wanita itu sendirian di kawasan berkenaan, yang kemudiannya berjalan keluar ke jalan besar untuk meminta bantuan.

Thanaraj dan Mohd Suhairi ditangkap pada 12 Nov tahun lepas ketika sedang memandu kereta mangsa.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dan memohon agar hukuman berkuatkuasa dari tarikh mereka ditangkap.

Timbalan Pendakwa Raya Che Rohana Ismail yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan yang dilakukan kedua-dua tertuduh serius lebih-lebih lagi mangsa, yang sudah berkeluarga dan mempunyai empat orang anak, mengalami trauma akibat kejadian itu.

Beliau berkata Thanaraj juga mempunyai satu rekod kesalahan lampau iaitu kesalahan merompak./Bernama

Ahad, 13 Mei 2012

Pisau melekat di rusuk, selepas ditikam

TAIPING: Berpantang maut sebelum ajal, ungkapan yang sesuai digambarkan kepada seorang wanita apabila dia sempat meminta pertolongan dalam keadaan rusuk kirinya masih melekat sebilah pisau dalam kejadian di sebuah kedai dobi di Jalan Air Kuning, di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa yang hanya dikenali sebagai Nur, 22, dikatakan ditikam sebanyak empat kali oleh seorang lelaki yang datang ke kedai dobi milik kakak mangsa.

Suspek yang berusia lingkungan 20-an pada mulanya dikatakan ke kedai itu dan berlagak sebagai pelanggan dengan bertanyakan harga yang dikenakan untuk mencuci langsir.

Mengimbas kembali kejadian yang berlaku, Nur berkata, dia kemudiannya menghubungi kakaknya untuk bertanyakan hal berkenaan, bagaimanapun belum sempat talian diputuskan, lelaki berkenaan bertindak merampas telefon tersebut.

Katanya, dalam sekelip mata, lelaki itu masuk ke kaunter sambil mengacukan pisau menyuruh dia ke belakang kedai, bagaimanapun dia enggan menyebabkan suspek menikam rusuk kirinya sebanyak dua kali.

“Dalam keadaan itu, saya menggunakan kudrat yang ada untuk mempertahankan diri kerana percaya lelaki itu cuba melakukan perkara yang tidak baik.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kakak sempat mendengar sayup-sayup saya meminta tolong di hujung talian ketika telefon dirampas lelaki itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Taiping, semalam.

Katanya, dia yang enggan memberi peluang kepada lelaki itu menyebabkan suspek bertindak ganas dengan menikamnya kali ketiga dan keempat.

“Tikaman yang keempat itu mengenai bahagian tisu rusuk kiri saya menyebabkan pisau itu melekat di situ.

“Takut dengan keadaan itu, lelaki tersebut keluar dari kedai dan sempat mengambil beg duit dan juga telefon bimbit saya,” katanya.

Katanya, dalam keadaan panik, dia berlari keluar untuk meminta pertolongan, bagaimanapun, tiada siapa mendekati kerana ngeri melihat keadaannya yang masih tertusuk pisau.

“Kakak dan abang ipar yang datang ke kedai terkejut melihat saya berlumuran darah segera membawa saya ke hospital sebelum kami membuat laporan polis pada hari kejadian,” katanya.

Difahamkan setelah doktor membuat imbasan di bahagian rusuknya, didapati tikaman yang terakhir mengenai paru-parunya tetapi tidak serius.

Nur berkata, sebelum ini kakaknya pernah melihat orang yang tidak dikenali berlegar-legar di kawasan itu tetapi tidak mengesyaki apa-apa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, kejadian berlaku jam 12.30 tengah hari dan mengesahkan mangsa ditikam sebelum suspek melarikan diri dengan mengambil beg duit berisi wang tunai RM15 dan juga telefon bimbit mangsa.

Beliau berkata, hasil siasatan di tempat kejadian, polis turut menjumpai sebilah pisau lipat.

“Kita sedang menjejaki suspek berkenaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta segera menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya./sinarharian

2 suspek cabul, rogol wanita Switzerland diburu

KOTA BHARU: Dua lelaki warga tempatan diburu polis bagi membantu siasatan kes cabul dan rogol dua wanita Switzerland disini, Rabu lalu.

Ketua Polis Kota Bharu, Assistan Komisioner Azham Othman berkata,mangsa, Mirjam Tuenadan Mechele@ Weber masing-masing 25 tahun,dipercayai baru tiba dari Pulau Perhentian kira-kira jam 2.20 petang sebelum pergi ke pejabat Kedutaan Thailand untuk mendapatkan visa ke Bangkok, Thailand.

Menurut Azham, selepas selesai berurusan, kedua-dua mangsa berjalan kaki pulang ke hotel penginapan mereka di sebuah hotel di Pintu Pong dan disapa oleh seorang lelaki yang menunggang motosikal dan bersetuju membantu dua wanita itu untuk menguruskan perjalanan mereka ke Bangkok.

“Selepas bertemu lelaki terbabit, dia mengarahkan dua wanita itu menunggu di hadapan kuarters Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi menunggu rakannya untuk mendapatkan kereta.

“Hampir dua jam menunggu, sebuah kereta hitam tiba dan dua lelaki keluar dari kereta telah memaksa dua wanita itu masuk ke dalam kereta dan dibawa ke sebuah banglo,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini./sinarharian

Jumaat, 11 Mei 2012

Remaja tak mengaku salah bunuh bapa

Remaja tak mengaku salah bunuh bapa
IPOH: Remaja 15 tahun yang dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan membunuh bapanya di Taman Bersatu, Simpang Pulai antara 30 April dan 1 Mei lalu, mengaku tidak bersalah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama jika disabit kesalahan.

Majistret Mohamad Nasrudin Mohamed menetapkan 8 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini akhbar melaporkan, dalam kejadian 30 April, 11.30 malam hingga 1 Mei, 12.30 malam itu, lelaki berusia 40 itu maut selepas ditikam lebih 10 kali di perut dan dada oleh remaja itu.

Remaja itu kemudian mendakwa mangsa dibunuh penjenayah yang memecah masuk kediamannya.

Suspek dipercayai bergelut dengan bapa kandungnya itu sebelum bertindak menikam menggunakan dua bilah pisau./sinarharian

Warga emas didakwa cabul

Warga emas didakwa cabul
JOHOR BAHRU: Seorang nelayan warga emas semalam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tiga tuduhan mencabul kehormatan tiga kanak-kanak perempuan, bulan lalu.

Aman Khamis, 67, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Maslinda Selamat.

Bagi tuduhan pertama, Aman didakwa mencabul kehormatan kanak-kanak perempuan berumur tujuh tahun di sebuah bilik di rumahnya di Taman Redang, di sini, kira-kira jam 10.30 pagi, 23 April lalu.

Bagi tuduhan kedua dan ketiga dia dituduh mencabul kehormatan dua kanak-kanak perempuan berumur sembilan dan lapan tahun, di tempat yang sama, kira-kira jam 10 pagi, 20 April lalu.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman maksimum 10 tahun penjara atau denda atau sebat, atau mana-mana antara dua.

Maslinda membenarkan Aman diikat jamin RM24,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Julai depan untuk bicara.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M Vinodharan. Aman tidak diwakili peguam./sinarharian

Rabu, 9 Mei 2012

Pekerja kedai tayar didakwa rogol

AYER KEROH: Seorang pekerja kedai tayar mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan atas tuduh merogol seorang remaja bawah umur, Jun lalu.

Lim Chyn Yik, 20, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Zaharah Hussain selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.

Chyn Yik didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di sebuah unit rumah pangsa di Taman Malim Jaya, kira-kira jam 2.30 petang pada 16 Jun tahun lalu.

Dia berdepan tuduhan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksima 20 tahun dan juga sebatan jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Haslida Isamail memohon supaya mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam bela, A N Gunalan memohon supaya mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan tertuduh tidak akan melarikan diri dan bersedia memberi kerjasama kepada mahkamah.

Zaharah kemudiannya menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 20 Jun depan./sinarharian