Selasa, 4 Januari 2011

'Pulanglah anakku...'

MELAKA: Sesi persekolahan baru yang dibuka hari ini bukan saja menimbulkan rasa terkilan kepada sepasang suami isteri apabila anak perempuan mereka tidak hadir ke sekolah, tetapi turut bimbang berhubung keselamatan dirinya sejak keluar rumah pada pertengahan bulan lalu.

Ini berikutan pelajar tingkatan empat, Siti Nurhazan Azhari, 16, menghilangkan diri sebaik keluar dari rumah keluarganya di Taman Bukit Larang Indah, Telok Mas, sejak 19 Disember lalu tanpa sebarang khabar berita.

Ibunya, Halimah Mistam, 50, berkata, dia dan suaminya, Azahari Awang, 45, berasa risau dengan keadaan diri anak ketiga daripada enam beradik itu yang gagal dikesan sehingga kini selepas dilihat kali terakhir berbual melalui telefon di hadapan rumah mereka oleh adik lelakinya, Luqman Hakim, lapan tahun.

Menurutnya, sepanjang kehilangan anaknya, dia dan suaminya sentiasa berasa tidak tenteram dan susah hati, malah sukar melelapkan mata setiap malam apabila mengenangkan nasib anak perempuannya yang tidak diketahui berada di mana sekarang.

Menceritakan mengenai kehilangan Siti Nurhazan, Halimah berkata, anak perempuannya memakai seluar berwarna hitam dan berbaju tidur putih, selain tidak membawa sebarang pakaian serta kad pengenalan dan wang ketika itu.

Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang menunaikan solat Isyak di ruang tamu, manakala suaminya baru saja keluar minum di warung berhampiran rumah dan Siti Nurhazan berada di depan rumah kira-kira jam 11.20 malam sedang berbual menggunakan telefon bimbit.

Katanya, berdasarkan cerita anak keempatnya, Shahrin Al-Hafiz, 12, dia ternampak sebuah kereta Proton Wira Aeroback berwarna kelabu memecut laju di lorong berhampiran rumah mereka kira-kira lima minit selepas Siti Nurhazan dilihat di depan rumah.

“Anak saya juga mengatakan, dia ternampak kakaknya di dalam kereta itu dan kakaknya dilihat menoleh ke belakang. Bagaimanapun, dia tidak pasti berapa orang ada dalam kereta berkenaan.

“Sebaik diberitahu, saya terus menghubungi suami dan berusaha menghubungi melalui telefon bimbitnya beberapa kali, tetapi tidak dijawab. Kami menelefonnya sehingga jam 2 pagi (keesokan harinya) tetapi telefon itu dimatikan,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, Siti Nurhazan tidak pernah keluar malam dan dia sememangnya seorang anak yang mendengar kata dan tidak dibenarkan keluar ke mana-mana khususnya pada waktu malam.

Katanya, sebelum itu, dia juga tidak menunjukkan tanda merajuk malah sebelum kehilangannya, dia sempat membeli kasut dan pakaian di Pasar Tani Pekan Telok Mas bagi digunakan untuk majlis perkahwinan ibu saudaranya pada 26 Disember lalu.

Katanya, dia dan isteri merayu bantuan serta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai anak mereka agar menghubunginya di talian 016-6605774 atau balai polis berhampiran./hmetro

Isnin, 3 Januari 2011

Buang air besar selepas mencuri

KUANTAN - Pencuri yang memecah masuk ke sebuah pasar raya di Jalan Beserah di sini, bukan saja melarikan wang tetapi juga sempat membuang air besar dalam satu kejadian awal pagi ini.

Pengurus pasar raya itu, Gan Yoke Chow berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 2 pagi dan pencuri berkenaan memecah masuk menerusi tandas premis dengan mencungkil batu-bata pada dinding.

Pencuri, seolah-olah tahu di mana wang disimpan kerana hanya mensasarkan ruang pejabat tertentu, katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, pencuri juga tidak memecahkan pintu bilik-bilik terbabit, sebaliknya membuat lubang pada dinding yang terdiri daripada kepingan papan lapis.

Jumlah kerugian masih diperiksa kerana wang yang dicuri adalah dalam bentuk syiling yang dibungkus dalam beberapa bungkusan.

Kata Yoke Chow, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pemilik restoran bersebelahan pada kira-kira pukul 7 pagi yang melihat tandas premis dipecahkan.

"Kami mendapati ada najis di dalam mangkuk tandas dipercayai ditinggalkan oleh pencuri itu, kami sungguh tidak menyangka pencuri sanggup berbuat demikian selepas mencuri di pasar raya ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kuantan DSP Kamaruzzaman Jaafar mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut./Bernama

Tiga Remaja Ditahan Cuba Pecah Masuk Kereta Porsche

KUALA LUMPUR: Tiga remaja lelaki dicekup polis di sebuah rumah di Bandar Tun Razak di sini Rabu lepas berhubung cubaan memecahkan masuk sebuah kereta mewah jenis ‘Porsche’ di sebuah stesen minyak di Jalan Awan Hijau di sini pada 9 Disember lepas.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner (ACP) Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata penahanan tiga remaja berumur antara 15 hingga 17 tahun itu adalah hasil siasatan terhadap maklumat yang diberikan pemilik kenderaan tersebut iaituseorang pengarah syarikat.

"Pengadu terlihat kelibat dua remaja yang cuba memecahkan cermin keretanya, yang melarikan diri dengan motosikal kerana disergah. Pengadu sempat mengambil nombor pendaftaran dan jenis motosikal yang digunakan," katanya dalam sidangmedia di sini, Isnin.

Katanya polis turut merampas sebuah motosikal dan siasatan awal mendapati ia adalah kenderaan curi yang dilaporkan hilang di daerah Petaling.

Kesemua suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis dengan kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan serta Seksyen 379(a) kanun yang sama, katanya. /Bernama

Apa sudah jadi?

SUBANG JAYA: Kegembiraan sekumpulan remaja perempuan meraikan ‘ladies nite’ di sebuah pusat hiburan di Bandar Sunway di sini tidak bertahan lama apabila enam daripadanya positif pelbagai jenis dadah dalam ujian air kencing saringan awal yang dilakukan dalam satu serbuan awal pagi semalam.

Riak wajah keceriaan menikmati hiburan termasuk ada di antaranya yang meneguk arak bertukar pucat lesi apabila dimaklumkan mereka positif dadah jenis ketamin dan ganja dalam operasi 12 tengah malam itu sehingga 1.30 pagi semalam.

Dalam serbuan dengan kerjasama 33 anggota Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), 17 daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan 12 daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu, lima lelaki turut ditahan bagi kesalahan sama manakala tujuh lagi dicekup kerana didapati minum minuman keras.

Difahamkan, remaja perempuan beragama Islam yang rata-ratanya memakai skirt pendek dan sendat mengunjungi pusat hiburan terkenal itu berikutan pengusaha menawarkan harga istimewa kepada pengunjung perempuan setiap malam Rabu dan Khamis.

Malah berkemungkinan untuk mendapatkan harga istimewa pada malam itu, empat lelaki turut ditahan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 30 Enakmen Jenayah Syariah Selangor (EJSS) kerana berpakaian menyerupai wanita.

Ketua Unit Penguatkuasaan AADK Daerah Petaling, Syaiful Asfar Abdul Rahman berkata, dalam serbuan itu, 11 pengunjung ditahan selepas disyaki terlibat dalam penyalahgunaan pelbagai jenis dadah.

Katanya, kesemua yang ditahan dibawa untuk tindakan lanjut manakala ujian saringan air kencing akan dihantar ke makmal kimia untuk pengesahan selanjutnya./sinarharian

Lelaki hampir putus tangan akibat ditetak

GEORGETOWN: Seorang lelaki hampir putus tangan kanannya selepas ditetak oleh sekumpulan lelaki yang bersenjatakan parang berhampiran sebuah hotel di Jalan Persiaran Gurney, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata, dalam kejadian pukul 3.40 pagi, mangsa yang berusia 29 tahun dipercayai diserang sekumpulan lelaki menyebabkannya mengalami kecederaan parah di tangan, muka dan beberapa bahagian badan.

Polis yang bergegas ke tempat kejadian selepas mendapat maklumat awam mendapati mangsa dalam keadaan parah, manakala kesemua suspek melarikan diri, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

"Siasatan awal di tempat kejadian menemui empat bilah parang disembunyikan di bawah kerusi batu serta tepi pokok dan kesan darah di bahagian bonet beberapa buah kereta di depan hotel berkenaan,” katanya./Bernama

Mayat wanita bogel hampir reput ditemui dalam belukar

BUKIT MERTAJAM: Mayat wanita dalam keadaan bogel dan hampir reput dipercayai dibunuh ditemui di kawasan belukar berhampiran ladang kelapa sawit di Berapit, di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri SAC Zahruddin Abddullah berkata, mayat wanita dipercayai berbangsa Cina itu ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan kira-kira 10.30 pagi.

"Sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat daripada orang awam dan menemui mayat berkenaan dalam keadaan tertiarap,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata, polis percaya mangsa dibunuh dalam sebuah pondok milik Perbadanan Bekalan Air (PBA) yang terletak kira-kira 20 meter dari kawasan mayat ditemui berdasarkan terdapat kesan darah di situ sebelum mayatnya diseret dan dibuang di kawasan belukar.

Setakat ini polis belum dapat mengenal pasti identitinya ekoran tiada sebarang pengenalan diri ditemui bersama mayat terbabit, katanya./Bernama

Polis Buru Suspek Buang Mayat Bayi

BACHOK: Polis sedang giat memburu suspek yang terlibat dalam kes pembuangan mayat seorang bayi perempuan di tapak pelupusan sampah di Beris Lalang dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Bachok, DSP Yahya Salleh berkata pihaknya percaya suspek dari Kota Baharu berdasarkan siasatan daripada keterangan beberapa saksi kejadian.

"Siasatan awal kita mendapati mayat berkenaan dijumpai bersama longgokan sampah yang dibuang lori dari Majlis Daerah Kota Baharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) ke tapak pelupusan sampah di sini, justeru kita percaya perkara itu dilakukan individu di daerah berkenaan," katanya kepada Bernama di sini, Ahad.

Yahya turut tidak menolak kemungkinan suspek terlibat mungkin juga dari daerah-daerah lain yang cuba membawa mayat berkenaan lebih jauh dari kawasan kediaman mereka.

"Pihak kita sedang menjalankan siasatan dan mengumpul bukti yang boleh dijadikan petunjuk bagi membantu siasatan kes berkenaan. Pihak klinik dan hospital juga diminta memaklumkan sekiranya ada pesakit mereka dalam keadaan mencurigakan menerima rawatan seperti sakit selepas bersalin," katanya.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta segera menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok di talian 09-7788222 bagi membantu mengesan suspek," katanya.

Yahya berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, pekerja di tapak pelupusan sampah Beris Lalang gempar apabila menemui mayat seorang bayi perempuan dalam longgokan sampah berkenaan.

Ini merupakan kejadian kedua berlaku di tapak pelupusan sampah berkenaan, sejak dibuka awal Mac lalu.

Kejadian pertama berlaku pada 26 Disember lepas, apabila seorang pemungut sampah menemui mayat seorang bayi lelaki di dalam satu plastik hitam di tapak pelupusan sampah yang sama./Bernama

Sabtu, 1 Januari 2011

Guru dipenjara 5 tahun, 4 sebatan

MUAR, 30 Dis: Seorang guru sekolah menengah dihukum penjara lima tahun dan sebatan empat kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan merogol seorang remaja berusia 15 tahun, pertengahan tahun lalu.

Mohd. Esa Mohd. Yusof, 26, mengaku merogol remaja terbabit di sebuah rumah di Taman Bahagia di Jalan Abdul Rahman di sini antara pukul 12.01 tengah malam dan 1 pagi, 28 Jun 2009.

Dia juga mengaku mengulangi perbuatan tersebut terhadap mangsa di sebuah rumah lain di taman perumahan yang sama antara pukul 8 dan 10 malam, 22 Ogos 2009.

Kedua-dua tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Bagi setiap tuduhan tersebut, Mohd. Esa dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan sebatan dua kali.

Hakim Kamaruddin Kamsun bagaimanapun memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak.

Terdahulu, sebelum hukuman dijatuhkan, peguam Mohd. Razak Shaari yang mewakili Mohd. Esa memohon supaya anak guamnya dikenakan hukuman ringan memandangkan tertuduh telah digantung kerja dan terpaksa bekerja sendiri untuk menyara keluarganya.

"Dia telah berkahwin dan mempunyai tiga anak yang berusia antara satu hingga empat tahun dan pada masa ini isterinya sedang mengandung anak keempat.

"Anak guam saya telah benar-benar insaf dan bertaubat dan ini dapat dilihat dengan dia telah mengaku bersalah," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Zairani Tugiran meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal memandangkan tertuduh ialah seorang guru dan kes tersebut mempunyai kepentingan awam.

Selain kes tersebut adalah amat serius, katanya, tertuduh hanya menukar pengakuan kepada bersalah selepas enam bulan perbicaraan berjalan dan tujuh saksi dipanggil memberi keterangan di mahkamah./urusan

Kes bunuh Siti Mazni: Dua remaja lelaki berusia 14 dan 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah

BATU PAHAT, 30 Dis: Dua remaja lelaki berusia 14 dan 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh pelajar Tingkatan Dua, Siti Mazni Abdul Rahman yang mayatnya ditemui di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran rumahnya.

Kedua-duanya didakwa membunuh Siti Mazni, 14, di Ladang Kelapa Sawit Kampung Parit Ju Darat, Parit Sulong pada pukul 4.30 petang, 15 Disember lalu.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Majistret Azureen Sahira Saufee Afandi menetapkan 23 Februari ini untuk tarikh sebutan semula kes tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Safiah Abdul Aziz

Sementara itu, tiga suspek lain iaitu dua remaja berusia 14 tahun dan seorang lelaki berumur 44 tahun dibebaskan dengan jaminan bon RM50,000 setiap seorang mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.

Pekarangan mahkamah berkenaan turut dipenuhi keluarga tertuduh yang sebelum itu dibawa ke mahkamah menaiki van khas berwarna putih.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan penemuan mayat Siti Mazni di kebun kelapa sawit kira-kira 100 meter dari rumahnya pada 17 Disember lalu selepas dilaporkan hilang tiga hari sebelum itu.

Mayat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putera, Tongkang Pecah itu ditemui dengan kesan tikaman di bahagian hadapan badannya dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang dalam ladang berkenaan./utusan

Operator kilang rogol pelajar dipenjara lima tahun

SHAH ALAM, 30 Dis: Seorang operator kilang dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merogol seorang pelajar tingkatan satu di sebuah kawasan rekreasi, dua tahun lalu.

Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob memerintahkan hukuman terhadap Wan Shahrin Wan Mohd Salim, 25, berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada hari kejadian.

Sebelum menjatuhkan hukuman, hakim tersebut turut menasihatkan tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan itu serta berharap ia merupakan kesalahan terakhir lelaki berkenaan.

Wan Shahrin mengaku merogol mangsa yang berusia 13 tahun enam bulan di Air Terjun Sakai, Kuang, Gombak dekat sini pada pukul 5.30 petang, 1 Disember 2008.

Tertuduh yang telah berkahwin ketika kejadian didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Esther Tan memohon agar Wan Shahrin dikenakan hukuman ringan dengan alasan anak guamnya hanya berusia 23 tahun dan boleh dianggap sebagai pesalah muda ketika kejadian.

Beliau turut memaklumkan tertuduh telah ditinggalkan oleh isterinya selepas ditangkap polis dan ditahan di penjara sejak dua tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Salwa Asmary Abd. Rahim pula memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh berdasarkan kejadian rogol yang semakin kerap dilaporkan berlaku di Selangor.

Katanya, mangsa yang hanya berusia 13 tahun enam bulan juga harus diambil kira dalam menjaga kepentingan awam selain laporan perubatan mengesahkan koyakan baru pada kemaluan mangsa serta kawad cam yang positif.

Sementara itu, penghantar barang ganti kenderaan, Muhammad Zulkifli Ab. Wahid, 22, pula mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan seks luar tabii terhadap mangsa yang sama di kawasan rekreasi itu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Muhammad Zulkifli yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan diwakili oleh peguam Abu Dzarr Ab. Karim dan Mohd. Ashadi Saiman.

Mahkamah menetapkan 22 Februari ini untuk perbicaraan terhadap Muhammad Zulkifli./utusan