ALOR GAJAH: Empat remaja termasuk dua daripadanya pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah, dekat sini dicekup penduduk kampung dan anggota polis selepas berkhalwat bersama pasangan masing-masing, pagi kelmarin.
Dalam tangkapan kira-kira 10.30 pagi di sebuah rumah sekitar Durian Tunggal, dekat sini mendapati pasangan berusia antara 16 dan 18 tahun berdua-duaan di dalam rumah dalam keadaan pintu serta tingkap tertutup rapat.
Jurucakap polis berkata, penduduk menerima maklumat terdapat dua pasangan remaja masih bersekolah berkurung dalam rumah berkenaan sejak awal pagi hari yang sama.
"Bertindak atas maklumat itu, beberapa penduduk yang curiga mula melakukan intipan lalu memberi salam tetapi pintu hanya dibuka setengah jam selepas itu oleh remaja perempuan.
"Remaja itu berpura-pura baru bangun dari tidur dalam keadaan terpinga-pinga melihat kehadiran penduduk," katanya.
Menurutnya, ketika ditanya, remaja itu mendakwa hanya tinggal berseorangan sementara kedua ibu bapanya bekerja.
"Namun penduduk terlihat kelibat seorang lelaki bersembunyi di sebalik langsir.
"Pemeriksaan di dalam rumah menemui dua lelaki dan seorang remaja perempuan menyorok di belakang pintu rumah sebelum diarahkan keluar," katanya.
Katanya, penduduk segera menghubungi balai polis berdekatan dan mereka dibawa ke Balai Polis Durian Tunggal untuk diambil keterangan sebelum diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim).
Sementara itu, Ketua Penguatkuasa Jaim, Rahimin Bani mengesahkan tangkapan dua pasangan remaja terbabit.
“Selepas soal siasat, pasangan terbabit kemudian ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekedudukan,” katanya, semalam./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan