Tertuduh keluar daripada mahkamah setelah dijatuhkan hukuman merogol gadis bawah umur, dekat sini, semalam.
KUANTAN: “Kamu berdua sudah cukup dewasa untuk menilai akibat daripada perbuatan ini tetapi masih sanggup melakukannya.
“Hukuman setimpal wajar dikenakan kepada kamu berdua sebagai satu pengajaran supaya tidak mengulangi perbuatan terkutuk ini,” kata Hakim Noradidah Ahmad terhadap Mohd Tarmizan Shamsudin,20 dan Muhammad Fadli Abduallah, 20, selepas kedua-duanya mengaku bersalah dalam Mahkamah Sesyen Kuantan semalam atas tuduhan berasingan merogol gadis bawah umur.
Noradidah dalam keputusannya memerintahkan tertuduh yang masing-masing berdepan dua tuduhan merogol dihukum penjara 10 tahun dan dua sebatan bagi setiap tuduhan bermula dari tarikh mereka ditangkap bagaimana pun hukuman penjara itu berjalan serentak.
Mohd Tarmizan dari Jaya Gading dekat sini berdepan dua tuduhan merogol gadis berusia 14 tahun dalam dua kejadian berasingan antara jam 9 pagi hingga 1.30 petang di sini, 27 Ogos tahun lalu.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang bekerja sebagai juruteknik pendingin hawa didakwa menjemput mangsa untuk bersiar-siar di Bandar Kuantan sebelum membawa gadis itu ke rumahnya di Jaya Gading.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, tertuduh didakwa merogol gadis tersebut sebelum membawa mangsa ke Pantai Sepat dekat sini dan mengulangi perbuatan itu dalam sebuah tandas kosong kira-kira jam 1.30 petang hari yang sama.
Susulan kejadian, satu laporan polis dibuat keluarga mangsa sehingga membawa kepada penahanannya kira-kira jam 10 pagi hari berikutnya.
Sementara itu, Muhammad Fadli Abduallah berasal dari Kampung Meragih Mukim Penyor, Pekan juga didakwa atas dua tuduhan merogol gadis bawah umur yang baru berusia berusia 12 tahun 6 bulan ketika kejadian.
Tertuduh yang bekerja sebagai buruh ladang didakwa merogol mangsa sebanyak dua kali dalam sebuah rumah di Felda Chini 5 Pekan antara jam 2 pagi hingga 1 tengah hari 12 Julai lalu sebelum dia berjaya ditahan polis lima hari kemudian.
Bagi perbuatan mereka itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan.
Peguam mereka, Zaharman Zainal Abidin sebelum itu dalam rayuannya memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman yang lebih ringan memandangkan ketika kejadian anak guamnya masih muda dan perbuatan itu berlaku atas dasar suka sama suka.
Menurutnya, kedua-dua tertuduh juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka juga sudah insaf atas ketelanjuran itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Hidayatul Syuhada Shamsudin bagaimana pun memohon kepada mahkamah supaya menjatuhkan hukuman setimpal terhadap kedua-dua tertuduh sebagai satu pengajaran bukan sahaja kepada mereka tetapi kepada masyarakat keseluruhannya.
Mengambil kira pertimbangan sewajarnya termasuk faktor kepentingan awam, Noradidah menjatuhkan hukuman 20 tahun penjara dan 4 sebatan terhadap kedua-dua tertuduh bagaimana pun mereka bernasib baik apabila hanya melalui hukuman 10 tahun penjara kerana hukuman itu berjalan serentak./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan