KOTA BHARU: Seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merogol seorang gadis yang juga kenalannya di sebuah hotel di Tok Bali, Pasir Puteh, Julai lalu.
Tuduhan terhadap Muhamad Syazwan Mat Yaccub, 23, dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.
Tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 19 tahun 11 bulan di bilik hotel berkenaan pada jam 5.30 petang, 20 Julai.
Susulan tuduhan itu, pemuda yang berasal dari Kampung Bayam di sini itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding semalam, dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
Peguam bela, Ahmad Nuri Abd Rahman memohon jaminan dibenarkan, tetapi dibantahi Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azahari.
Bagaimanapun, Hakim Azman Mustapha membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
“Tertuduh juga dikenakan syarat iaitu tidak boleh berkomunikasi dengan mangsa. Jika gagal dipatuhi, maka jaminan akan ditarik balik,” katanya.
Kes bersambung 1 November depan./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan