Rabu, 1 Ogos 2012

Polis 'palsu' rogol remaja

Mohd Harmozi (kiri) dan Rizal Azlie (kanan)
 Mohd Harmozi (kiri) dan Rizal Azlie (kanan) memarahi petugas media merakamkan gambar mereka di Mahkamah Sesyen, semalam.
AYER KEROH: Dua sahabat dihukum penjara 15 tahun dan 10 sebatan akibat melakukan perbuatan keji dengan merogol seorang remaja sejurus menyamun dan menyamar sebagai anggota polis, dua tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Ahmad Sazali Omar di Mahkamah Sesyen di sini, selepas Mohd Harmozi Abdul Ghani, 28, dan Rizal Azlie Abdullah, 34, menukar pengakuan kepada bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan pada hari ditetapkan perbicaraan, semalam.

Hukuman itu selepas mengambil kira kelakuan jenayah berat dan kejam dilakukan secara bersama-sama tertuduh dalam satu transaksi.

“Walaupun kamu sudah insaf terutama bersempena Ramadan ini, kamu harus terima hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa berpura-pura sebagai penjawat awam memperkenalkan diri sebagai anggota polis kepada pasangan remaja berusia 14 dan 17 tahun di sekitar Pantai Puteri, Tanjung Keling, kira-kira jam 11 malam pada 23 Disember 2010.

Kedua-duanya melakukan kesalahan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksima dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas harta seorang daripada mangsa dengan mengambil sebuah motosikal jenis Modenas Kriss dan dua telefon bimbit di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Atas kesalahan itu, kedua-duanya yang tidak mempunyai pekerjaan dituduh mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Mereka juga didakwa merogol seorang daripada mangsa di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Tanah Wakaf, Taman Bukit Rambai Jaya di sini, antara jam 11.30 malam dan 1.30 pagi, tarikh sama.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya M Rebecca manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuan, kedua-duanya yang telah menyesal atas perbuatan dilakukan memohon hukuman ringan, selain hukuman penjara dijalankan serentak daripada tarikh ditangkap serta meminta untuk ditempatkan di Penjara Sungai Udang.

Bagaimanapun, Rebecca meminta mahkamah memberikan hukuman berat terhadap tertuduh yang berhadapan tiga pertuduhan termasuk melakukan perbuatan keji terhadap mangsa berusia 14 tahun.

“Perbuatan mereka telah menyebabkan mangsa mengalami gangguan mental dan trauma," katanya.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, Ahmad Sazali menjatuhkan  hukuman penjara dua tahun bagi kesalahan menyamar, lapan tahun dan dua sebatan (rompakan berkumpulan) dan 15 tahun dan lapan sebatan (merogol).

Beliau turut mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak daripada tarikh ditangkap pada 15 Januari 2011 dan tertuduh dipenjarakan di Sungai Udang./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan