Rabu, 29 Ogos 2012

Dua wanita Filipina dibunuh lelaki mabuk di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Seorang lelaki Filipina yang mabuk akibat meminum minuman keras bertindak ganas dan membunuh dua wanita di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Cenderakasih, Kolombong semalam.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP Jauteh Dikun berkata mangsa dikenali sebagai Bibia, 40, dan Jalijah, 30, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah setelah ditikam oleh suspek.

Suspek dilaporkan tinggal serumah dengan sepasang suami isteri dan dua wanita berkenaan, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata kejadian berlaku kira-kira 7 malam apabila pasangan suami isteri itu menegur lelaki berusia 30 tahun itu kerana tingkah lakunya yang ganas selepas meminum minuman keras secara berlebihan.

Katanya ini mencetuskan pertengkaran antara mereka sehingga lelaki itu hilang kawalan lalu bertindak menikam Bibia dan Jalijah.

Difahamkan suspek mengalami cedera parah ekoran satu pergelutan. Dia ditahan polis pada 8 malam dan kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan