Rabu, 22 Ogos 2012

Lelaki serang polis ditembak

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dipercayai anggota kumpulan samseng cedera ditembak selepas menyerang pasukan polis yang cuba menahannya kerana terlibat dalam pergaduhan di sebuah pangsapuri di Pandan Perdana, dekat sini Isnin lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supt Md Nazri Zawawi berkata sebelum itu polis menerima laporan mengenai pergaduhan dua kumpulan di kawasan pangsapuri berkenaan 1.15 pagi sebelum menghantar sepasukan lapan anggota ke tempat kejadian.

"Menyedari kehadiran polis, suspek dan empat lagi rakannya masuk ke dalam kereta jenis Hyundai untuk melarikan diri sebelum dikejar pasukan polis yang kemudian mengesan mereka di Tasik Permai," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Md Nazri berkata kelima-lima suspek berumur 26 hingga 30 tahun itu kemudian meluru keluar daripada kereta cuba menyerang anggota polis menggunakan parang, pisau pemotong daging dan besi.

"Mereka memecahkan cermin hadapan kereta polis dan dalam situasi cemas itu, polis melepaskan dua das tembakan ke arah seorang daripada mereka. Suspek yang cedera itu dihantar ke Hospital Ampang dan kini dalam keadaan kritikal," katanya.

Md Nazri berkata polis menahan empat lagi suspek yang berada dalam kereta tersebut dan mendapati tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau antaranya kes dadah, samun dan cubaan membunuh.

Katanya, kesemua mereka ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan dan polis merampas lima bilah parang, dua batang besi dan satu alat 'walkie-talkie' daripada mereka.

"Polis sedang mengesan saki baki kumpulan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan