PETALING JAYA: Gara-gara mengganggu isteri orang, seorang warga Afrika cedera teruk dibelasah penduduk yang berang dengan tindakannya itu.
Dalam kejadian 11 malam kelmarin, suspek bertindak mengetuk pintu rumah mangsa yang terletak di tingkat bawah blok P, Apartmen Harmoni, Damansara Damai dekat sini.
Menurut sumber, suspek mengetuk beberapa kali rumah mangsa tanpa diketahui sebab dia berbuat demikian.
“Bila mangsa buka pintu, tiada orang di luar namun niat jahat warga Afrika itu mahu menerjah masuk ke dalam rumah tidak menjadi.
“Wanita itu membuka pintu secara tiba-tiba dan dapat melihat dengan jelas suspek yang hanya berseluar pendek serta tidak berbaju.
“Terperanjat dengan kehadiran suspek, wanita itu kemudiannya menjerit sekuat hati dan jeritannya didengari oleh jiran berhampiran,” katanya.
Jelasnya, panik melihat kehadiran jiran mangsa, suspek melarikan diri dan akhirnya dicekup serta dibelasah penduduk di hadapan Sekolah Kebangsaan Damansara Damai 2.
Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT ) Apartmen Harmoni, Zahabu Ramli berkata, sebaik mendapat laporan, anggota KRT turun ke lokasi dan melihat warga Afrika sudah tidak bermaya.
“Kami serahkan suspek kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan wanita itu kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Damansara Damai,” katanya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan