Sabtu, 17 Mac 2012

Mayat lelaki terapung dalam kolam ikan

KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemui mati terapung di dalam sebuah kolam ikan di Jalan Kolam Air, Kuala Kubu Baharu pukul 2.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Norel Azmi Yahya Afendy berkata, terdapat kesan tetakan senjata di bahagian tangan kiri dan kanan belakang kepala mangsa.

"Ketika pihak bomba menaikkan mayat mangsa kira-kira pukul 4.20 petang, mendapati mangsa turut diikat dengan batu besar di bahagian pinggang dan leher, bertujuan untuk menenggelamkan mangsa,” katanya dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini, hari ini.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identiti mangsa dan punca kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan