Khamis, 8 Mac 2012

Duit samun beli kereta

ARAU: Hasrat sepasang suami isteri melaram kereta terpakai baru dibeli secara tunai menggunakan hasil kegiatan samun tidak kesampaian apabila dicekup ketika cuba melarikan diri ke ibu negara, Jumaat lalu.

Pasangan berusia 32 tahun itu membeli kereta jenis Proton Saga berkenaan dan sempat membeli-belah selepas meragut seorang wanita warga emas yang juga pemilik sebuah kedai runcit di Kampung Hutan Buluh, di sini, 29 Februari lalu.

Difahamkan, mereka turut memakai pakaian yang baru dibeli sebelum ditahan sepasukan anggota polis berhampiran Kampung Jeruju, Kubang Pasu, Kedah ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain berkata, ketika menyamun kedai runcit berkenaan pada jam 9 pagi, si suami berpura-pura membeli rokok.

Menurutnya, mereka kemudian keluar sebelum si isteri masuk ke dalam kedai itu sebelum memberitahu seorang peniaga wanita berusia 67 tahun mahu membeli gula-gula.

“Sebaik saja warga emas berkenaan tunduk mengambil gula-gula, suspek perempuan terbabit meragut rantai dipakai mangsa sebelum keluar dari kedai.

“Mangsa yang terkejut dengan kejadian berkenaan cuba mengejar suspek, namun gagal selepas mereka melarikan diri menggunakan motosikal,” katanya, di sini, semalam.

Menurut Mohd Nadzri, sejurus selepas kejadian, mangsa dibantu suaminya membuat laporan di Balai Polis Arau sebelum usaha mengesan pasangan berkenaan dilakukan.

Katanya, operasi sepasukan anggota polis diketuai Inspektor Mohd Haris Husni Mansor mengesan lokasi suspek dalam tempoh 24 jam selepas menerima laporan sebelum menyerbu kediaman disewa pasangan itu di Air Hitam, Kedah Jumaat lalu.

“Ketika serbuan dilakukan, pihaknya menjumpai beberapa helai pakaian baru serta sebuah kereta jenis Proton Saga dipercayai dibeli hasil gadaian rantai mangsa bernilai RM20,000 itu.

“Suspek didapati sudah menggadai rantai sebelum membeli kereta berharga lebih RM6,000 itu secara tunai tetapi tidak sempat membeli-belah di Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak menemui barang kemas yang diragut suspek, namun mengesahkan suspek menyamun barang kemas berkenaan berdasarkan pengakuannya.

“Pasangan suami isteri itu kini ditahan reman sehingga 9 Mac ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya memaklumkan suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan samun./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan