Rabu, 17 April 2013

Mayat remaja perempuan ditemui dengan kesan tusukan di leher

KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan berumur 18 tahun ditemui dengan kesan tikaman di leher di dalam sebuah longkang berhampiran padang bola di Jalan Tiong 7, Bandar Puchong Jaya, dekat sini hari ini.


Ketua Polis Daerah Serdang ACP Abd Razak Elias berkata polis menerima laporan daripada seorang lelaki pada 6.50 petang tadi yang menemui mayat tersebut.


"Mayat itu ditemui dalam keadaan tertiarap dengan kesan luka kecil berlubang di leher," katanya dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama di sini hari ini.


Beliau berkata berdasarkan dokumen yang ditemui pada mayat itu, mangsa dikenali sebagai Parhwine Lucia Mejia Kaur.


Beliau berkata punca kematian masih belum dikenal pasti dan bedah siasat akan dilakukan di Hospital Serdang esok, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan./Bernama

Khamis, 4 April 2013

Bakal mempelai dicekup khalwat

Bakal mempelai dicekup khalwatAntara pasangan yang dicekup Jaij dalam operasi yang dijalankan.
JOHOR BAHRU: Seorang pemuda memberi pelbagai alasan kerana bimbang dirinya diambil tindakan selepas ditangkap khalwat bersama teman wanita di sebuah hotel bajet, di sini, awal pagi semalam.

Dalam serbuan pertama sekitar jam 12.45 pagi, lelaki terbabit bersama teman wanita masing-masing berusia 21 tahun itu mengakui sudah bertunang dan bakal melangsungkan perkahwinan pada tahun ini.

Bagaimanapun, mereka ditahan ketika sedang berdua-duaan dalam bilik hotel terbabit.

Lelaki terbabit ditemui tidak berbaju dan sekadar memakai seluar panjang, manakala pasangannya hanya berbaju dalam serta menutup tubuh menggunakan tuala.

Bimbang dikenakan tindakan lanjut, pemuda terbabit memohon maaf serta merayu kepada anggota dan pegawai penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) supaya tidak menahannya.

“Saya hanya teman dia (teman wanita) mandi sahaja. Kami tidak buat apa-apa dan cuma mahu tidur. Tolonglah jangan ambil tindakan ke atas saya.

“Saya minta maaf dan bersedia membayar denda sekarang. Saya tidak mahu ditahan kerana ibu bapa saya sekarang sedang sakit, tolonglah encik,” katanya.

Sementara itu, di lokasi sama, sepasang kekasih tergamam apabila bilik hotel yang disewanya diketuk anggota dan pegawai penguatkuasaan Jaij dalam serbuan kedua sekitar jam 1.05 pagi.

Oleh kerana bimbang untuk membuka pintu, lelaki berusia 26 tahun bertindak meninjau kehadiran anggota ops menerusi tingkap bilik air hotel terbabit.

Dia bersama teman wanitanya berusia 23 tahun yang ditemui berpakaian lengkap hanya membenarkan anggota dan pegawai penguatkuasaan Jaij masuk ke dalam bilik selepas 10 minit menunggu.

Kadi Daerah Johor Bahru, Ahmad Hanif Naim berkata, berdasarkan aduan orang awam, sepasukan anggota yang diketuai Pegawai Penguatkuasa Jaij, Khairudin Mat Ali memeriksa hotel berkenaan./sinarharian

Sabtu, 30 Mac 2013

Cabul remaja: Pengawal keselamatan Nepal dipenjara 18 bulan

GEORGETOWN: Akibat meraba payudara seorang remaja, seorang warganegara Nepal dikenakan hukuman penjara selama 18 bulan.

Mangsa yang baru berusia 16 tahun memberitahu diraba tertuduh, Tara Kant Yadav, 32 ketika melalui sebuah kedai runcit di Bukit Dumbar, Jelutong.

Mengikut fakta pertuduhan, mangsa pada awalnya mendapati tertuduh yang berada dalam keadaan mabuk dan hilang imbangan menarik remaja berkenaan ke kedai runcit berhampiran.

Selepas menyambar lengan mangsa, tertuduh dengan sengaja cuba memegang payudara mangsa, dan tidak semena-mena, tertuduh kemudiannya sekali lagi cuba mengulangi perbuatannya sehingga menyebabkan remaja berkenaan menjerit.

Mangsa kemudiannya menangis dan memberitahu orang awam berhampiran menyebabkan tertuduh diberkas anggota polis kira-kira setengah jam kemudiannya.

Tertuduh yang juga seorang pengawal keselamatan didapati melakukan kesalahan tersebut pada 19 Mac kira-kira jam 2 petang.

Dia didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau sebat, atau kedua-duanya.

Majistret Umma Devi Loganathan kemudiannya menjatuhkan hukuman 18 bulan penjara dan satu kali sebatan terhadap tertuduh./sinarharian

Khamis, 28 Mac 2013

Dua remaja dirogol di surau lama

HULU SELANGOR - Kegembiraan dua sahabat untuk bertemu teman lelaki bertukar mimpi ngeri, apabila kedua-dua mereka dirogol di surau lama, Jalan Padang Golf di sini, kira-kira seminggu lalu.


Sebelum kejadian, kedua-dua remaja yang tinggal di Rawang itu, difahamkan keluar untuk bertemu teman lelaki mereka di kawasan Kuala Kubu Baru pada Khamis lalu.


Mereka bagaimanapun tidak pulang ke rumah selama tiga hari, sebelum kedua-duanya berjaya ditemui di sebuah kafe siber di kawasan sama pada Sabtu lalu.


Susulan itu, dua laporan polis dibuat kelmarin oleh keluarga kedua-dua remaja berusia 14 dan 15 tahun itu yang mengesyaki mereka dirogol.


Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, polis kemudiannya menahan dua lelaki berusia 15 dan 18 tahun iaitu teman lelaki kepada dua mangsa terbabit.


"Hasil soal siasat awal, dua suspek itu mengaku melakukan hubungan seks dengan kedua-dua mangsa di surau sebuah sekolah menengah di sini.


"Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan dan doktor mengesahkan terdapat kesan kemasukan pada kemaluan mereka," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), semalam.


Menurutnya, dua suspek itu kini direman untuk siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana rogol./sinarharian

Padah cabul isteri orang

Ridzuan dibawa ke Mahkamah Majistret, semalam.
Ridzuan dibawa ke Mahkamah Majistret, semalam.
KUALA TERENGGANU - Tindakan berani seorang buruh yang mencabul isteri orang menerima padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara selama 14 hari dan denda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Lebih malang, Majistret Abdul Hayyi Salim turut memerintahkan Ridzuan Che Anera, 32, dari Jalan Teluk Lipat, Dungun, dipenjarakan tiga bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hukuman itu diputuskan selepas Ridzuan mengaku bersalah menggunakan kekerasan jenayah dengan mencabul kehormatan mangsa berumur 27 tahun di sebuah rumah di Jalan Gong Badak, di sini, kira-kira jam 8.30 pagi, 30 November 2012.

Dia mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dengan memeluk dan meraba buah dada serta kemaluan mangsa.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda, manakala Ridzuan tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, sebelum kejadian, mangsa berada di rumahnya sebelum didatangi Ridzuan yang secara tiba-tiba muncul lalu masuk ke dalam rumahnya.

Ridzuan bertindak memeluk dan menutup mulut mangsa, sementara sebelah tangan lagi meraba buah dada dan kemaluan mangsa.

Bagaimanapun, Ridzuan melarikan diri sejurus terkejut mendengar tangisan anak mangsa.

Ketika mahu melarikan diri, Ridzuan sempat berpesan kepada mangsa supaya jangan memaklumkan mengenai kejadian berkenaan kepada orang lain./sinarharian

Sabtu, 23 Mac 2013

Siasatan kes rogol: Suspek hilangkan diri

Muhamad Shahril Izairol Mohamad RoslanMuhamad Shahril Izairol Mohamad Roslan
IPOH – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai menghilangkan diri ketika masih dalam jaminan polis bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan seorang pelajar tingkatan 3.


Ketua Polis daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, suspek dikenali Muhamad Shahril Izairol Mohamad Roslan, 22, dari Anjung Bemban Maju, Pusing itu ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan setelah berjaya ditangkap di Pekan Baru, Ipoh.


Bagaimanapun menurutnya, lelaki yang masih dalam jaminan polis itu dikesan menghilangkan diri sebelum proses pendakwaan dilakukan dan waran tangkap terhadap suspek telah diperoleh.


“Barang kes seperti tilam dan cadar telah dirampas dan dihantar ke Jabatan Kimia Petaling Jaya untuk analisa, setelah siasatan lengkap, timbalan pendakwa raya bersetuju membuat pertuduhan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu rogol. Bagaimanapun sehingga kini suspek gagal dikesan,” katanya.


Dalam kejadian November 2011 lalu, seorang remaja berusia 15 tahun yang tinggal di Flat Sri Conolly, Jalan Pasir Puteh membuat laporan dirogol di sebuah kediaman di Taman Anjung Bemban Maju, kira-kira jam 1.30 pagi.


Shaharon berkata, mangsa mengikut suspek yang juga teman lelakinya telah menolak untuk melakukan hubungan seks dan telah cuba melawan, namun gagal melepaskan diri.


“Polis menerima laporan daripada mangsa kira-kira tujuh bulan selepas kejadian. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Hidayah Mahzan di talian 05-3629222,” katanya./sinarharian

Jumaat, 22 Mac 2013

Warga Vietnam dirogol dalam kejadian samun

SEREMBAN – Seorang wanita warga Vietnam bukan sahaja menjadi mangsa samun malah dirogol dalam satu kejadian di Taman Semarak, Nilai, dekat sini, Sabtu lalu.

Mangsa yang berusia 20-an dan sudah berkahwin itu disamun dua lelaki warga tempatan yang memecah masuk rumahnya sebelum salah seorang suspek bertindak merogol mangsa.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa bersama suaminya berusia 39 tahun dan warga tempatan itu baru pulang selepas bertemu rakannya di sekitar bandar Nilai.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, sebaik tiba di rumah, si suami menurunkan isterinya di hadapan rumah berikutan mahu ke kedai makan berhampiran.

“Kira-kira setengah jam kemudian, suami mangsa pulang dan melihat isterinya sedang diseret dua lelaki di kawasan belakang rumah.

“Suami mangsa kemudiannya cuba melanggar kedua-dua suspek dengan kereta yang dipandunya namun gagal,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurutnya, kedua-dua suspek bertindak melarikan diri dengan motosikal yang diletakkan berhampiran dengan rumah mangsa.

“Hasil siasatan kita mendapati kedua-dua suspek telah memecah masuk rumah mangsa ketika suami isteri itu tiada di rumah.

“Mangsa juga mendakwa dirogol salah seorang suspek dan mengalami kerugian hampir RM6,000 berikutan barang kemas miliknya dibawa lari penjenayah itu,” katanya.

Mohd Yusoff berkata, pihaknya berjaya menahan kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 20-an itu di sekitar kawasan Pajam, Nilai, di sini, kelmarin.

“Kedua-dua suspek ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah samun dan rogol,” katanya./sinarharian

Khamis, 21 Mac 2013

Remaja perempuan, 14 tahun yang hilang, ditemui bersembunyi di belakang pokok sedang melakukan hubungan seks

Buat maksiat belakang pokok
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh
KULIM - Polis berjaya menemui semula seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang beberapa hari lalu di sebuah ladang kelapa sawit dekat sini, kira-kira jam 11.30 pagi kelmarin.


Pelajar itu dikatakan lari dari rumah dan tinggal bersama rakannya.


Ketika ditemui, dia bersembunyi di belakang pokok kelapa sawit dan lebih mengejutkan, pelajar itu sedang melakukan hubungan seks bersama
kekasihnya.


Pasangan kekasih itu bagaimanapun cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan polis.


Remaja itu dan suspek kemudiannya dibawa ke balai polis untuk membuat laporan.


Siasatan mendapati, gadis berkenaan mengenali suspek dua bulan lalu dan pernah melakukan hubungan seks lebih dari sekali.


Pada mulanya, dia dikatakan a mengajak suspek pergi berkelah bagaimanapun suspek membawanya ke ladang kelapa sawit untuk melakukan hubungan seks.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.


Beliau turut menasihatkan mana-mana remaja lelaki supaya tidak menjalinkan hubungan intim dan melakukan hubungan seks dengan pelajar perempuan bawah umur.


“Sekiranya mereka melakukan hubungan seks terhadap pelajar perempuan bawah umur, ia merupakan satu kesalahan serius kerana perbuatan itu diklasifikasikan sebagai rogol walaupun mangsa merelakannya.


“Suspek yang melakukan jenayah rogol, boleh dikenakan hukuman penjara dan sebatan,” katanya./sinarharian

Ahad, 17 Mac 2013

Empat remaja dicekup berkhalwat

ALOR GAJAH: Empat remaja termasuk dua daripadanya pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah, dekat sini dicekup penduduk kampung dan anggota polis selepas berkhalwat bersama pasangan masing-masing, pagi kelmarin.

Dalam tangkapan kira-kira 10.30 pagi di sebuah rumah sekitar Durian Tunggal, dekat sini mendapati pasangan berusia antara 16 dan 18 tahun berdua-duaan di dalam rumah dalam keadaan pintu serta tingkap tertutup rapat.

Jurucakap polis berkata, penduduk menerima maklumat terdapat dua pasangan remaja masih bersekolah berkurung dalam rumah berkenaan sejak awal pagi hari yang sama.

"Bertindak atas maklumat itu, beberapa penduduk yang curiga mula melakukan intipan lalu memberi salam tetapi pintu hanya dibuka setengah jam selepas itu oleh remaja perempuan.

"Remaja itu berpura-pura baru bangun dari tidur dalam keadaan terpinga-pinga melihat kehadiran penduduk," katanya.

Menurutnya, ketika ditanya, remaja itu mendakwa hanya tinggal berseorangan sementara kedua ibu bapanya bekerja.

"Namun penduduk terlihat kelibat seorang lelaki bersembunyi di sebalik langsir.

"Pemeriksaan di dalam rumah menemui dua lelaki dan seorang remaja perempuan menyorok di belakang pintu rumah sebelum diarahkan keluar," katanya.

Katanya, penduduk segera menghubungi balai polis berdekatan dan mereka dibawa ke Balai Polis Durian Tunggal untuk diambil keterangan sebelum diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim).

Sementara itu, Ketua Penguatkuasa Jaim, Rahimin Bani mengesahkan tangkapan dua pasangan remaja terbabit.

“Selepas soal siasat, pasangan terbabit kemudian ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekedudukan,” katanya, semalam./sinarharian

Jumaat, 15 Mac 2013

Bersekedudukan hingga hamil

Bersekedudukan hingga hamil
Salmah berharap dapat melalui prosedur pernikahan sah menurut syariat Islam selepas memeluk Islam sebulan lalu
ROMPIN: “Saya tak tahu prosedur, malah saya bimbang jika anak dilahirkan ini tidak boleh dibin atau dibintikan bapanya yang sebenar kerana saya telah mengandung lapan bulan,” demikian luahan seorang saudara baru yang memeluk Islam, kira-kira
sebulan lalu.

Salmah (bukan nama sebenar), 30, berkata, dia mengandung anak luar nikah hasil hubungan sulitnya dengan seorang lelaki warga asing yang bekerja di sebuah projek tanaman buah-buahan tempatan berhampiran tempat tinggalnya.

Menurutnya, dia dan lelaki yang dikenali sebagai Mahmud (bukan nama sebenar), 30, mula menjalani kehidupan sebagai ‘suami isteri’ selepas dia disahkan mengandung dua bulan.

“Akibat keterlanjuran kami, saya mengandung, dan dia sanggup bertanggungjawab atas segala yang berlaku, malah mahu memperisterikan saya secara sah melalui ikatan perkahwinan,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, katanya, dia berdepan masalah untuk berkahwin secara sah kerana ‘suami’ warga asing itu beragama Islam, sedangkan dia masih berpegang kepada ajaran animisme dianutinya selama ini.

“Saya pergi ke Pejabat Agama Islam Daerah (Paid), namun mereka meminta kami memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Jabatan Imigresen memandangkan suami bukan orang tempatan,” katanya.

Salmah berkata, disebabkan urusan mendaftar perkahwinan rumit, mereka mengambil keputusan untuk berkahwin mengikut istiadat masyarakat Orang Asli.

“Setelah berbincang dengan keluarga saya, kami mengambil keputusan untuk berkahwin mengikut adat Orang Asli, malah ketika perkahwinan itu dilangsungkan saya masih belum memeluk Islam,” katanya.

Menurutnya, dia memeluk Islam sebulan lalu di Paid Rompin, bagaimanapun terpaksa menyembunyikan kandungannya.

Salmah yang mempunyai enam orang anak hasil perkahwinan terdahulu berkata, dia mahu mengikut prosedur pernikahan sah menurut syariat Islam kerana bimbang masa depan anak yang bakal dilahirkannya itu.

“Saya memohon Paid menikahkan saya dengan segera kerana tidak sanggup bergelumang dosa, apatah lagi saya sudah menjadikan Islam sebagai pegangan hidup,” katanya.

Menurutnya, sejak hidup bersama Mahmud, lelaki warga asing itu menjalankan tanggungjawabnya dengan baik, malah dia yakin perkahwinan keduanya itu menemui kebahagiaan yang dicarinya selama ini.

“Saya mahu terus hidup bersamanya. Biarpun berlainan keturunan. Saya yakin lelaki ini bertanggungjawab dan ikhlas menerima saya seadanya,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Paid Muadzam Shah berkata, perkahwinan yang dijalankan mengikut adat Orang Asli itu tidak sah di sisi syarak, sedangkan lelaki itu beragama Islam.

Menurutnya, pasangan itu perlu datang ke Paid Muadzam Shah untuk membetulkan semula pernikahan tersebut seandainya semua syarat termasuk kelulusan dan kebenaran daripada kedutaan negara dan Jabatan Imigresen diperoleh.

“Bagaimanapun, status anak dikandungkannya tidak sah dan tidak boleh dibin atau dibintikan dengan nama lelaki terbabit,” katanya./sinarharian