Selasa, 27 Disember 2011

Bakal pengantin dicekup

Bakal-pengantin-itu-dicekup-berkhalwat--oleh-Penguatkuasa-Pejabat-Agama-Daerah-Ledang-(PPADL)-dalam-
LEDANG: “Saya tak nak perkara ini heboh dan kami akan kahwin bulan depan.”

Itu permintaan seorang lelaki apabila dicekup berkhalwat bersama tunangnya oleh Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Ledang (PPADL) dalam sebuah hotel di sini, awal pagi semalam.

Lelaki berusia 27 tahun dan pasangannya berusia 24 tahun ditahan dalam serbuan kira-kira jam 2 pagi itu, ketika sedang berdua-duaan dalam bilik di sebuah hotel.

Lelaki itu mendakwa, dia berada di bilik hotel tersebut sekadar untuk menemani tunangnya dan akan pulang ke rumah ibunya di Sagil sebaik sahaja hujan berhenti.

“Tunang saya tiba dari Masai kira-kira jam 5.30 petang dan dia datang ke sini kerana mahu menghadiri majlis pertunangan adik perempuan saya hari ini (semalam).

“Saya bawa dia ke hotel ini kerana dia tidak mahu tidur di rumah ibu saya disebabkan malu dengan ahli keluarga yang lain,” katanya ketika disoal siasat penguat kuasa yang turut disertai Sinar Harian.

Mereka sudah bertunang sejak setahun lalu dan bakal mendirikan rumah tangga pada Januari tahun depan.

“Sementara menunggu hujan teduh, saya tertidur dan tidak sangka penguat kuasa akan memeriksa bilik ini,” katanya.

Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, berdasarkan aduan orang awam, sepasukan anggota yang diketuai Pegawai Penguat Kuasa, Mohd Zainal Kadiran memeriksa hotel berkenaan.

Menurutnya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang lelaki berbaju T dan berseluar pendek membuka pintu.

“PPADL terpaksa menunggu hampir 15 minit sebelum lelaki berkenaan membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dijalankan.

“Pemeriksaan lanjut menemui seorang wanita memakai baju-T dan berseluar sedang bersembunyi di sebalik langsir bilik hotel berkenaan” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, pasangan itu kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.

“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke Pejabat Agama untuk siasatan lanjut dan dijamin dengan jaminan keluarga masing-masing,” katanya.

Katanya, mereka ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan./sinarharian

Ahad, 25 Disember 2011

Lelaki maut diserang tiga lelaki bertopeng

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki maut selepas diserang tiga lelaki bertopeng bersenjatakan parang di sebuah restoran di Taman Puteri Wangsa, di sini, awal pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Supt. Abdul Samad Salleh berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2 pagi ketika lelaki berumur 40-an itu sedang minum berseorangan di restoran berkenaan.

"Menurut saksi, ketiga-ketiga lelaki terbabit memakai topeng. Kejadian berlaku dengan pantas dan mangsa yang merupakan rakyat tempatan mati di tempat kejadian akibat cedera parah ditetak di beberapa anggota badan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abdul Samad berkata, polis sedang mengenal pasti motif kejadian dan memburu ketiga-tiga lelaki terbabit.

Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail di sini untuk bedah siasat./ Bernama

Bayi dijumpai dalam kotak di kawasan pelupusan sampah di Machang

MACHANG: Mayat seorang bayi lelaki, yang dibungkus dan diletakkan dalam sebuah kotak, ditemui di kawasan pelupusan sampah di Bukit Tajol, Banggol Judah di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Machang, DSP Che Malek Bedut berkata mayat bayi yang cukup sifat dan masih bertali pusat itu ditemui beberapa pekerja pemungut sampah pada pukul 1.15 petang ini.

"Mayat itu dijumpai mereka sebaik sahaja lori pengangkut sampah Majlis Daerah Machang (MDM) membuangnya bersama sampah di kawasan itu," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata mayat bayi itu dibawa ke Hospital Machang untuk dibedah siasat dan polis akan melancarkan gerakan mengesan mereka yang terbabit dalam pembuangan mayat bayi itu.

Seorang daripada pemungut sampah, Rosmi Shafie, 30, berkata mayat bayi itu dibungkus dengan baju-t dan kain sarung perempuan ketika ditemui.

"Kami amat terkejut sebab pada mulanya kami menyangka dalam kotak itu terdapat barang berharga tetapi rupa-rupanya mayat seorang bayi yang comel dan sempurna," katanya./Bernama

Sabtu, 24 Disember 2011

Datin muda dicekup berkhalwat

LANGKAWI: Seorang Datin muda dicekup berkhalwat dengan pasangannya yang juga ahli perniagaan di sebuah bilik hotel empat bintang di Kuala Teriang, di sini, awal pagi kelmarin.

Wanita berusia 25 tahun itu dicekup pada jam 1.30 pagi oleh sepasukan penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Langkawi (Padal) hasil maklumat orang awam, berhubung kegiatan maksiat pasangan itu.

Sumber Padal berkata, anggotanya bergegas ke lokasi sebaik menerima aduan dan memeriksa sebuah bilik di hotel itu yang disyaki disewa pasangan terbabit.

Menurutnya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang lelaki yang berbaju tidur membuka pintu dan terkejut melihat kehadiran penguat kuasa sebelum membenarkan mereka masuk untuk membuat pemeriksaan./hmetro

Guna alasan ambil telefon

Guna alasan ambil telefon
LEDANG: “Saya mahu ambil telefon bimbit,” itu helah seorang wanita untuk melepaskan diri daripada ditahan ketika dicekup berkhalwat oleh Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Ledang (PPADL) di sebuah rumah di Parit Bunga di sini, awal pagi kelmarin.

Ketika serbuan dibuat kira-kira jam 3.30 pagi itu, wanita berusia 23 tahun terbabit dan pasangannya warga Indonesia ditahan kerana didapati berdua-duaan dalam bilik di rumah berkenaan.

Lelaki terbabit yang bekerja sebagai buruh binaan sudah setahun setengah berhijrah ke negara ini dan baru sebulan mengenali wanita itu ketika membeli pau di gerainya yang terletak kira-kira 15 meter dari rumahnya.

Sejak itu, mereka saling bertukar-tukar nombor telefon bimbit dan wanita itu sering dilihat penduduk berhampiran datang ke rumah lelaki terbabit pada awal pagi untuk bersembang.

Kadi Daerah Ledang, Su­laiman Maidin berkata, berda­sarkan aduan orang awam, sepasukan anggota diketuai Pe­­gawai Penguat kuasa, Mohd Zainal Kadiran dan dibantu penduduk kampung memeriksa rumah tersebut.

Menurutnya, PPADL terpaksa memecahkan pintu rumah itu apabila pasangan terbabit enggan membuka pintu setelah memberi salam dan menunggu kira-kira 15 minit.

“Pemeriksaan lanjut menemui seorang wanita tidak berbaju dan berkemban sedang sembunyi dalam bilik.

“Manakala pasangannya tidak berbaju dan berseluar berada di dapur dan dipercayai cubaan untuk melarikan diri setelah menyedari kehadiran penguat kuasa,” katanya.

Sulaiman berkata, pasangan itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hu­bun­gan mahram atau suami isteri.

“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut dan dijamin dengan jaminan keluarga masing-masing,” katanya.

Katanya lagi, mereka ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 yang boleh dike­nakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya./sinarharian

Suami jaga anak, isteri khalwat di hotel

GEORGETOWN: Terpedaya dengan janji manis dan pujukan manja teman lelaki untuk bermalam di hotel, seorang ibu enam anak menerima padah apabila ditahan kerana disyaki berkhalwat di Seberang Jaya, Seberang Prai Tengah (SPT), awal pagi kelmarin.

Lebih mengejutkan, ketika ditahan wanita berusia 44 tahun itu memberitahu dia masih berstatus isteri orang malah suaminya sedang menjaga anak mereka di rumah ketika dia keluar.

Wanita itu antara sembilan pasangan yang ditahan atas dua kesalahan iaitu berkhalwat dan berkelakuan kurang sopan di tempat awam di beberapa lokasi sekitar Butterworth dan Seberang Jaya.

Operasi cegah maksiat itu membabitkan sepasukan pegawai penguat kuasa, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) diketuai Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan.

Khairul Azman berkata, dalam pemeriksaan itu, wanita terbabit memberi alasan dia menghadapi masalah dengan suaminya selepas melayari alam rumah tangga selama 29 tahun serta mengenali teman lelakinya sejak setahun lalu.

Beliau berkata, wanita itu memberitahu teman lelakinya mengajak tidur di hotel sedangkan mereka sebelum itu hanya berjumpa untuk makan.

“Suspek lelaki yang berusia 45 tahun itu turut mengakui dia mengetahui teman wanitanya sudah berkahwin.

“Lebih memeranjatkan, lelaki itu turut mengaku isterinya yang berusia 25 tahun sarat mengandung lapan bulan malah mengenali suami teman wanitanya yang bekerja sebagai penjual barang lusuh,” katanya.

Khairul Azman berkata, kedua-duanya bersama pasangan lain berusia antara 20 hingga 40-an ditahan sebelum dibawa ke Pejabat Penguat kuasa JHEAIPP Daerah Butterworth untuk diambil keterangan.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 27(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 iaitu berkhalwat dan sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pasangan yang ditahan atas kesalahan berkelakuan kurang sopan, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 29 enakmen sama yang mana sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali./hmetro

Jumaat, 23 Disember 2011

Ibu biar anak khalwat

Sembunyi perbuatan anak elak dicekup
LEDANG: Seorang ibu tergamak menyembunyikan perbuatan anak perempuannya daripada ditangkap khalwat dalam satu serbuan oleh Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Ledang di sebuah rumah di sebuah taman perumahan di Tangkak, awal pagi semalam.

Bagaimanapun, tindakan wanita berusia 44 tahun itu yang mendakwa teman lelaki anaknya sebagai anak saudaranya dari Segamat terbongkar.

Ia berikutan anak perempuan wanita terbabit yang berusia 17 tahun mengaku lelaki berusia 16 tahun dan tidak bersekolah itu adalah teman lelakinya, selain bercadang untuk berkahwin pada Mac tahun depan.

Lebih malang, ibu remaja terbabit turut diarah hadir ke Pejabat Agama Daerah Ledang kerana didapati nikah tanpa kebenaran di Narathiwat, Thailand pada 2004.

Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, berdasarkan aduan orang awam, sepasukan anggota yang diketuai Pegawai Penguatkuasa, Mohd Zainal Kadiran memeriksa rumah tersebut.

Menurutnya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang wanita berbaju tidur membuka pintu.

“Pihak penguat kuasa terpaksa menunggu hampir 10 minit sebelum wanita berkenaan membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dijalankan.

“Pemeriksaan lanjut menemui seorang remaja lelaki berseluar pendek tanpa memakai baju dalam sebuah bilik, manakala remaja perempuan sedang baring di atas katil,” katanya kepada Sinar Harian.

Sulaiman berkata, pasangan itu kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.

“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang sebelum dibawa ke Pejabat Agama untuk siasatan lanjut dan dijamin dengan jaminan keluarga masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, mereka ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Manakala ibu remaja perempuan terbabit diarahkan hadir ke Pejabat Agama Darah Ledang kerana bersubahat dan akan didakwa di bawah Seksyen 40(2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam kerana nikah tanpa kebenaran./sinarharian

Ugut sebar gambar bogel

Ugut sebar gambar bogel
AYER KEROH: Akibat merogol seorang remaja bawah umur dan mengugut menyebarkan gambar bogel mangsa, seorang pekerja ‘bundle’ dihukum penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Hukuman dijatuhkan Hakim Ahmad Sazali Omar ke atas Nornira Ali, 26, selepas dia mengaku bersalah terhadap dua tuduhan termasuk pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan pindaan, tertuduh bersama seorang lagi rakannya Ruszarie Aim didakwa bersama-sama melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa sama dan teman lelaki mangsa, berusia 15 tahun iaitu ugutan menyebarkan suatu bencana terhadap nama baik mereka.

Perbuatan itu dilakukan Nornira dan Ruszarie pada 22 Ogos 2010 di sebuah Pusat karaoke, tingkat atas Perhentian Bas Pulau Sebang di dalam daerah Alor Gajah, jam 9.30 hingga 10.30 pagi.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan kedua, Nor­nira didakwa merogol seorang gadis berusia 15 tahun di alamat dan masa yang sama seperti pertuduhan pertama pada 23 Ogos 2010.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Sebelum ini, pada 13 Mac lalu, Ruszarie dijatuhi hukuman denda RM2,000 atas kesalahan bagi Seksyen 506 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan disabitkan ke atasnya.

Nornira yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah meringankan hu­kuman kerana telah insaf dan berjanji tidak mengulangi kesalahan itu.

Dia juga perlu menanggung ibu bapa yang uzur dan anak kecil berusia setahun serta isteri yang tidak bekerja.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat memohon mah­kamah menjatuhkan hukuman berat kerana sering berlaku kes melibatkan rogol bawah umur.

Ahmad Sazali kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi pertuduhan pindaan dan lima tahun untuk pertuduhan kedua./sinarharian

Khamis, 22 Disember 2011

Mengaku curi barang kemas bapa tiri

Mengaku curi barang kemas bapa tiriKUALA TERENGGANU: Tidak berhati perut! Seorang anak sanggup mencuri pelbagai jenis barang kemas bernilai RM10,000 milik bapa tirinya yang disimpan di dalam bilik kediaman mereka di Kampung Durian Burung, di sini, 9 Disember lalu.

Bagaimanapun, Zulhilmi Syazwan Mohamad, 21, menerima pembalasan atas perbuatannya setelah dijatuhi hukuman penjara selama tiga bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh mengaku bersalah mencuri seutas rantai emas kristal, sebentuk cincin tangan emas kristal, sebentuk cincin berlian, tiga bentuk kerongsang emas, dua utas rantai perak, sebentuk loket perak yang keseluruhannya bernilai RM10,000 pada 9 Disember lalu, jam 9 pagi di rumah mereka di Kampung Durian Burung, di sini.

Dengan itu, tertuduh didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi di hadapan Majistret Nor Azizah Jusof manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nor Azizah turut memerintahkan agar tertuduh dipenjara selama tiga bulan lagi jika gagal menjelaskan denda ditetapkan.

Berdasarkan fakta kes, kehilangan barang kemas itu hanya disedari bapa tiri tertuduh, Mohd Zam Endut, 55, pada 9 Disember lalu, jam 1 tengah hari setelah mendapati kayu pada cermin tingkap biliknya terdapat kesan dibuka.

Setelah membuat pemeriksaan, bapa tiri tertuduh yang bekerja sebagai peniaga emas itu mendapati beg yang mengandungi barang kemas telah tiada dan yakin ia dicuri, bapa tirinya itu terus membuat laporan polis di Balai Polis Chabang Tiga, di sini, pada hari sama.

Susulan laporan polis yang dibuat, dua hari selepas itu iaitu pada 11 Disember lalu, tertuduh telah ditangkap di tepi jalan, hadapan Hotel Terengganu kira-kira jam 1 tengah hari dan selepas disoal siasat, pada jam 2.10 petang, tertuduh telah menunjukkan lokasi barang kemas itu disimpan iaitu di dalam rumah mereka.

Pada masa sama, tertuduh turut mengaku telah memecah masuk bilik kedua orang tuanya itu pada 9 Disember lalu kira-kira jam 9 pagi setelah kedua-dua mereka tiada di rumah./sinarharian

Wanita cari durian jumpa mayat lelaki

SANDAKAN: Seorang wanita yang sedang mencari durian menemui mayat seorang lelaki dengan kesan cedera di kepalanya di Kampung Sandak Batu 10 dekat sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Supt. Fadzil Mohd. Ali berkata, wanita itu menemui mayat terbabit di tepi jalan kira-kira pukul 5.30 pagi.

Katanya, identiti mayat itu belum diketahui berikutan tiada pengenalan diri ditemui.

Siasatan awal polis di tempat kejadian mendapati kesan cedera di kepala mayat itu dipercayai akibat dipukul.

Fadzil berkata mayat lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Duchess Of Kent Sandakan untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu agar menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan./Bernama