Rabu, 12 Disember 2012

Padah raba punggung pelajar

 Padah raba punggung pelajar
Mohd Khairul mengaku meraba punggung seorang pelajar tingkatan lima di Mahkamah Majistret, semalam.
KUALA TERENGGANU: Padah memegang punggung seorang pelajar tingkatan lima, seorang penganggur berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan kerana mencabul.

Tertuduh, Mohd Khairul Mat Amin, 28, dari Kampung Bukit Depu, Jalan Pasir Panjang, di sini, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Mohd Khairul mengaku menyentuh punggung mangsa berusia 17 tahun menggunakan tangan dengan niat mencabul kehormatan dirinya di lorong gelap di Jalan Pejabat Tanah, di sini, kira-kira jam 8.15 malam pada 30 Ogos lalu.

Bagaimanapun, Majistret Noradila Ab Latif menetapkan 13 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk jatuh hukum dan membenarkan Mohd Khairul diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna, manakala Mohd Khairul tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian mangsa bersama kakak angkatnya dalam perjalanan ke kelas tambahan di Losong, Chabang Tiga, di sini, dengan menaiki motosikal sebelum diekori Mohd Khairul.

Ketika tiba di satu lorong gelap, Mohd Khairul yang menaiki motosikal menghimpit mangsa dan cuba memegang buah dada kakak angkat mangsa tetapi tidak berjaya.

Namun, Mohd Khairul sekali lagi menghimpit motosikal dinaiki mangsa dan meraba punggung mangsa dari arah belakang menyebabkan mangsa membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga./sinarharian

Kemaluan perogol bertayam

 
MOHAMAD FADZLIE (kanan) dan Mohd. Khairiell Idzham berjalan keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR: Keterangan seorang wanita Vietnam mengatakan dia terpegang satu objek keras pada kemaluan lelaki yang merogolnya ketika sesi kawad cam dapat mengheret pemuda itu ke muka pengadilan sekali gus membuatkan tertuduh mengaku salah atas tuduhan tersebut.

Mohamad Fadzlie M. Rosdi, 20, mengaku yang dia ada memasang bebola besi atau ‘tayam’ pada kemaluannya ketika merogol mangsa di sebuah rumah urut di Setapak di sini pada pukul 1 pagi 25 November lalu.

Pengakuan itu dibuat di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Difahamkan, kawad cam itu dilakukan sebaik polis menahan Mohamad Fadzlie yang datang ke balai polis. Dia diserahkan oleh bapanya selepas gambar tertuduh yang dirakam kamera televisyen litar tertutup premis itu disiarkan akhbar.

Selain merogol, penganggur itu turut dituduh merompak premis tersebut bersama buruh kontrak, Mohd. Khairiell Idzham Hashimi, 21, dan dua lagi yang masih bebas menggunakan parang di tempat dan waktu yang sama./kosmo

Isnin, 10 Disember 2012

Jurutera komputer mati dibunuh perompak

SEPANG: Naluri seorang ibu yang berasa tidak sedap hati selepas anak lelakinya gagal dihubungi sejak kelmarin terjawab apabila pemuda itu ditemui mati dibunuh dalam kejadian samun di rumahnya di Jalan PP 2/22, Taman Putra Perdana di sini.

Mayat jurutera komputer di Cyberjaya, Selangor, Loh Min Lee, 36, ditemui pada pukul 6 petang oleh ibunya yang bergegas ke rumah mangsa selepas merasakan sesuatu telah menimpa anaknya. Mangsa tinggal bersendirian di rumah teres dua tingkat itu.

Difahamkan, ibu bapa mangsa yang tinggal di kawasan berhampiran biasanya pergi ke rumah mangsa setiap hujung minggu bersama pembantu rumah untuk membersihkan kediaman berkenaan.

Ketika ditemui, mayat Min Lee terbaring di atas katil di bilik tidur utama di tingkat atas./kosmo

Ahad, 9 Disember 2012

Mayat wanita dalam parit teman lelaki ditahan

SANDAKAN: Polis hari ini menahan reman seorang lelaki bagi membantu siasatan penemuan mayat seorang wanita dalam parit di hadapan sebuah bengkel membaiki motosikal di Batu 3 dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Rowell Marong berkata, lelaki berusia 21 tahun itu adalah warga Filipina dan dipercayai teman lelaki wanita berkenaan.

Katanya, lelaki itu ditahan kira-kira pukul 4 petang di kawasan Bandar Sandakan iaitu dalam masa kurang 24 jam selepas mayat wanita itu ditemui orang awam dengan tujuh kesan tikaman.

Rowell berkata, lelaki berkenaan, seorang penganggur, tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri./Bernama

Rabu, 5 Disember 2012

Sorok mayat bayi dalam almari

 Ghuzlan Saleh
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh
KULIM: Cubaan seorang gadis berusia 20 tahun merahsiakan kelahiran bayinya terbongkar apabila bapanya menemui mayat bayi yang siap dibungkus di dalam almari pakaian anaknya di rumahnya di sebuah perumahan di sini, semalam.

Sebelum itu, bapa gadis berkenaan membawa anaknya berjumpa doktor di sebuah klinik di sini, untuk mendapatkan rawatan selepas anaknya mengadu sakit perut kira-kira jam 11.30 malam kelmarin.

Pada keesokan harinya, ibu gadis terbabit yang sedang mengemas dapur terjumpa satu objek dipenuhi darah yang diletakkan di dalam plastik dan dia segera memaklumkan penemuan objek itu kepada suaminya.

Untuk mendapatkan kepastian tentang penyakit dialami anaknya, bapa gadis berkenaan membawa bungkusan plastik mengandungi objek itu ke klinik di mana anaknya mendapatkan rawatan, memangkan semasa anaknya berjumpa doktor dia hanya menunggu di luar.

Rahsia mula terbongkar apabila doktor memaklumkan objek berkenaan merupakan uri wanita yang baru bersalin dan menasihatkannya untuk membawa anaknya mendapatkan rawatan di hospital.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, doktor yang merawat suspek di hospital mengesahkan suspek bersalin dan bayinya meninggal dunia.

“Bapa suspek meminta suspek menunjukkan lokasi di mana mayat bayi dimaksudkan itu disembunyikan dan menemuinya di dalam almari pakaian di bilik suspek.

Mayat bayi itu kemudiannya dibawa ke hospital untuk bedah siasat dan doktor mengesahkan bayi itu meninggal dunia sebelum dilahirkan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran./sinarharian

Isnin, 3 Disember 2012

.Jurujual dirompak dan dirogol di Kemaman

Seorang jurujual berumur 18 tahun mengharungi pengalaman pahit setelah dirompak dan dirogol oleh seorang lelaki di Chukai, Kemaman kelmarin.

Dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, mangsa telah didatangi seorang lelaki bersenjatakan pisau yang terus mengacu dan mengugut semasa dia berada di bilik asrama pekerja yang disediakan majikan.

Mangsa yang ketakutan telah diikat kaki, tangannya pada katil serta mulut sebelum dirogol.

Lelaki yang dianggarkan berusia sekitar 30-an itu kemudian melarikan sebuah komputer riba milik mangsa dengan membiarkan mangsa dalam keadaan terikat.

Kejadian itu hanya disedari rakan mangsa kira-kira dua jam kemudian dan mangsa terus membuat laporan polis dan dihantar ke Hospital Kemaman untuk pemeriksaan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Che Suza Che Hitam ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu mangsa sudah dibenarkan pulang ke rumahnya selepas mendapatkan rawatan.

"Tiada kecederaan lain dilaporkan dan pihak polis sedang menjalankan siasatan untuk mengesan suspek yang dipercayai berketurunan India," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak./Bernama

Ahad, 2 Disember 2012

Abang maut dibelasah adik

Seorang remaja maut selepas dibelasah oleh adik kandungnya dalam satu pertengkaran di Kem Sungai Ara, Bayan Lepas di George Town malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa berusia 17, mati akibat mengalami kecederaan dalaman di kepala di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Difahamkan pertengkaran berlaku apabila suspek, 15, yang baru pulang ke rumah dikatakan mengusik adik perempuan mereka yang berusia enam tahun.

Mangsa yang sedang berbaring di atas sofa dikatakan tiba-tiba bangun dan terus menendang suspek.

Marah dengan tindakan abangnya, suspek kemudian bertindak menumbuk bahagian kepala abangnya berkali-kali sehingga rebah di atas lantai.

Mangsa, anak sulung daripada tiga beradik itu baru sahaja selesai menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) Isnin lalu.

Menurut jurucakap polis, ibu mereka cuba meleraikan pergaduhan antara dua beradik itu namun gagal dan juga meminta jiran untuk membawa mangsa ke HPP.

"Polis sudah menahan suspek di kediaman mereka bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Hatta Md Zin ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh./ Bernama

Sabtu, 1 Disember 2012

Kanak-kanak 6 tahun diajak 'berkhatan' sebelum dirogol

BAGAN SERAI: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun tidak menyangka ajakan jiran berusia 13 tahun untuk bermain 'khatan' olok-olok menyebabkannya dirogol di bilik air rumah suspek di Batu 4, Jalan Selama di sini pada 24 November lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, dalam kejadian antara jam 4 hingga 5 petang itu, mangsa tinggal seorang diri di rumahnya sebelum dipelawa suspek untuk diajak 'berkhatan'.

Menurutnya, mangsa terpedaya dengan ajakan suspek bertindak mengikutnya sehingga ke bilik air rumah suspek sebelum dirogol.

"Kejadian terbongkar apabila kanak-kanak perempuan itu mengadu mengalami kesakitan di bahagian kemaluan kepada ibunya pada malam kejadian selepas mendakwa 'dikhatankan' jiran sebelah rumah.

"Keluarga kanak-kanak perempuan itu terus membawa mangsa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum disahkan dirogol oleh doktor," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, di sini, hari ini./sinarharian

Guru bebas tuduhan cabul

PETALING JAYA: Seorang guru menarik nafas lega apabila Mahkamah Majistret di sini, semalam melepas dan membebaskannya dari tuduhan mencabul seorang murid darjah tiga, tahun lalu.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid membuat keputusan itu terhadap Mohd Radzi Misran, 56, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Dalam penghakimannya, Ahmad Solihin berkata, terdapat percanggahan dalam keterangan saksi pendakwaan.

“Laporan perubatan juga tidak dikemukakan bagi mengetahui tahap emosi mangsa,” katanya.

Mengikut pertuduhan, guru yang kini digantung tugas itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan terhadap kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia lapan tahun di sebuah sekolah di sini pada 29 Mac tahun lalu.

Bapa lapan anak, dan masih beristeri itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda, atau keduanya sekali, jika disabit kesalahan./sinarharian

Padah rogol pelajar

KUALA LUMPUR - Seorang pengurus syarikat pengurusan tempat letak kereta dihukum penjara 12 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas didapati bersalah merogol seorang pelajar berusia 15 tahun, dua tahun lalu.

Hakim Emylia Kaswati Mohd Khalid menjatuhkan hukuman itu ke atas Kennedy How, 30, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

How didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di Happy Garden, Brickfield, pada 7 November 2010, sekitar jam 11 malam.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan, seramai 8 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Tertuduh yang diwakili peguam K Muthiah, dalam rayuannya, memohon hukuman ringan diberikan memandangkan dia masih muda dan perlu bekerja bagi menyara keluarga.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ooi Chean Ling memohon mahkamah menjatuhkan hukuman sewajarnya ke atas tertuduh kerana melakukan jenayah rogol ke atas mangsa di bawah umur, yang semakin serius dalam kalangan masyarakat.

Chean Ling turut memaklumkan, tertuduh juga gagal dihubungi semasa satu prosiding bicara sehingga waran tangkap dikeluarkan.

Peguam Muthiah, bagaimanapun, memohon hukuman penjara 12 tahun yang ditetapkan bermula hari ini, ditangguhkan kerana mereka akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah membenarkan permohonan penangguhan itu dan mengekalkan ikat jamin RM15,000 serta larangan tertuduh membuat pasport sehingga kes itu selesai./sinarharian