Selasa, 27 November 2012

Ditawan penyamun kalah judi

 
ORANG ramai berkumpul untuk mengetahui perkembangan kes pekerja salun dijadikan tebusan di Kuala Krai
KUALA KRAI: Suasana tenang di Dataran Guchil di sini bertukar kecoh apabila seramai 2,000 orang awam berkumpul untuk menyaksikan adegan cemas melibatkan lima pekerja salun dan seorang pekerja restoran yang dijadikan tebusan selama tiga jam setengah oleh penyamun bersenjatakan pistol palsu.

Kejadian mendebarkan pukul 2 petang itu berakhir tiga jam setengah kemudian dengan polis dapat memberkas suspek berusia 27 tahun dari Tanah Merah selepas berjaya menjalankan rundingan tanpa melibatkan sebarang kecederaan.

Pemeriksaan mendapati, suspek merupakan seorang graduan pereka grafik dari salah sebuah universiti tempatan.

Kejadian itu turut mengakibatkan dua mangsa pengsan dengan salah seorang diserang asma.

Difahamkan, suspek datang ke premis itu dengan memakai topi keledar dan menutup mulut sebelum mengacukan pistol palsu ke arah pekerja. Suspek turut membawa sebilah pisau.

Ketika kejadian, dua pekerja yang berada di dalam tandas dan bilik rawatan muka yang tidak disedari suspek telah menghubungi polis bagi memaklumkan mengenai kejadian itu.

Sepanjang tempoh tiga jam setengah itu, suspek telah melepaskan seorang demi seorang tebusan sehingga tinggal seorang pekerja wanita sebelum dia diberkas.

Sementara itu, salah seorang pekerja salun, Muhamad Zafri Mat Hussein, 24, berkata, dia berada di dalam tandas ketika suspek memasuki kedai sebelum bertindak mendiamkan diri dan menghubungi polis.

"Saya ada keluar sebentar apabila terdengar bunyi kecoh dan masuk semula ke dalam tandas sebaik melihat penyamun mengacukan pistol dan mencekik salah seorang rakan saya.

"Saya duduk selama tiga jam di dalam tandas dan hanya keluar selepas segalanya selesai. Ketika itu, suspek tidak menyedari kehadiran saya," ceritanya ketika ditemui di Hospital Kuala Krai.

Seorang lagi mangsa, Siti Roskasma Rozali, 25, memberitahu, suspek terus memegang rakannya, Nazirah Isa, 18, sebaik pintu dibuka selepas loceng ditekan.

"Dia kemudian meminta Nazirah membuka peti simpanan wang. Suspek kemudian meminta saya menghubungi majikan selepas dimaklumkan yang kunci peti berada dalam simpanannya./kosmo

Khamis, 22 November 2012

Bomoh ditangkap kerana didakwa rogol 'pesakit'

Seorang penjaga tokong Cina berusia 50 tahun yang mendakwa kononnya boleh 'menurun' untuk membuang sial dan menilik nasib ditahan selepas beberapa wanita mendakwa dirogol oleh lelaki berkenaan dalam beberapa kejadian berasingan sejak April lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata lelaki itu ditahan di sebuah tokong di Taman Sri Damansara Isnin lepas, selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita berumur 20-an yang mendakwa dirogol September lepas.

"Dua lagi mangsa tampil membuat laporan yang sama pada April dan minggu lepas selepas didakwa dirogol oleh bomoh itu, katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata modus operandi lelaki itu ialah dengan membawa mangsanya ke rumah atau hotel untuk diberi rawatan sebelum mangsa diberi minuman yang dipercayai mengandungi dadah.

"Lelaki itu merogol mangsanya ketika sedang khayal," katanya sambil meminta wanita yang pernah menjadi mangsa lelaki tersebut supaya membuat laporan polis di mana-mana balai polis berdekatan.

Katanya, suspek yang positif dadah jenis mathamphetamine dan mempunyai dua rekod jenayah lampau bersabit dadah, ditahan reman seminggu untuk membantu siasatan./Bernama

Selasa, 20 November 2012

Remaja lari dari rumah akibat didera bapa

GEORGETOWN: Seorang remaja perempuan bertindak melarikan diri dari rumah akibat tidak tahan didera bapanya sejak dua tahun lepas.

Wen, 13, yang tinggal berdua dengan bapanya di Farlim, Air Itam dekat sini berkata, perkara itu berlaku selepas ibu bapanya berpisah sejak dua tahun lalu.

"Setiap hari bapa pukul dan tampar saya tanpa sebab. Selepas habis waktu sekolah dia akan kurung saya,” katanya kepada pemberita di Biro Pengaduan Awam MCA di sini hari ini.

Mangsa yang kini tinggal bersama ibu dan kakaknya sejak beberapa minggu lepas berkata, dia tidak berani keluar dari rumah ibunya kerana takut terserempak dengan bapanya.

Ibunya, Yam Mei Heai, 41, berkata, semasa berpisah dengan suaminya, dia hanya membawa seorang anak bersamanya kerana tidak mampu menyara Wen dan kakaknya sekaligus.

"Saya pernah cuba mencari anak bongsu saya ini di sekolah tapi tidak berjaya kerana bekas suami saya sentiasa mengawasi kami," katanya.

Dia mendakwa suaminya seorang yang panas baran dan kaki pukul./ Bernama

Seorang mati, dua cedera diserang 10 lelaki bersenjata parang

Seorang lelaki mati dipercayai ditetak manakala dua lagi cedera selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian kira-kira 6.30 petang di Lorong Ikan Jelawat Enam dekat ibunegara malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin berkata ketika kejadian, tujuh lelaki sedang melepak di taman permainan sebelum tiga daripada mereka dikejar sekumpulan lelaki lain.

"Sekumpulan penyerang lelaki terbabit, yang dianggarkan seramai 10 orang menaiki sebuah kereta dan dua buah motosikal, menyerang mangsa menggunakan senjata dipercayai parang.

Beliau berkata seorang daripada mangsa yang berusia 25 tahun mati di tempat kejadian manakala dua lagi berusia 21 tahun cedera di bahagian badan dan dihantar ke Hospital Ampang," katanya.

Amiruddin berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat./Bernama

Isnin, 19 November 2012

Mayat wanita ditemui dalam keadaan tangan dan kaki terikat

KUALA LUMPUR: Mayat seorang wanita ditemui dalam keadaan tangan dan kakinya terikat di dalam tong sampah di sebuah kawasan perindustrian di Jalan Bukit Rahman Putra 8/1, Sungai Buluh di sini pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supt Rosly Hassan berkata wanita dipercayai warga asing berumur lingkungan lewat 20-an itu ditemui seorang pekerja kontrak 11.40 pagi ini sebelum memaklumkannya kepada polis.

"Pekerja berkenaan terlihat mayat wanita berpakaian lengkap itu dilitupi plastik kanvas ketika mahu membuang sampah. Pemeriksaan polis pula mendapati terdapat kesan jerutan di leher dan cedera di muka mangsa," katanya kepada pemberita.

Rosly berkata wanita tanpa dokumen pengenalan diri itu dipercayai mati kurang dari 24 jam lalu dengan mayatnya dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dicampak ke tong sampah itu.

Bagaimanapun katanya polis menolak kejadian bermotifkan samun kerana barang kemas milik mangsa seperti rantai leher dan cincin emas masih ada di badannya.

Mayat dihantar ke Hospital Sungai Buluh untuk bedah siasat./Bernama

Ahad, 18 November 2012

Mahkamah: Bomoh warga Indonesia didakwa rogol gadis 14 tahun

KUALA LUMPUR: Seorang bomoh warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan merogol seorang gadis bawah umur, minggu lepas.

Parjono, 33, didakwa merogol remaja berusia 14 tahun itu di sebuah bilik bernombor 48, Jalan 16/10, Taman Koperasi Polis, Fasa 1, Sentul di sini di antara 9 malam, 7 Nov hingga 5.30 pagi, 8 Nov.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 375 (g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Rozana Husin memohon kepada mahkamah agar tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin atas alasan Parjono merupakan warga asing.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat membenarkan permohonan itu dan menetapkan 17 Disember ini untuk sebutan semula kes./Bernama

Sabtu, 17 November 2012

Sembelih leher sendiri kerana tak dapat cuti Deepavali

ANGGOTA polis mengusung mayat Muthuraj yang ditemui mati di dalam tandas sebuah restoran di George Town semalam.
GEORGE TOWN: Seorang tukang masak yang tertekan selepas permohonan cutinya untuk pulang menyambut Deepavali di India ditolak oleh majikannya ditemui mati dalam keadaan mengerikan dengan lehernya hampir putus akibat dikelar di dalam tandas sebuah restoran di Bayan Baru dekat sini kelmarin.

Mayat M. Muthuraj, 33, ditemui berlumuran darah dalam tandas restoran nasi kandar itu oleh polis yang bertindak memecahkan pintu tandas berkenaan selepas mendapati ia berkunci dari dalam.

Salah seorang rakan sekerja mangsa yang dikenali sebagai Mahmod memberitahu, Muthuraj dilihat masuk serta mengunci tandas pada pukul 8 malam dan enggan keluar walaupun telah dipanggil berkali-kali.

Katanya, mangsa yang telah empat tahun bekerja di restoran itu kelihatan murung serta menjadi pendiam beberapa hari lalu sejak permintaannya untuk pulang ke kampung halamannya di India sempena Deepavali lalu tidak diluluskan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nasir Salleh berkata, sebaik memecahkan pintu, polis menemui mayat Muthuraj dalam keadaan berlumuran darah dengan lehernya hampir putus.

"Siasatan mendapati mangsa telah mengelar lehernya sendiri. Polis turut menemui sebilah pisau di dalam tandas tersebut," ujarnya.

Tambahnya, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat. Pihak Pesuruhjaya Tinggi India di Kuala Lumpur telah dimaklumkan mengenai kejadian itu./kosmo

Wanita habis idah dicekup khalwat

 Wanita habis idah dicekup khalwat
Pasangan yang dicekup penguat kuasa malam kelmarin.
LEDANG: Seorang wanita menggunakan helah tiada tempat tinggal kerana dihalau keluarga bagi melepaskan diri daripada ditahan Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Ledang di sebuah rumah di dekat sini, lewat malam kelmarin.

Ketika serbuan kira-kira jam 11.30 malam itu, wanita berusia 38 tahun ditahan bersama pasangannya yang merupakan rakyat Bangladesh kerana didapati berdua-duaan (berkhalwat) di dalam bilik di rumah berkenaan.

Wanita itu berkata, dia hanya mahu menumpang semalaman kerana tidak mempunyai tempat tinggal selepas dihalau keluarga dan enggan meminta pertolongan orang lain berikutan buntu dengan masalah dialami.

Lebih mengejutkan, wanita terbabit juga baru sahaja menamatkan tempoh idah selepas diceraikan buat kali ketiga oleh suaminya.

“Saya hanya menumpang bermalam di sini kerana tidak ada tempat tinggal selepas dihalau keluarga. Saya buntu dan tidak tahu mahu minta pertolongan dengan siapa sementara menunggu hari esok untuk mencari pekerjaan lain,” katanya.

Manakala, lelaki terbabit berusia 26 tahun dan merupakan operator kilang, mengakui sudah tinggal di negara ini lebih setahun dan berkenalan dengan wanita itu kira-kira tiga bulan lalu ketika bekerja di kilang sama.

Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, bertindak atas aduan awam, sepasukan anggota diketuai Pegawai Penguatkuasa, Mohd Zainal Kadiran dan dibantu beberapa anggota polis memeriksa rumah berkenaan.

Menurutnya, anggota penguat kuasa menunggu selama lima minit sebelum pintu rumah dibuka seorang lelaki yang juga rakan kepada lelaki terbabit.

“Pemeriksaan lanjut dalam sebuah bilik menemui pasangan terbabit yang sedang baring di atas katil dalam keadaan mencurigakan. Bagaimanapun, lelaki terbabit menangis kerana ketakutan sebaik sahaja penguat kuasa menyoal siasatnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Sulaiman berkata, pasangan itu kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen yang membuktikan mereka mempunyai hubungan mahram atau berstatus suami isteri.

“Mereka dibawa ke balai polis di sini, untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke Pejabat Agama bagi siasatan lanjut dan dijamin dengan jaminan keluarga masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, pasangan terbabit ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan./sinarharian

Jumaat, 16 November 2012

3 anggota polis didakwa rogol wanita Indonesia

3 anggota polis didakwa rogol wanita Indonesia
Tiga anggota polis dibawa ke Mahkamah Butterworth hari ini. 
 Wanita Indonesia dakwa dirogol tiga anggota di balai polis
Mangsa bersama Chiek Tuan menunjukkan laporan polis di pejabat MCA, Bukit Mertajam.
BUTTERWORTH: Tiga anggota polis dikenakan dua tuduhan secara berasingan merogol dan dan melakukan persetubuhan luar tabii seorang wanita warga Indonesia di Mahkamah Sesyen Butterworth pada 9 November lalu.

Konstabel Remy Anak Dana, 25; Kpl Nik Sin Mat Lazin, 33, dan Konstabel Syahiran Romli, 21, didakwa melakukan perbuatan itu di Berek Balai Polis Perai.

Mereka didakwa merogol wanita berumur 25 tahun di Bilik 4, Berek Balai Polis Perai di sini, antara jam 6.40 pagi hingga 7.30 pagi, 9 November lalu mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiganya juga didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap wanita itu pada tarikh, waktu dan tempat yang sama mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim manakala Nik Sin dan Syahiran diwakili peguam Parmjit Singh manakala Remy oleh Anthony Samy.

Suhaimi meminta mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kerana bimbang mereka akan mengganggu saksi yang juga rakan setugas.

Bagaimanapun, kedua-dua peguam bersepakat meminta mahkamah menimbangkan jaminan dengan alasan anak guam mereka akan sentiasa patuh serta tidak mengganggu saksi.

Nabisha kemudian menetapkan wang jaminan RM25,000 setiap seorang dan menetapkan 12 Disember ini sebagai tarikh bicara.

Beliau turut mengarahkan tiga anggota polis itu melapor diri di balai polis terdekat sehingga kes mereka disebut semula.

Ketiga-tiganya membayar wang jaminan itu dan bergegas meninggalkan mahkamah menggunakan pintu belakang bagi mengelak wajah mereka dirakam media./sinarharian

Khamis, 15 November 2012

Ketua Pengarah Kesihatan didenda RM3,000 kerana khalwat

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman hari ini didenda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah setelah mengaku bersalah atas tuduhan khalwat.

Jika Dr Hasan, 56, gagal membayar denda itu, beliau boleh dipenjara selama tiga bulan.

Beliau didakwa berkhalwat dengan seorang pegawai kementerian sama, Wan Syarifah Nooraazmanita Wan Hassan, 36, di sebuah bilik Hotel Pullman Putrajaya, di sini kira-kira 2.18 pagi hari ini.

Wan Syarifah Nooraazmanita turut mengaku bersalah terhadap tuduhan tersebut dan dikenakan denda RM2,900 atau penjara 30 hari jika gagal membayar denda itu.

Mereka membayar denda itu.

Hakim Syarie Mohd Amran Mat Zain mengenakan hukuman denda itu setelah mengambil kira bahawa ia merupakan kesalahan pertama bagi kedua-dua mereka dan mereka telah mengaku insaf terhadap kesalahan tersebut serta mempunyai niat melangsungkan perkahwinan selepas ini.

Dr Hasan didakwa mengikut Seksyen 27(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 manakala Wan Syarifah Nooraazmanita didakwa mengikut Seksyen 27 (b) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dari dua tahun jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes yang dikemukakan oleh pendakwa syarie Che Saupi Che Husin dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), sepasukan anggota penguatkuasa dari JAWI bertindak memeriksa bilik tersebut selepas menerima maklumat awam.

Pasukan itu kemudiannya mengetuk pintu bilik itu dan lebih kurang lima minit ia dibuka oleh Dr Hasan yang berbaju kemeja berwarna biru dan berseluar coklat.

Selepas dibenarkan masuk oleh Dr Hasan, pemeriksaan mereka mendapati Wan Syarifah Nooraazmanita yang memakai baju dan berseluar hitam sedang duduk di kerusi berhampiran katil.

Hasil siasatan lanjut mendapati Dr Hasan merupakan seorang duda dan Wan Syarifah Nooraazmanita masih lagi isteri yang sah kepada pasangannya.

Wan Syarifah Nooraazmanita, bagaimanapun memberitahu mahkamah bahawa beliau dalam proses perceraian dengan suaminya.

Ketika merayu hukuman ringan, Dr Hasan berkata beliau mengaku bersalah dan bertanggungjawab atas kesalahan itu dan beliau belajar daripada kesilapannya dan insaf./Bernama