Rabu, 5 September 2012

Dua beradik dirogol abang ipar sejak 2005

KUALA KETIL: Ibarat jatuh ditimpa tangga, itulah terjadi kepada dua beradik berusia 23 dan 24 tahun mendakwa dirogol abang ipar mereka di rumah abang iparnya dan di kediaman mereka di sebuah kampung di sini.

Salah seorang dari dua beradik itu dirogol sebanyak 13 kali sejak 2007-2010, manakala seorang lagi dirogol sebanyak sembilan kali sejak 2005 sehingga 2010.

Lebih malang, salah seorang dari dua beradik itu turut dirogol sebanyak dua kali oleh seorang bomoh yang kononnya bertujuan merawat masalah gadis malang itu.

Kejadian terkutuk itu diceritakan sendiri oleh kedua-dua mangsa kepada ibu saudara mereka seterusnya bertindak membuat laporan di Balai Polis Kuala Ketil.

Keadaan itu mengakibatkan lelaki berusia 40-an dan mempunyai tiga cahaya mata itu menyerah diri kepada polis pada jam 10 pagi, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Abdul Rahim Abdullah mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, kejadian itu disiasat mengikut seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK) kerana merogol, sabit kesalahan dikenakan hukuman penjara selama tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebat./sinarharian

Anak suspek bunuh rindukan ayah

Kamariah melihat anaknya, Adawiah (kiri) menunjukkan gambar ayahnya yang tertera pada kad nikah mili
Kamariah melihat anaknya, Adawiah (kiri) menunjukkan gambar ayahnya yang tertera pada kad nikah milik ibu bapanya kepada kakaknya, Maisarah.
MERLIMAU: “Kakak rindu ayah. Kakak nak ayah belikan jajan,” kata Maisarah Khairul, 4, anak sulung suspek kes bunuh di Kampung Serkam Pantai, di sini, pada 22 Ogos lalu.

Ibu Maisarah, Kamariah Ahmad, 43, berkata, selain Maisarah, adiknya, Adawiah, 2, turut rindukan bapa mereka, Khairul Nordin, 41, yang menghilangkan diri sejak kejadian pada malam hari raya keempat itu.

“Saya merayu kepada suami supaya menyerah diri kepada polis demi anak-anak yang sememangnya rapat dengannya.

“Selain saya sendiri berdoa, saya juga mohon suami tidak putus harap dengan ALLAH selepas apa terjadi,” katanya.

Menurutnya, selagi suaminya masih bebas, pergerakannya juga terbatas selepas dinasihatkan polis untuk tidak ke mana-mana demi keselamatan dirinya dan anak-anak.

“Sebelum ini, saya ada jalankan perniagaan francais atas nama suami di Seremban. Namun, ia terpaksa ditutup dan hanya dibenar beroperasi selepas kes suami selesai.

"Kereta yang biasa saya gunakan dilarikan suami walaupun ditemui polis, namun tidak boleh saya ambil semula kerana menjadi barang kes," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Kamariah berkata, dia juga kini hilang punca pendapatan sehingga menyukarkan dia membesarkan anak-anaknya itu.

"Saya ada hasrat untuk cari kerja tetapi selagi suami saya bebas, saya tak boleh ke mana-mana," katanya.

Menurutnya, selepas terputus hubungan dengan suaminya itu, dia kini bergantung harap dengan seorang lagi abangnya, Idzhar, 48, yang banyak membantu dalam segala urusan.

Menurutnya, dia kini benar-benar memerlukan bantuan moral dan kewangan untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

Dalam kejadian 22 Ogos lalu, Khairul dikatakan menikam abang iparnya, Rashid Ahmad, 46, pada hari keempat Hari Raya Aidilfitri.

Kejadian berlaku di rumah ibu Rashid di Kampung Serkam Pantai, di sini, dikatakan berpunca daripada mangsa menegur suspek yang sering memukul isterinya, Kamariah iaitu adik Rashid./sinarharian

Selasa, 4 September 2012

Kerani didakwa cabul

AYER KEROH: Seorang kerani didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita yang juga bekas rakan sekerjanya, Jun lalu.

Hanafiah Idris, 29, dari Bukit Beruang bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan didakwa ke atasnya di hadapan Majistret Syajaratudur Abd Rahman.

Berdasarkan pertuduhan, Hanafiah didakwa sengaja memegang buah dada seorang wanita berusia 24 tahun dengan niat untuk menjatuhkan kehormatan wanita terbabit.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di Taman Merdeka Jaya pada jam 12.39 pada 28 Jun 2012.

Hanafiah didakwa mengikut Seksyen 355 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Rosli Rasi ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan RM3,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Hanafiah tidak diwakili peguam memohon wang jaminan dikurangkan dengan alasan baru mendapat pekerjaan selepas dibuang kerja dan menyara ibu yang uzur, selain perlu membayar semula pinjaman wang ketika belajar.

Syajaratudur kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 16 Oktober depan./sinarharian

Warga Kanada ditemui mati tergantung di balkoni

Warga Kanada
Warga Kanada berusia 48 tahun yang ditemui mati tergantung di balkoni
Warga Kanada
Kekasih mangsa, Michael Dellotineville kelihatan sugul menerima berita kematian teman lelakinya.
SUBANG JAYA: Penduduk sebuah kondominium di kawasan SS12 di sini gempar apabila seorang lelaki, warga asing, ditemui mati tergantung di luar bahagian balkoni tingkat 5, kira-kira jam 7.30 pagi tadi.

Difahamkan, mangsa yang juga seorang pensyarah sebuah kolej swasta di Subang Jaya sebelum itu dikatakan merayau-rayau di tingkat bawah kondominium sebelum mayatnya ditemui.

Mangsa, warga Kanada berusia 48 tahun juga dikatakan meninggalkan sekeping nota di rumahnya.

Dia dipercayai berhadapan dengan masalah cinta.

Difahamkan, mayat mangsa yang tergantung di tingkat lima pangsapuri itu ditemui penduduk yang tinggal berdepan dengan kediaman dihuni sebelum memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden kira-kira jam 8.20 pagi semalam.

Katanya, mangsa ditemui sudah tidak bernyawa dengan leher dijerut dengan kain dipercayai langsir di luar beranda rumah yang disewa sejak empat tahun lalu.

Beliau berkata, rumah mangsa dikunci dari dalam namun segugus kunci ditemui di dalam kasut yang tersusun di depan pintu berkemungkinan untuk memudahkan pihak polis masuk ke dalam rumah mengambil mayatnya.

Menurutnya, pihak polis percaya perselisihan faham dengan teman wanita warga Canada berusia awal 30-an menjadi punca mangsa mengambil keputusan berkenaan.

“Mangsa yang sudah bercerai dengan isterinya di Canada tinggal seorang diri di apartment itu dan bekerja sebagai pensyarah di sebuah kolej sejak empat tahun lalu.

“Kita percaya mungkin berlaku perselisihan faham antara dia dan teman wanitanya berdasarkan tulisan nota ditinggalkan yang ditujukan kepada wanita itu. Mangsa meminta teman wanitanya tidak membangkitkan tindakannya dan tidak mengingatinya lagi,”katanya.

Yahaya berkata, sekeping lagi nota turut ditemui di atas meja makan dalam rumah berkenaan yang ditujukan kepada lima anak mangsa masing-masing tiga perempuan dan dua lelaki yang dikatakan menetap di Canada. Anak mangsa berusia antara 15 dan 20 tahun.

Katanya lagi, tiada laporan menunjukkan mangsa mempunyai masalah mental namun insiden menjurus kepada tekanan yang dialami daripada teman wanitanya.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada unsur jenayah lain,kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat,”katanya./sinarharian

Warga emas dibunuh selepas disamun

KOTA BAHARU: Seorang warga emas ditemui mati dalam keadaan terbaring di atas lantai dalam bilik tidur rumahnya, dipercayai dibunuh, di Kampung Jebak, Jeram, Pasir Puteh hari ini.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, mayat Wan Kalsom Wan Husin, 68, ditemui dalam keadaan berlumuran darah di kepala oleh cucunya Nik Muhammad Irham Razali, 13 yang diminta mencari neneknya itu oleh ibunya Raja Zailah Raja Husin, 40.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata mangsa sebelum itu berada di rumah seorang daripada enam anaknya bagi menyediakan jamuan hari raya, namun kembali ke rumahnya untuk mengambil sudip kira-kira pukul 10 pagi.

Warga emas itu gagal kembali ke rumah anaknya menyebabkan ibu Nik Muhammad Irham meminta remaja berkenaan ke rumah neneknya yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah mereka.

"Dia mendapati tingkap dan pintu depan rumah neneknya berkunci, namun pintu belakang dalam keadaan terbuka. Nik Muhammad Irham kemudian menuju ke bilik neneknya yang terletak di bahagian dapur tetapi mendapati ia berkunci dari luar," katanya pada sidang media, di sini.

Mazlan berkata sebaik remaja itu membuka pintu bilik tersebut, dia mendapati neneknya berada dalam keadaan terbaring di atas lantai dengan berlumuran darah di bahagian kepala.

"Siasatan awal mendapati, ada kesan luka sepanjang 8 sentimeter dan 3 cm lebar di belakang kepala mangsa, selain luka di pipi kiri sepanjang 2 cm panjang dan 1 cm lebar," katanya.

Mazlan berkata siasatan mendapati suspek melakukan jenayah tersebut dengan tergesa-gesa kerana tidak menggeledah rumah dan hanya mengambil seutas gelang tangan bernilai kira-kira RM4,000 manakala cincin dan subang yang dipakai mangsa ditinggalkan.

"Kami percaya suspek mengekori mangsa ketika Wan Kalsom pulang ke rumahnya. Selain itu, mangsa juga dipercayai mengenali suspek berikutan tiada kesan pergelutan dalam rumah tersebut.

"Suspek juga dipercayai berasal dari kampung sama dan kami meminta orang ramai menyalurkan maklumat berhubung kejadian tersebut kepada Bilik Gerakan IPK Kelantan di talian 09-7450999 bagi membantu polis untuk mengesan suspek," katanya.

Sementara itu, di PASIR PUTEH, Raja Zailah ketika ditemui pemberita, berkata ibunya tidak mempunyai musuh dan aktiviti seharian ialah lebih banyak membaca al-Quran.

"Saya terkilan dengan kejadian ini, sebelum itu tiada apa-apa perubahan yang berlaku," kata Raja Zailah yang juga seorang guru di Sekolah Kebangsaan Jeram./Bernama

Suspek rogol anak majikan dicari

Suspek rogol anak majikan dicari
Mohd Adnan menunjukkan gambar suspek bagi membantu siasatan kes rogol di Pandamaran, Klang baru-baru ini.
SHAH ALAM: Seorang pekerja warga Bangladesh disyaki merogol anak majikan sendiri berusia tujuh tahun, ketika mangsa ditinggalkan bersama kakaknya berusia lapan tahun di rumah mereka di Pandamaran, Klang, 25 Ogos lalu.

Ibu bapa mangsa keluar rumah kira-kira jam 2 petang, manakala suspek berusia 31 tahun berada di luar kediaman itu sedang melakukan kerja-kerja membasuh kanopi.

Sumber berkata, sebaik ibu bapa mangsa beredar, suspek mengambil kesempatan masuk ke rumah milik majikannya itu dan terus mengarahkan mangsa berbaring di bahagian ruang tamu.

Katanya, suspek baru dua bulan bekerja dengan bapa mangsa, terus merogol kanak-kanak itu dan ia dilihat kakak mangsa.

Menurutnya, setelah ibu bapa mangsa pulang, kanak-kanak itu mengadu sakit di bahagian kemaluan, sebelum kakak mangsa menceritakan kejadian yang berlaku.

"Ibu bapa mangsa buat laporan polis dan pemeriksaan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang mengesahkan mangsa dirogol," katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, pihaknya sedang mencari seorang lelaki bernama Sahadat Hossai, bagi bantu siasatan.

"Sesiapa mengenali atau mempunyai maklumat diminta ke balai polis terdekat atau hubungi 03-33762222," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.

Difahamkan, suspek mempunyai dokumen sah bekerja di negara ini dan menyewa di kawasan Pandamaran./sinarharian

Isnin, 3 September 2012

Amah dicekup memadu asmara

Amah bersama kekasihnya warga Bangladesh dicekup ketika memadu asmara dalam bilik.
Amah bersama kekasihnya warga Bangladesh dicekup ketika memadu asmara dalam bilik.
DAMANSARA: Pada mulanya bunyi pelik dari dalam rumah seorang pegawai polis, di Seksyen 17, di sini disangka penyamun yang memecah masuk, namun rupanya pembantu rumah asyik memadu asmara bersama kekasihnya.

Perbuatan tidak bermoral itu disedari anak buah majikan amah terbabit yang ketika itu berada rumah.

Menurut sumber, suspek yang juga kekasih kepada amah warga Indonesia terbabit masuk ketika ketiadaan majikannya dalam kejadian malam kelmarin itu.

Katanya, anak buah pegawai polis yang juga tuan rumah pada mulanya menyangka ada pencuri masuk ke dalam rumah selepas terdengar bunyi pelik dari bahagian luar rumah dan dia kemudiannya bertindak menghubungi polis.

Sumber berkata, polis yang menerima panggilan tersebut bergegas ke lokasi itu dan memeriksa kediaman terbabit.

“Pintu bilik diketuk dan seorang lelaki Bangladesh membuka pintu manakala amah berusia 40 tahun itu didapati dalam keadaan berkemban di atas katil,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati amah yang sudah mempunyai dua anak itu menjalin hubungan cinta dengan lelaki Bangladesh terbabit sejak setahun lalu.

“Mereka mengaku sering bermadu kekasih jika ketiadaan majikannya di rumah dan merancang untuk berkahwin,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, pasangan terbabit kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk tindakan lanjut kerana kedua- duanya beragama Islam./sinarharian

Padah jalin hubungan dengan isteri rakan

Suspek cedera dibelasah rakannya sendiri.
Suspek cedera dibelasah rakannya sendiri.
PETALING JAYA: Akibat menjalin hubungan sulit dengan isteri rakan sendiri, seorang lelaki warga Bangladesh dibelasah selepas dia ditemui berdua-dua dalam bilik.

Dalam kejadian di Apartmen Idaman petang semalam, warga Bangladesh itu ditumbuk dan ditampar selepas rakannya yang juga suami kepada wanita itu pulang ke rumah secara tiba-tiba.

Menurut sumber, rakannya itu naik berang suspek dikatakan enggan mengaku kesalahan yang dilakukan menyebabkan dia ditumbuk dan diterajang.

“Pergaduhan dua rakan baik itu berakhir selepas anggota biro keselamatan Apartmen Idaman hadir dan menenangkan keadaan,” katanya.

Katanya lagi, setelah disoal siasat suspek sering ke rumah suspek untuk meniduri isteri rakannya yang merupakan warga Indonesia.

“Suspek diberi kata dua untuk berpindah ke tempat lain selepas dia mengaku kesalahan yang dilakukan,” katanya

Lelaki itu yang cedera di bahagian muka dan dihantar klinik berhampiran untuk rawatan lanjut./sinarharian

Dibelasah kerana samun dan cuba rogol jurujual

MELAKA: Seorang lelaki dibelasah orang ramai selepas menyamun dan cuba merogol seorang jurujual di sebuah bilik hotel bajet di Jalan Melaka Raya 3 di sini hari ini.

Kejadian berlaku pada 11.45 pagi di mana lelaki sekitar 20-an tersebut dipercayai menceroboh bilik mangsa ketika mangsa keluar untuk makan di sebuah restoran berhampiran.

Wong Siew Hong, 38, dari Johor Baharu berkata dia hanya menyedari kehadiran lelaki terbabit selepas pulang ke biliknya di tingkat dua hotel berkenaan.

"Sebaik tiba di bilik hotel, saya lihat kunci mangga bilik saya telah dipecah dan pintunya terbuka sedikit," katanya ketika ditemui.

Wong berkata dia yang kemudiannya masuk ke biliknya terkejut apabila mendapati seorang lelaki di dalamnya.

Mangsa berkata lelaki berkenaan yang berpakaian serba hitam dan bertutup mulut lantas menerpa ke arahnya dan cuba membuka pakaiannya.

Dia berkata lelaki tersebut turut menumbuknya beberapa kali di pipi kiri sehingga bengkak apabila dia cuba melawan lelaki itu sambil menjerit meminta tolong.

Wong berkata lelaki terbabit kemudian melarikan diri bersama beg duitnya yang sempat dirampas darinya.

Katanya dia mengejar lelaki terbabit sambil menjerit meminta tolong sebelum beberapa orang menangkap dan bertindak memukul lelaki itu, kira-kira 50 meter dari hotel berkenaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Salehhudin Abd Rahman mengesahkan kejadian itu dan berkata suspek telah dihantar ke Hospital Melaka untuk menjalani rawatan akibat cedera dipukul.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun sehingga mendatangkan kecederaan. /Bernama

Sabtu, 1 September 2012

Datuk gersang dicekup bersama janda

Nasir (kiri) ketika menahan pasangan yang sudah bertunang dan bakal melangsung perkahwinan akhir bul
Nasir (kiri) ketika menahan pasangan yang sudah bertunang dan bakal melangsung perkahwinan akhir bulan ini.
PETALING JAYA: Seorang lelaki berusia 54 tahun dan pasangannya berusia 41 tahun antara lapan pasangan yang ditahan dalam Ops Cegah Maksiat, Biro Amal Maaruf Nahi Mungkar Masjid Al-Muhtadin di sebuah hotel bajet di Damansara Damai, awal pagi semalam.

Hasil soal siasat mendapati, lelaki yang sudah mempunyai tiga cucu itu menyewa bilik dengan alasan mahu bertemu dengan kekasihnya yang merupakan seorang janda.

Manakala sepasang kekasih berusia 22 tahun yang menuntut di sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) tidak mahu membuka pintu dan mempertikaikan tindakan pegawai masjid namun akur selepas penerangan diberikan.

Seorang lagi pasangan ditahan berusia 40 dan 31 berasal dari Kedah yang ditahan mengaku sudah bertunang dan bakal melangsung perkahwinan akhir bulan ini merayu minta dilepaskan kerana takut dan malu apabila perbuatan sumbang mereka diketahui.

Kesemua pasangan berusia 20 hingga 50 tahun dibawa ke masjid dengan menaiki van jenazah sebelum ke semua diberikan kaunseling oleh imam masjid.

Timbalan Nazir Masjid Al-Muhtadin, Nasir Hassan berkata, operasi tersebut dilakukan bagi membanteras gejala maksiat di kawasan perumahan itu.

“Hotel-hotel bajet di sini memang sentiasa dipantau kariah di sini berikutan ia sering menjadi tumpuan pasangan kekasih melakukan perkara tidak elok,” katanya.

Susulan itu, satu laporan polis turut dibuat di Balai Polis Damansara Damai berhubung tangkapan yang dilakukan./sinarharian