Rabu, 4 Mei 2011

Bapa empat anak ditemui mati terjerut

JUNJUNG: Seorang bapa empat anak ditemui mati dalam keadaan leher terjerut dan tergantung di bahagian tengah rumahnya di Kampung Padang Janggus, kira-kira jam 7.30 pagi, semalam. 

Isteri mangsa yang enggan namanya disiarkan, berkata ketika kejadian tidak ada sesiapa di rumah kerana anak-anak mereka ke sekolah. Dia kemudian ternampak mangsa cuba menggantung diri menggunakan kain licin tetapi sempat menghalangnya. 

“Walaupun suami saya jatuh atas riba dan dalam keadaan lemah, dia masih boleh bangun dan mengambil kain cadar dan menggantung dirinya sekali lagi. Saya menjerit meminta tolong jiran tetapi mungkin tiada siapa yang dengar. Suami saya kemudiannya naik ke atas kerusi dan terjun. Kali ini saya tidak dapat menyelamatkannya lagi,” katanya ketika menceritakan kejadian kepada polis. 

Wanita itu berkata, suaminya pernah bertugas sebagai anggota tentera dan seorang yang kuat cemburu. 

“Saya rasa suami saya cemburu kerana bekas suami selalu menelefon anak-anak. Lagipun, minggu lalu dia pergi mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Petani dan didapati menghidapi barah otak,” katanya. 

Mangsa yang berusia 30 tahun dan bekerja di sebuah kilang di Sungai Petani meminta isterinya merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan keluarganya yang tinggal di Bukit Selambau. 

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, siasatan awal mendapati kematian mangsa tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat. 

Sementara itu, bapa mangsa yang ditemui di tempat kejadian berkata, mangsa dan isterinya balik ke Bukit Selambau melihat anak mereka berusia 10 bulan yang dijaganya. 

Menurutnya, jenazah dibawa balik ke Bukit Selambau untuk dikebumikan./sinarharian

Lelaki ditetak ketika berehat

TAMPIN: Tidak sampai 24 jam sempat berehat di rumah setelah bebas hukuman buang daerah, seorang lelaki menghadapi saat mengerikan setelah ditetak dengan parang oleh dua lelaki bertopeng di rumahnya, Taman Bukit Tampin di sini, semalam. 

Dalam kejadian kira-kira 11.45 pagi itu, M Thanabalan, 32, yang sebelum ini dihukum buang daerah selama dua tahun di Kuala Lipis, Pahang, sedang berehat di ruang tamu, didatangi dua penyerang menceroboh rumahnya, kemudian menetak mangsa. 

Akibatnya mangsa cedera parah di kepala kerana tetakan parang itu mengenai tengkorak kepalanya selain cedera di belakang badan dan tangan kiri. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan Mohd Isa Ujang berkata, dalam kejadian itu mangsa cuba melawan kedua penjenayah terbabit, tetapi tidak berupaya menyelamatkan diri kerana diserang bertubi-tubi. 

“Kedua-dua penyerang bertopeng selepas itu meluru keluar rumah dan melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna perak,” katanya. 

Menurutnya, mangsa berlumuran darah pada awalnya cuba mengejar kereta penyerang itu, tetapi kemudian berhenti di sebuah rumah di taman perumahan terbabit kerana tidak berdaya lalu meminta bantuan. 

Menurutnya, polis bergegas ke tempat kejadian selepas menerima aduan orang awam sebelum membawa mangsa ke Hospital Tampin, bagaimanapun, dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS). 

Mohd Isa berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 kerana menyerang dengan menggunakan senjata tajam dan mendatangkan kecederaan parah./sinarharian

Selasa, 3 Mei 2011

Wanita tolak lamaran dibunuh

ALOR STAR, 3 Mei: Hanya kerana enggan berkahwin dengan teman lelakinya, seorang wanita berumur 23 tahun ditikam hingga mati di bilik sewaan lelaki itu di Taman Mahkota, Jalan Stadium di sini, malam tadi.
Mayat Ratna Sufizzah Riyanti Omar ditemui pada pukul 11 malam dengan kesan tikaman di perut, dada dan tangan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata kejadian dikatakan berlaku ekoran wanita itu menolak lamaran teman lelakinya yang berusia 50 tahun menyebabkan lelaki terbabit berang dan bertindak luar kawalan.
“Suspek yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di sini sejak sebulan lepas menyerah diri di balai polis di sini kira-kira pukul 1.30 pagi dengan membawa pisau yang digunakan untuk membunuh mangsa setelah dinasihatkan oleh majikannya,” kata beliau dipetik Bernama Online.
“Suspek mengenali mangsa sejak lima hingga enam tahun lepas. Suspek telah mempunyai keluarga di Johor,” katanya.
Difahamkan wanita yang berasal dari Kampung Balik Bukit, Tobiar, Pendang itu bekerja di sebuah kilang di Gurun selepas menamatkan pengajian dalam bidang Sains Nukleas di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ogos lepas.
Adzaman berkata lelaki itu akan direman bagi membantu siasatan./malaysianinsider

Isnin, 2 Mei 2011

13 tahun di Lombok

LANGKAWI: Seorang wanita yang mengikut teman lelakinya ke Lombok lebih kurang 13 tahun lalu pulang menemui keluarganya malam kelmarin.

Kepulangan Nooriah Abdullah, 26, disambut oleh ibunya, Dayah Sibun, 55, anggota keluarga, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Datuk Nawawi Ahmad dan Ketua Pemuda UMNO Langkawi, Norsaidi Nayan.

Seorang anggota keluarganya berkata, Nooriah menghilangkan diri selepas memberitahu ibunya bahawa dia ingin ke majlis kenduri di Padang Matsirat.

“Nooriah bagaimanapun tidak pulang dan kemudiannya diketahui telah mengikut teman lelakinya yang kini menjadi suaminya ke Lombok dengan menaiki kapal terbang di Johor,” katanya.

Sementara itu, Dayah berkata, mereka sekeluarga telah melakukan pelbagai cara untuk mengesan dan mencari Nooriah tetapi tidak berhasil dan hanya mengetahui bahawa dia berada di Lombok selepas menghantar surat kepada seorang daripada kakaknya.

“Saya sering mimpikan Nooriah dan sejak mengetahui bahawa anak saya akan pulang saya tidak lena tidur.
“Saya terlalu gembira memikirkan bahawa saya akan bertemu semula dengan anak saya setelah 13 tahun terpisah,” katanya.

Noriah yang ditemui wakil Sinar Harian di balai ketibaan kelihatan termangu-mangu seperti tidak percaya bahawa dia telah pulang ke tanah air.
“Saya masih mengingati ahli keluarga dan sentiasa mahu bertemu dengan mereka. “Saya bersyukur kerana dapat bertemu mereka kembali,” katanya.

Nooriah berkata, dia mempunyai dua anak berumur 5 dan 12 tahun yang masih berada di Lombok bersama suaminya.

“Saya masih memikirkan mengenai mereka” katanya.

Noriah memasuki Indonesia menggunakan pasport palsu dan tinggal secara haram di sana.

Ketua Pemuda UMNO Langkawi, Norsaidi Nayan berkata, Pemuda UMNO Langkawi berusaha mengesan Nooriah melalui surat yang dihantar dan menghantar wakil ke Mataram untuk mengesan Nooriah.

“Pemuda UMNO Malaysia telah berusaha selama lebih kurang dua bulan untuk membawa pulang Nooriah ke Malaysia.” katanya.

Menurutnya, melalui bantuan Datuk Khairul Aseh serta kerjasama yang diberikan oleh Kedutaan Malaysia di Indonesia kami berjaya mengesan Nooriah.

“Masalah timbul apabila kami diberi arahan dari pihak berkuasa Indonesia untuk mengeluarkan Nooriah dari Mataram dalam tempoh 24 jam bermula Jumaat lalu kerana Nooriah masuk ke Indonesia secara tidak sah.

“Sekiranya kami gagal berbuat demikian Nooriah akan ditahan dan dikenakan hukuman penjara selama tujuh tahun serta denda 30 juta rupiah,” katanya. 

Kes Nooriah merupakan kes gadis dilarikan ke Lombok yang paling lama iaitu selama 13 tahun.

Ahli keluarga Nooriah berterima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus berusaha membawa pulang Nooriah ke Malaysia./sinarharian

Maksiat hari pekerja

BATU PAHAT: Lima pasangan ditangkap berkhalwat oleh Pegawai Penguatkuasa Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat dalam operasi khas sempena cuti Hari Pekerja yang dilakukan empat pegawainya, kelmarin. 

Timbalan Ketua Penguatkuasa Agama Daerah Batu Pahat, Mohd Anuar Kosnin berkata, dalam serbuan yang dilakukan turut tertangkap ialah seorang warga Indonesia bersama pasangannya warga tempatan yang sudah beristeri dan mempunyai empat anak. 

Menurutnya, serbuan dilakukan di sekitar pusat bandar Batu Pahat yang disyaki menjadi sarang maksiat terutamanya golongan yang berumur 20-an dan sasaran utamanya ialah tiga hotel yang menjadi kegemaran kerana harga tidak terlalu tinggi. 

“Daripada tangkapan yang telah dilakukan, kesemua pasangan terbabit akan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997. 

“Jika sabit kesalahan, mereka yang ditahan dalam operasi khas ini akan dikenakan denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah,” katanya. 

Menurutnya, dalam operasi berkenaan juga, terdapat cubaan untuk mengelak daripada dikenakan tindakan seperti enggan membuka pintu, selain memberikan alasan terlalu penat untuk pulang ke rumah. 

Menurut Anuar, operasi yang dilakukan secara berterusan ini akan tetap dilaksanakan terutamanya pada cuti umum dan juga hujung minggu bagi mengelakkan perlakuan maksiat terutamanya golongan remaja. 

Katanya, sekarang ini kegiatan berkenaan semakin bertambah akibat pertambahan hotel dan juga rumah tumpangan di daerah ini terutamanya yang menawarkan harga sederhana sekitar RM50 hingga RM150. 

“Masalah khalwat seperti ini perlu dibendung dengan segera bagi mengelakkan menularnya kes pembuangan bayi yang banyak melibatkan golongan remaja yang berumur sekitar 20 tahun. 

“Masalah seperti ini perlu dibendung dengan segera dan pelbagai pihak mestilah memainkan peranan yang penting untuk membendung masalah ini terutamanya para remaja itu sendiri. 

“Dengan adanya operasi seperti ini, sekurang-kurangnya dapat memberikan pengajaran kepada mereka selain dapat membanteras kegiatan maksiat di daerah Batu Pahat,” katanya. 

Menurut Anuar, sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan maksiat ini, mereka boleh menghubungi terus talian hotline Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat di nombor 07-4341141./
 sinarharian

Wanita Maut Dalam Kejadian Samun Di Kemaman

KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak perempuan berumur 13 tahun hanya mampu mendiamkan diri di dalam bilik ketika ibunya yang berada di bilik sebelah dipukul, diikat dan mulutnya ditampal pita pelekat sehingga maut, dalam satu kejadian samun di Taman Desa Darul Iman, Kemaman, Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K.Manoharan berkata kejadian itu hanya disedari jiran wanita itu pada kira-kira pukul 4 pagi apabila ternampak pintu jeriji rumah berkenaan terbuka.

Beliau berkata oleh kerana curiga, jirannya itu terus masuk ke dalam rumah berkenaan dan ternampak wanita berumur 54 tahun itu terikat di atas katil, dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Manoharan yang ditemui di pejabatnya di sini berkata wanita itu kemudiannya dihantar ke Hospital Kemaman, namun dia meninggal dunia kira-kira 15 minit selepas tiba di hospital.

Menurutnya anak wanita itu yang ketika kejadian sedang tidur di biliknya, dipercayai terjaga setelah mendengar jeritan ibunya, namun dia hanya berani keluar selepas menyedari kehadiran jiran serta anggota polis kira-kira sejam kemudian.

Suami wanita berkenaan yang merupakan seorang peniaga berusia 56 tahun tiada di rumah ketika kejadian kerana mempunyai urusan perniagaan di Kota Baharu, Kelantan.

Manoharan berkata hasil bedah siasat mendapati wanita itu mati kerana lemas.

"Bedah siasat juga mendapati bahagian muka wanita itu lebam, dipercayai akibat dipukul," katanya kepada pemberita di pejabatnya, di sini, Ahad.

Katanya polis percaya kejadian itu bermotifkan samun kerana beberapa barang milik wanita itu termasuk barang kemas didapati hilang selain keadaan rumah yang berselerak.

Beliau berkata polis bagaimanapun mendapat beberapa petunjuk untuk menjejaki suspek yang dipercayai lebih dari seorang.

"Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 396 Kanun Keseksaan kerana samun yang menyebabkan kematian, dan Seksyen 302 kanun sama kerana bunuh," katanya./Bernama

Padah Lari ke Lombok, Wanita Akhirnya Pulang Ke Pangkuan Keluarga

KUALA TERENGGANU: Seorang wanita Terengganu yang ditinggalkan oleh suaminya di Lombok, Indonesia, semasa mengandung dua bulan akhirnya pulang ke kampungnya di sini, Ahad.

Harlizan Ibrahim, 36, yang mengikut pemuda Indonesia ke Lombok lebih dua tahun lalu, tiba bersama anak bongsunya Zulfaqar Abdullah Asbi, 13 bulan, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 5 pagi. "Saya sungguh bersyukur kerana dapat pulang setelah dua tahun empat bulan meninggalkan kampung halaman. Setelah tiga bulan saya ke sana, ayah meninggal dunia... ini menguatkan lagi keinginan saya untuk pulang menemui ibu saya," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Turut menemani Harlizan ialah kakaknya Hartini, 40 dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu Badrol Hisham Zaki.

Harlizan berkata pemergiannya ke Lombok bermula setelah mengikut pemuda Indonesia itu yang berjanji akan mengahwininya di sana.

Sebelum itu, beliau telah berumah tangga dengan dikurniakan tiga orang anak lelaki berumur antara enam dan 17 tahun namun telah bercerai dengan suaminya. Semua anaknya tinggal bersama bekas suami itu. "Tanpa memberitahu keluarga, saya ke sana dan setelah tiba di sana, saya memaklumkan kepada keluarga yang saya akan kahwin dengan pemuda itu. Bagaimanapun keluarga anggap itu hanyalah gurauan," katanya.

Katanya, setelah empat bulan berkahwin, suaminya meninggalkannya dan kembali ke Malaysia untuk bekerja ketika beliau baru dua bulan mengandung.

Harlizan berkata, beliau selalu juga berhubung untuk meminta duit belanja harian daripada suaminya namun dari hari ke minggu, suaminya sepi tanpa berita sehinggalah beliau melahirkan Zulfaqar.

Katanya setelah tidak tahan lagi tinggal bersama keluarga suami dan tidak mempunyai wang, beliau mula meminta bantuan pihak berkuasa dengan tinggal di Pati Sosial Budirini iaitu pusat perlindungan ibu dan anak di sana.

Harlizan berkata, beliau cuba untuk membawa pulang anaknya tetapi dihalang oleh pihak berkuasa Indonesia kerana anak itu dilahirkan di sana dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Katanya, beliau tidak sanggup berpisah dengan anaknya dan hanya menunggu masa sehinggalah diberitahu melalui telefon oleh kakaknya, ada pihak yang akan membantu membawa beliau pulang ke Malaysia.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu kerana membantu membawa beliau dan anaknya pulang ke negara ini./mstar

Ibu jari, telinga dipotong, tangan dan kakinya ditetak

KUALA LUMPUR: Sebahagian telinga kirinya dipotong, begitu juga ibu jari tangan kiri manakala kedua-dua tangan dan kakinya turut ditetak hingga hampir putus.

Itu penderitaan yang dilalui seorang peniaga akibat kekejaman ceti haram atau along menyebabkan dia terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang selama seminggu sebelum dipindahkan ke wad biasa, kelmarin.

A Muthukrishnan, 42, yang mengusahakan perniagaan daging kambing diserang tiga lelaki bersenjatakan parang dipercayai konco along di hadapan rumahnya di Bandar Baru Selayang, di sini, pada kira-kira jam 4 pagi, 23 April lalu.

Dalam kejadian serangan itu, mangsa yang menaiki motosikal untuk memulakan perniagaannya dihalang sebuah kereta tidak diketahui jenisnya./hmetro


Serangan ke atasnya disebabkan dia dikatakan gagal melunaskan hutang RM50,000 sedangkan dia sudah pun membayar lebih daripada RM60,000 sejak lima tahun lalu.

Kaku atas katil

KEMAMAN: “Ketika membuka pintu bilik di bahagian belakang, kami terkejut lihat Kak Yah terlentang kaku di atas katil yang berselerak dengan tangan dan kaki diikat, manakala mata dan mulut ditutup dengan pita pelekat hitam. 

“Terkejut melihat dia berkeadaan begitu, saya buntu dan pucat seketika manakala abang segera mendapatkan Kak Yah dan membuka pita pelekat pada mata dan mulutnya serta ikatan kain selimut di kaki dan ikatan di tangan,” kata jiran mangsa pecah rumah, Noor Suhasliza Razali, 28, yang menceritakan detik mereka sekeluarga menyedari rumah jirannya dipercayai dipecah masuk perompak awal pagi semalam. 

Dalam kejadian di Bukit Kuang itu, mangsa, Ka’ Yah Said, 53, ditemui dalam keadaan menyayat hati dan sudah meninggal dunia di dalam bilik tidurnya di ruang belakang rumah teres yang dihuni bersama anak perempuannya berusia 13 tahun./sinarharian

Parah ditikam peragut


.


MAT RASHID terpaksa menerima 15 jahitan di perut selepas ditoreh dengan pisau oleh dua peragut.

MACHANG: Seorang peniaga restoran nyaris maut apabila ditikam dan ditoreh di perut serta tangan kiri ketika bergelut dengan dua penyamun yang cuba meragut rantai leher adik iparnya di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang di Kampung Bukit Cina, Kok Lanas, dekat sini, Mat Rashid Othman, 53, sedang melayan pelanggan di restorannya yang terletak bersebelahan dengan kedai runcit milik adik iparnya, Che Zamrah Mohamad, 43.
Sebaik mendengar jeritan Che Zamrah, dia bergegas ke kedai adik iparnya itu dan mendapati dua lelaki cuba meragut rantai mangsa.
Mat Rashid cuba membantu mangsa dan bergelut dengan suspek hingga menyebabkan dia ditikam dan ditoreh.
Selain Mat Rashid, anak saudaranya yang juga anak ketiga Che Zamrah, Mohd. Effifazlu Romi, 17, yang cuba membantu turut cedera ditoreh di perut.
Mengimbau semula kejadian itu, Che Zamrah berkata, ketika hendak menutup kedai, salah seorang daripada dua lelaki bermotosikal datang ke kedainya kononnya hendak membeli barangan dapur.
Katanya, ketika hendak membungkus barang itu, lelaki berkenaan terus menerkam ke arahnya untuk meragut rantai lehernya./kosmo