Khamis, 3 Februari 2011

Remaja lari rumah ditangkap

PADANG SERAI: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang pada 19 November 2009 ditemui semula di sebuah rumah teres oleh lima penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK).

Sinar Harian difahamkan, kes kehilangannya pernah dilaporkan di Balai Polis Butterworth.

Menurut jurucakap PADK, mereka menerima maklumat daripada orang ramai di mana terdapat pasangan bukan mahram tinggal di rumah itu.

Setelah membuat pemeriksaan, PADK mendapati, rumah itu disewa oleh sepasang suami isteri.

“PADK menerima aduan daripada orang ramai kira-kira jam 10 malam dan sampai di tempat kejadian kira-kira jam 10.30 malam. Ketika pemeriksaan dibuat, PADK mendapati rumah itu disewa oleh sepasang suami isteri. PADK curiga apabila ternampak dua lagi remaja perempuan berada dalam rumah itu dan seorang daripadanya sedang menangis.

“PADK mendapati salah seorang dari remaja itu pernah dilaporkan hilang pada 19 November 2009. PADK meminta remaja terlibat memberi kerjasama dengan memberikan nombor telefon waris untuk dihubungi,” katanya,

Menurutnya, PADK kemudiannya dimaklumkan oleh ibu saudara remaja terlibat bahawa satu laporan polis telah dibuat terhadap remaja itu di mana dia telah dilarikan oleh teman lelakinya.

“Pasangan itu kemudiannya diserahkan kepada unit MPV Balai Polis Lunas untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Ketika ditemui, lelaki berusia 20-an itu berkata, dia hanya membantu pasangan remaja perempuan itu melarikan diri dari rumah kerana remaja 16 tahun itu tidak mahu ditempatkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sungai Petani.

Menurutnya, remaja perempuan itu datang dari keluarga bermasalah apabila bapa kandungnya kini sedang menjalani hukuman penjara kerana mencabul.

Katanya, sebelum ini perempuan itu pernah melarikan diri dengan seorang lelaki ke Pahang.

“Saya cuma membantu dan tak tahu boleh jadi sampai macam ini. Dia (remaja perempuan 16 tahun) memaklumkan kepada saya dia tidak mahu tinggal di JKM. Saya tidak mempunyai tempat lain untuk tempatkan dia dan meminta bantuan dari rakan.

“Dia juga ada memaklumkan kepada saya, bapa kandungnya sekarang ini sedang menjalani hukuman penjara. Selain itu dia mengaku pernah terlanjur dengan bekas kekasihnya. Dia pernah melarikan diri ke Pahang dengan seorang lelaki. Saya tidak tahu keluarga dia membuat laporan polis mengenai kehilangan dia,” katanya./sinarharian

Dua wanita diacu pistol, parang RM45,000 disamun

KEMAMAN: Dua kakitangan wanita sebuah syarikat yang membawa wang tunai berjumlah RM45,000 terpaksa menyerahkan semua wang yang dibawa sejurus diacukan pistol dan parang dalam kejadian samun ketika mangsa hanya beberapa langkah untuk masuk ke pejabat mereka yang terletak di Binjai, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, kedua-dua mangsa yang terkejut kerana diserang hendap dua penjenayah bersenjata itu tidak mengalami sebarang kecederaan kerana mereka tidak melawan sebaliknya hanya akur dengan arahan dua penjenayah terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Senior Asisten Komisioner K Manoharan yang mengesahkan kejadian itu berkata, bagaimanapun polis setakat ini belum dapat memastikan sama ada senjata api yang dimaksudkan mangsa adalah senjata api sebenar atau sekadar objek yang menyerupainya disebabkan kes tersebut baru sahaja dilaporkan dan polis masih lagi menyiasat./sinarharian

Lelaki dijel 80 tahun, 40 sebatan kerana merogol

KUALA LUMPUR - Seorang bapa bukan sahaja tergamak merogol darah daging sendiri tetapi lebih keji lagi apabila ia dilakukan di hadapan isterinya yang juga ibu remaja berkenaan sehingga menimbulkan trauma kepada kedua-dua wanita malang tersebut.

Perlakuan buas lelaki kepada sembilan anak itu bagaimanapun dibalas dengan hukuman penjara 80 tahun dan 40 kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas peniaga gerai makan itu mengaku salah merogol anak kelimanya sebanyak empat kali, tahun lalu.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat memutuskan tertuduh berusia 47 tahun itu dipenjara 20 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan dengan kesemuanya diarah berjalan secara berturut-turut mulai tarikh ditangkap pada 27 Januari lalu.

Tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 15 tahun itu pada pukul 2 petang, 23 Januari lalu serta tiga lagi tuduhan serupa pada bulan November dan Disember tahun lalu di rumah mereka./kosmo

Rabu, 2 Februari 2011

Menyorok atas siling takut dicekup

LUNAS: Gara-gara ingin melarikan diri dari dicekup oleh penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim Kedah (PADK), seorang lelaki yang bekerja sebagai kakitangan awam, berusia 50an hampir terjatuh dari siling rumah kedai milik teman wanitanya di Taman Sediri, kira-kira jam 1.30 pagi, kelmarin. 

Jurucakap PADK berkata, PADK sudah dimaklumkan sebelum ini, pasangan itu tinggal bersekedudukan sejak beberapa bulan lalu. 

Tetapi perlakuan sumbang mereka ini, sukar dikesan kerana pasangan itu tidak berada di rumah ketika pemantauan dibuat sehinggalah malam kelmarin. 

Menurutnya, PADK mendapat maklumat dari orang ramai kira-kira jam 1 pagi dan sampai ke tempat kejadian kira-kira jam 1.15 pagi sebelum mengepung tempat tinggal pasangan itu. 

PADK kemudiannya meminta kerjasama penghuni rumah untuk membuka pintu bagi membuat pemeriksaan tetapi tidak diendahkan. Setelah 10 minit menunggu di luar, seorang wanita warga emas keluar dan memaklumkan kepada PADK tidak ada sesiapa di dalam rumah. 

“PADK mendapati kedua-dua kenderaan yang digunakan pasangan itu, ada diletakkan di hadapan rumah. 

“Setelah dipujuk dan diyakinkan oleh PADK, wanita itu bersetuju untuk membuka pintu,” katanya. 

Ketika pintu dibuka, PADK terdengar bunyi runtuhan siling yang kuat dan bergegas naik ke atas untuk membuat pemeriksaan. Dari pemeriksaan awal mendapati terdapat seorang wanita berusia 35 tahun berada di ruang tamu. Selain itu siling di bahagian tengah rumah kedai itu juga turut pecah. 

PADK meminta pasangan perempuan untuk menunjukkan di manakah kekasihnya bersembunyi tetapi dia enggan memberi kerjasama. PADK kemudiannya memanjat siling dan menemui lelaki menyorok di atasnya. 

“Dari siasatan dijalankan, pasangan perempuan merupakan seorang ibu tunggal berusia 35 tahun dan berasal dari Sik Kedah. Berketurunan Siam dan mempunyai dua anak. 

“Dia juga mengaku bekerja di rumah urut. Warga emas itu merupakan ibu mertuanya. Suaminya pula sudah meninggal dunia,” katanya. 

Katanya, keluarga terbabit bukan beragama Islam. Manakala pasangan lelaki pula sudah berkeluarga. 

“PADK terpaksa meminta bantuan unit MPV dari Balai Polis Lunas untuk memastikan pasangan lelaki tidak bertindak agresif. 

“Mereka kemudiannya dibawa ke balai polis Lunas untuk membuat laporan tangkapan terhadap diri mereka,” katanya./sinarharian

Bapa durjana dihadapkan ke mahkamah

KUALA TERENGGANU: Seorang bapa durjana yang sanggup melampiaskan nafsu ke atas anak tirinya dalam kejadian di Dungun tahun lalu akhirnya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam. 

Tertuduh, Zukiman Lah, 36, didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu sebanyak dua kali dalam kejadian berasingan ke atas mangsa, yang berusia 15 tahun. 

Kejadian sumbang mahram pertama didakwa berlaku pada awal Januari 2010 lebih kurang 4.30 petang di sebuah rumah di Jalan Merpati, Kampung Padang Jambu, Dungun. 

Tertuduh yang sepatutnya melindungi mangsa bagaimanapun tidak serik melakukan perbuatan tidak bermoral itu buat kali kedua pada 19 Jun 2010 jam 5.30 petang di pusat sumber di sebuah sekolah kebangsaan di daerah Dungun. 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah 376B (1) Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram dan boleh dikenakan hukuman penjara enam tahun serta tidak lebih 20 tahun dan sebatan./sinarharian

Dicekup bersama 2 wanita

GUA MUSANG: Sebuah rumah Skim Perumahan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) yang masih kosong kerana baru siap dibina di Kampung Jerek Kaling, dekat sini, dijadikan tempat perkongsian asmara seorang lelaki bersama dua teman wanitanya apabila mereka dicekup awal pagi kelmarin.

Serbuan Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Mukim Jerek diketuai Imannya, Md Zain Isamil, dilakukan kira-kira jam 1 pagi selepas mendapat maklumat awam berhubung pasangan terbabit tidur dalam sebuah bilik rumah berkenaan dengan memasang lilin kerana belum mempunyai elektrik.

Penahanan seorang lelaki bekerja pemandu lori berusia 34 tahun bersama dua teman wanitanya berumur 26 dan 28 tahun termasuk seorang daripadanya janda sebelum diserahkan kepada Penolong Penguat kuasa Agama Jajahan, Hunie Adabi Abdul Kadir untuk tindakan lanjut.

Pegawai Agama Jajahan, Anuar Hashim, berkata sebelum serbuan, AJK masjid terbabit menerima maklumat mengenai kegiatan seorang lelaki bersama dua teman wanitanya berada dalam rumah kosong berkenaan dengan mengunci pintu dari dalam.

Beliau berkata, mereka terpaksa membuat intipan sejak 11 malam lagi sebelum membuat serbuan dua jam kemudian dengan mengetuk pintu berulang kali dan dibuka seorang lelaki dalam keadaan ketakutan.

“Mereka memasang lilin dengan berkumpul dalam satu bilik dan ketika menyiasat dalam sebuah bilik tidur rumah terbabit menemui dua wanita termasuk seorang dari Kampung Lembaga manakala seorang lagi berasal dari Kampung Sungai Terah yang bersembunyikan diri.

“Keadaan semasa itu mereka berpakaian lengkap dan dibawa iman berkenaan untuk diserahkan kepada pejabat agama sebelum dibuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (JPD) Gua Musang,” katanya.

Menurut Anuar berkata, lelaki terbabit sanggup membawa dua teman wanitanya ke kampung terbabit bagi melakukan perbuatan bertentangan dengan agama Islam kerana menyangka penduduk tidak mengambil kisah kelakuannya.

Beliau berkata, pasangan terbabit akan didakwa kerana berkhalwat lebih daripada seorang wanita di Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang pada 5 April depan.

Mereka akan didakwa dibawah Seksyen 9(3)(4), Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan No 2/85 jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali./sinarharian

Selasa, 1 Februari 2011

Dua Beradik Diperintah Bela Diri Tuduhan Dera, Cabul Pambantu Rumah

PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, memerintahkan seorang wanita dan kakaknya untuk membela diri atas tuduhan mendera dan mencabul pembantu rumah warga Indonesia.

Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam membuat keputusan itu terhadap Wong Choy Kin, 37, dan Wong Choy Lin, 39, selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan prima facie untuk dijawab oleh tertuduh.

Beliau juga menetapkan 21 dan 22 Februari ini untuk kedua-dua tertuduh membela diri.

Perbicaraan sebelum ini melibatkanketerangan lapan saksi pendakwaan, termasuk mangsa, Hanif Mu Awanah Muhy yang berasal dari Surabaya.

Kedua-dua tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan kepada Hanif, 18, pada November 2003 dan juga pada pukul 9 malam, 30 September 2004 di sebuah rumah di Taman Bukit Serdang, dekat sini.

Selain itu, mereka juga didakwa bersama-sama telah mencabul mangsa dengan menggunakan biskut pada pukul 9 malam, 30 September 2004.

Mereka juga menghadapi satu lagi pertuduhan mencabul mangsa dengan menggunakan pisang dan botol minuman pada Julai 2004.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rehab Abdul Syukor manakala tertuduh diwakili oleh Liow Boon Lee yang menyebut bagi pihak peguam Goh Kim Lian. Pada prosiding Selasa, hanya Choy Kin hadir menghadiri prosiding mahkamah kerana dimaklumkan Choy Lin tidak sihat./mstar

Kekal hukuman penjara, denda

ALOR SETAR: Seorang guru al-Quran tidak menyangka Mahkamah Tinggi, di sini, semalam mengekalkan hukuman penjara 18 bulan dan denda RM3,000 atas kesalahan mencabul seorang kanak-kanak perempuan di sebuah rumah dijadikan pusat Qiraati di Jalan Pegawai, Taman Berjaya, di sini, lima tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Azman Hussin menolak rayuan tertuduh, Nasruddin Niamat, 36, bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 13 Oktober 2009.

Mohd Azman dalam keputusannya memberitahu Majistret Najwa Che Mat menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan dan denda RM3,000 mematuhi prosedur mahkamah./hmetro

Dua Polis Tentera Dipercayai Memiliki Ganja Ditahan

KUALA LUMPUR: Dua anggota polis tentera dari sebuah markas tentera di bandaraya ini ditahan kerana dipercayai memiliki dadah jenis ganja dua hari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, ACP Kang Chez Chiang berkata, kedua-dua suspek berumur 29 dan 40 tahun itu ditahan pada 2.15 pagi ketika berada dalam keadaan mencurigakan di sebuah pusat tumpuan orang ramai di Setiawangsa.

"Anggota polis dari Balai Polis Jalan Tun Razak telah bertindak atas maklumat orang awam dan menahan suspek yang dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan ke atas kedua-dua lelaki ini telah membawa kepada penemuan satu ketulan mampat ganja dengan anggaran berat 2.1 gram di dalam beg pinggang suspek pertama," katanya kepada Bernama menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini, Isnin.

Beliau berkata, selepas pemeriksaan ke atas suspek kedua, polis menemui ganja seberat 1.3 gram di dalam beg sandangnya.

Menurutnya ujian saringan awal polis mendapati kedua-dua suspek positif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952./Bernama

Perkosa anak saudara

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki sanggup merogol anak saudaranya yang menumpang sementara di rumahnya di Taman Datuk Senu, di sini, pagi semalam selepas membawa gadis itu dari kampung untuk satu sesi temu duga.

Difahamkan, bapa mangsa yang juga abang kepada suspek meminta pertolongannya untuk menumpangkan anak perempuannya itu yang berusia 19 tahun sepanjang menjalani temu duga kerja itu.

Sebaik tiba di rumah suspek, mangsa yang keletihan tidur dalam satu bilik.

Menurut sumber, ketika tidur mangsa dikejutkan dengan kehadiran suspek yang berusia lingkungan 30-an itu.

“Difahamkan, lelaki terbabit mempunyai kunci pendua bilik berkenaan yang membolehkan masuk itu walaupun dikunci dari dalam.

“Suspek cuba menanggalkan pakaian mangsa,” katanya.

Sumber berkata, tersentak dengan tindakan itu, mangsa cuba mempertahankan kehormatannya sebelum berlaku pergelutan antara mereka lebih 10 minit “Ketika itu, mangsa hanya mampu merayu, namun rayuannya tidak diendahkan suspek sebaliknya lelaki itu menjadi lebih agresif.

“Mangsa yang dipukul kemudian dirogol. Selepas 10 minit kemudian, suspek sekali lagi mahu merogol mangsa.

“Bagaimanapun, mangsa mendakwa mengalami pendarahan pada bahagian kemaluannya menyebabkan suspek membatalkan niatnya itu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang berjaya meloloskan diri dari rumah suspek meminta bantuan seorang jiran untuk menghubungi ahli keluarganya di kampung.

“Seorang lagi bapa saudaranya berusia lewat 30-an yang dimaklumkan mengenai kejadian itu bergegas mengambil mangsa di rumah suspek sebelum membawanya ke Balai Polis Sentul untuk membuat laporan berhubung kejadian itu,” katanya.

Difahamkan, mangsa masih trauma dengan insiden itu dilaporkan sedang berlindung di rumah ibu saudaranya dan dikatakan akan pulang ke kampung selepas siasatan selesai dilakukan pihak berkuasa.

Suspek ditahan di rumahnya kira-kira jam 1 tengah hari, hari yang sama selepas polis menerima laporan kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu, namun enggan mengulas lanjut./hmetro