GOMBAK: Hanya kerana kelaparan, seorang suami membelasah isterinya sebelum menoreh muka wanita berkenaan dan melarikan wang RM50 ketika bertemu mangsa di Batu Caves, di sini, kelmarin.
Lebih teruk apabila lelaki berusia 20-an itu membiarkan isterinya berusia 22 tahun menggelupur kesakitan selepas mukanya cedera teruk sebelum mangsa diselamatkan orang awam yang membawanya ke sebuah klinik.
Sumber berkata, mangsa yang juga jururawat dihubungi suaminya, jam 12 tengah hari untuk berjumpa dan mangsa meminta suaminya datang ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, lelaki terbabit yang dalam keadaan tidak terurus meminta wang daripada mangsa untuk membeli makanan.
“Kasihan melihat keadaan suaminya, mangsa membuka beg tangannya untuk mengambil wang sebelum lelaki terbabit merentap beg itu gara-gara tidak sabar menyebabkan berlaku pertengkaran,” katanya.
Menurut sumber itu, suspek yang berang apabila mangsa melawan memukulnya sebelum mengeluarkan pisau lalu menoreh muka isterinya.
“Mangsa dibantu orang awam membawanya ke klinik untuk rawatan sebelum menerima beberapa jahitan,” katanya.
Katanya, bimbang kejadian sama berulang mangsa membuat laporan di Balai Polis Selayang.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan