Ahad, 11 November 2012

3 konstabel ditahan kes rogol

BUKIT MERTAJAM: Tiga anggota polis ditahan bagi membantu siasatan selepas seorang wanita Indonesia membuat laporan polis mendakwa dirinya diperkosa ketika ditahan di sebuah balai di sini semalam.

Semua mereka berpangkat konstabel yang berusia 20 hingga 30-an itu ditahan petang semalam dan direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi ketika dihubungi Kosmo! Ahad mengesahkan tangkapan tiga anggota itu yang dibuat susulan laporan daripada mangsa yang berusia 25 tahun kelmarin.

Dalam pada itu, ketika menceritakan semula episod hitam itu, mangsa yang bekerja sebagai pembantu restoran mendakwa, kejadian berlaku apabila dia dibawa ke balai polis berkenaan selepas pasport miliknya dikatakan tamat tempoh.

Sebelum itu, pada pukul 6.20 pagi kelmarin, mangsa yang menaiki sebuah teksi berhampiran sebuah pusat beli-belah di Perai ditahan anggota polis peronda yang kemudiannya meminta dia menunjukkan kad pengenalan.

Wanita itu mendakwa, ketika kejadian dia hanya membawa salinan pasport.

"Mereka (polis) beritahu pasport saya sudah tamat tempoh dan terus bawa saya ke balai polis untuk ditahan di lokap.

"Ketika berada di balai saya merayu supaya dilepaskan tetapi seorang daripadanya memaksa saya melakukan hubungan seks sebelum menghantar saya pulang ke rumah pada pukul 7.30 pagi," kata wanita itu pada sidang akhbar di Pejabat MCA Bahagian Bukit Mertajam di sini semalam./kosmo

Jumaat, 9 November 2012

Pemandu bas kilang maut ditikam

GEORGE TOWN - Seorang pemandu bas kilang maut selepas ditikam seorang lelaki dalam pertengkaran di hadapan sebuah kilang di Fasa 4, Bayan Lepas di sini kira-kira pukul 7.20 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Hatta Md Zin berkata mangsa, S.Suresh Raja, 37, beralamat di 2-1-1 Lintang Sungai Batu, Taman Teluk Kumbar di sini maut ketika dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan parah di pinggang dan bahu.

Beliau berkata menurut pengawal keselamatan kilang berkenaan, mangsa dilihat bertengkar di tepi jalan besar berhadapan kilang itu dengan dua lelaki dan seorang wanita.

"Dalam pertengkaran itu, saksi melihat seorang daripada lelaki yang bertengkar dengan mangsa bertindak menikamnya menggunakan sebilah pisau," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya selepas kejadian itu, dua lelaki bersama wanita berkenaan melarikan diri dengan sebuah Proton Wira biru dengan nombor pendaftaraan PCW 6714.

Hatta berkata mangsa yang masih mampu berjalan kemudiannya masuk ke kawasan kilang sebelum terjatuh di bawah pokok iaitu kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

"Pengawal keselamatan itu kemudian menghubungi ambulans dan ketika mangsa dibawa ke hospital, dia disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah," katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa dalam proses bercerai dengan isterinya.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan," katanya./Bernama

Khamis, 8 November 2012

Imam ditemui mati dipukul dalam surau

Seorang imam, yang hendak melaungkan azan Subuh, mati akibat dipukul di surau Kampung Gual Petai Lima, Gual Ipoh di Tanah Merah semalam.

Abdullah Nawang, 77, yang cedera parah di leher dan kepala, mati di unit kecemasan Hospital Tanah Merah.

Sehubungan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 57 tahun di sebuah kedai kopi di Kampung Kulim, kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian pada pukul 7 pagi semalam, kata Ketua Polis Daerah Tanah Merah DSP Abdul Aziz Mahmud.

Bercakap kepada pemberita, Abdul Aziz berkata suspek yang tinggal tidak jauh dari surau itu pernah mendapat rawatan di Wad Psikiatri Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Baharu.

"Polis percaya Abdullah dipukul menggunakan senjata tumpul atau objek keras, dan polis sedang mencari senjata yang digunakan suspek yang dipercayai dibuang tidak jauh dari tempat kejadian," katanya.

Isteri mangsa, Ramlah Ahmad, 67, yang ketika kejadian berada di ruang solat wanita di surau itu, berkata beliau terdengar bunyi bising seperti orang terjatuh di dalam surau.

"Apabila melihat ke bahagian solat lelaki, saya nampak suami dalam keadaan berlumuran darah di atas sejadah.

"Ketika itu, saya sedang memakai telekung untuk menunaikan solat Subuh. Arwah tidak sempat melaungkan azan," katanya sambil memberitahu bahawa setiap pagi suaminya akan mengimamkan solat Subuh di surau itu.

Abdullah yang menoreh getah di kampung itu meninggalkan seorang isteri dan empat anak serta 20 cucu.

Mayat Abdullah dibedah siasat di Hospital Tanah Merah sebelum diserah kepada keluarga untuk dikebumi./Bernama

Ahad, 4 November 2012

Kakitangan awam dibunuh, isteri dirogol

 Kakitangan awam dibunuh, isteri dirogol
BENTONG: Seorang kakitangan Pejabat Hutan Daerah Bentong maut manakala isterinya dipercayai dirogol dalam kejadian samun di kuarters Pejabat Hutan Bentong, Jalan Tras dekat sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, ketika kejadian pukul 4.40 pagi itu, Khairul Hazri Jamaludin, 31, dan isterinya yang berusia 28 tahun tidur di ruang tamu.

Menurutnya, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki bertopeng dan bersenjatakan senapang patah masuk ke dalam rumah menerusi tingkap bahagian dapur.

"Kehadiran suspek mengejutkan pasangan suami isteri itu menyebabkan Khairul Hazri bertindak mempertahankan diri dan bergelut dengan suspek./utusan

Khamis, 1 November 2012

Remaja didakwa liwat kanak-kanak enam tahun

KUALA LUMPUR: Seorang remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini terhadap pertuduhan meliwat seorang kanak-kanak lelaki, dua tahun lepas.

Remaja yang berusia 16 tahun pada masa kejadian didakwa melakukan kesalahan itu ke atas kanak-kanak yang berusia enam tahun di dalam bilik tidur di sebuah kediaman di Hulu Kelang, Ampang, pada 2 petang, 27 Feb 2010.

Dia yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie menawarkan wang jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bapa tertuduh yang hadir sebagai penjamin, memohon mahkamah agar wang jaminan dikurangkan kerana ia berpendapatan rendah dan mempunyai tanggungan lima orang anak.

Hakim Manira Mohd Nor membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Dis depan untuk sebutan./Bernama

Bekas Ketua Polis Balai dituduh rogol gadis

 Mahmad Bidin
Tertuduh yang menutup mukanya dengan pakaian meninggalkan mahkamah selepas menjelaskan denda berkenaan, semalam.
KOTA BHARU: Seorang bekas ketua polis balai di sini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merogol seorang gadis berusia 14 tahun, tiga tahun lalu.

Anggota berpangkat Sarjan Mejar itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Mahmad Bidin, 52, dituduh merogol mangsa di Pejabat Ketua Polis Balai, Balai Polis Binjai di sini pada jam 2.30 petang, 15 Oktober 2009.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nur Hilwani Mat Rifin.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Dia yang diwakili peguam bela, Rosmizan Sulaiman memohon jaminan minimum dikenakan berikutan anak guamnya itu menerima separuh gaji akibat ditahan kerja.

Hakim Azman Abdullah yang mempertimbangkan rayuan itu membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tertuduh tidak boleh berkomunikasi dengan mangsa.

“Jika gagal dipatuhi, jamin secara automatiknya terbatal,” katanya./sinarharian

Rabu, 31 Oktober 2012

Warga emas didakwa rogol anak jiran 10 tahun

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang layak digelar datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol anak jiranya berusia 10 tahun.

Tertuduh, Mohamad Soha Abdullah, 65, didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu di rumah anaknya di sini dalam tiga kejadian berasingan sekitar awal bulan ini.

Difahamkan, kanak-kanak terbabit kerap ke rumah tertuduh yang bekerja sebagai buruh binaan bagi mendapatkan duit untuk membeli makanan ringan dan abang mangsa yang berusia 12 tahun dilaporkan pernah melihat tertuduh yang berkahwin dua kali dan bercerai memasukan tangannya ke dalam kemaluan mangsa bagaimanapun tidak mendedahkan perkara terbabit.

Perbuatan terkutuk itu, hanya disedari mak cik mangsa yang meragui lalu menyoal murid tahun empat itu sehingga pendedahan mengenai kegiatan terkutuk lelaki terbabit.

Atas kesalahan itu, Mohamad Soha didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Iffa Zarilla Abd Rahman yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM30,000.

Mohamad Soha yang memakai kemeja-T berwarna kelabu dan seluar panjang mengangguk tanda faham dan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Nu’aman Mahmud Zuhdi.

Tertuduh yang diwakili peguam bela Mohd Asram Zakaria memohon dikenakan jaminan yang rendah memandangkan faktor usia tertuduh.

Nu’aman kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes 20 November ini./sinarharian

Sabtu, 27 Oktober 2012

Perkosa tiga anak selama 8 tahun

JAKARTA: Angkara ingin menguasai ilmu hitam, seorang bapa memperkosa tiga anak perempuannya secara bergilir-gilir selama lapan tahun.

Isteri lelaki itu tidak dapat berbuat apa-apa walaupun mengetahui perbuatan suaminya.

Zaeni, 43, dari Cakung Jakarta Timur dibawa ke balai polis di sini Khamis lalu selepas perbuatannya itu terbongkar. Isteri suspek yang hanya dikenali sebagai Ka memberitahu dia sering melihat suaminya membakar kemenyan setiap malam Jumaat.

“Saya sudah menasihatinya bahawa perbuatannya itu berdosa tetapi dia masih melakukannya,” katanya kepada wartawan.

Berdasarkan maklumat, ketiga-tiga anak perempuan suspek berusia 20, 19 dan 15 tahun.

Perbuatan suspek terbongkar selepas anak bongsunya yang berusia 15 tahun memberontak ketika ingin diperkosa bapanya. Dia melarikan diri dan melaporkan kepada polis mengenai perbuatan bapanya selama ini.

Ekoran maklumat itu, sekumpulan polis bergegas ke kediaman suspek dan memberkasnya. Isteri suspek turut ditahan untuk siasatan lanjut./kompas.com

Suami cekup isteri khalwat

Suami cekup isteri khalwat
Isteri Salman (kiri) dan lelaki dipercayai kekasihnya serta seorang lagi wanita ditahan kerana berkhalwat.
AYER KEROH: Luluh hati seorang kontraktor apabila mendengar suara isteri tersayang bergelak ketawa dengan lelaki lain di dalam bilik tidur mereka di kediamannya di sebuah pangsapuri di Ayer Keroh, di sini, lewat malam Ahad lalu.

Akibat tidak sanggup melihat kecurangan isteri, lelaki berusia 36 tahun itu menggagahkan diri ke pejabat Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) dan mengetuk pintu jabatan penguat kuasa bagi memaklumkan hal berke-naan, awal pagi kelmarin.

Dakwa suami malang itu, dia terpaksa meminta penguat kuasa Jaim mencekup kedua-dua mereka yang berusia 24 tahun apabila dipermainkan isterinya buat kali kedua selepas pernah ditangkap berkhalwat dengan lelaki lain tidak sampai setahun lalu.

Lelaki terbabit yang dikenali sebagai Salman berkata, dia yang sedang bekerja pulang ke rumah untuk mengambil pengecas telefon bimbit yang tertinggal.

“Isteri yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat beli-belah di sekitar negeri ini biasanya bekerja pada hujung minggu, bermula jam 9 pagi hingga 11 malam.

“Tetapi sebaik sahaja tiba di luar rumah, saya dengar suara seorang perempuan dengan seorang lelaki ketawa bersama. Lebih tiga kali saya memastikan suara itu sebelum terpaksa menerima hakikat bahawa ia milik isteri saya,” katanya.

Menurutnya, dia dengan berat hati kemudian membuat laporan kepada Jaim kira-kira jam 3 pagi untuk tindakan lanjut.

"Dia pernah dicekup bersama lelaki lain tetapi saya beri peluang kedua untuk dia dan saya perbaiki kelemahan masing-masing tetapi kali ini saya tidak mampu bersabar lagi," katanya yang tidak mempunyai anak hasil perkahwinan selama empat tahun.

Salman berkata, ia adalah perkahwinan keduanya selepas isteri pertama meninggal dunia akibat barah dan empat anaknya kini tinggal bersama ibunya di Bukit Piatu, di sini.

“Saya tidak menyalahkan sesiapa dan reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penguat kuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, serbuan lima anggotanya kira-kira jam 4.15 pagi mendapati terdapat dua wanita dan seorang lelaki di dalam rumah tersebut.

“Selepas anggota kami mengetuk pintu rumah beberapa kali, seorang wanita berusia 31 tahun membuka pintu.

"Dia kemudian mengetuk dan membuka pintu bilik kedua rumah tersebut. Kami dapati ada seorang lelaki dan wanita di dalamnya," katanya.

Menurutnya, selepas disoal siasat, ketiga-tiga mereka ditahan dan dibawa ke pejabat penguat kuasa Jaim untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu berkurung mendatangkan syak ataupun bersekediaman./sinarharian

Buang bayi ke tali air, polis tahan ibubapa gadis

Polis menahan ibu bapa gadis berusia 17 tahun yang dipercayai membuang bayi yang baru dilahirkannya ke dalam tali air kelmarin, bagi membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis Supt Mohd Nashir Ya berkata pasangan suami isteri berusia lingkungan 40-an itu ditahan jam 9.47 malam kelmarin.

Setakat ini polis telah menahan enam orang bagi membantu siasatan kes tersebut, katanya kepada pemberita semalam.

Awal pagi semalam, polis menemui mayat bayi perempuan baru dilahirkan dalam sebatang tali air di Kampung Behor Rotan Pahit, Simpang Empat selepas menerima laporan pegawai perubatan Hospital Tuanku Fauziah.

Pegawai perubatan itu membuat laporan polis selepas mengesyaki pendarahan yang dialami seorang pelajar perempuan yang dirujuk ke hospital itu pada jam 9.20 malam Rabu, disebabkan komplikasi bersalin.

Hasil siasatan, gadis itu mengakui melahirkan bayi perempuan yang kemudian dibuang ke dalam tali air tersebut.

Susulan penemuan mayat bayi itu, polis menahan empat individu termasuk teman lelaki dan abang gadis berkenaan./Bernama