Rabu, 29 Ogos 2012

Lelaki pecah masuk asrama mati dibelasah

Seorang lelaki berusia 35 tahun yang memecah masuk asrama sebuah sekolah agama swasta di Jalan Sultanah di Alor Setar hari ini, mati setelah dibelasah sekumpulan pelajar lelaki sekolah itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, suspek, seorang penagih dadah, dikatakan memecah masuk asrama itu dan mencuri telefon bimbit dan sebuah beg, tetapi disedari oleh sekumpulan pelajar yang kemudiannya bergelut dengan lelaki itu untuk menangkapnya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata pergelutan antara kumpulan pelajar berusia awal 20-an dengan suspek, menyebabkannya mengalami kecederaan dalaman dan patah tulang rusuk kiri.

Beliau berkata suspek yang dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk mendapatkan rawatan disahkan meninggal dunia kira-kira 2 petang.

"Satu laporan polis mengenai kejadian tersebut dibuat oleh pelajar terbabit dan masih menunggu laporan hasil bedah siasat terhadap suspek," katanya kepada pemberita di Alor Setar hari ini.

Adzaman berkata berdasarkan rekod, suspek mempunyai empat kes jenayah lampau iaitu pada tahun 2006 termasuk satu kes curi dalam kediaman.

Katanya setakat ini polis belum menahan mana-mana pelajar untuk memberi keterangan sehingga keputusan hasil bedah siasat ke atas suspek diperoleh./Bernama

Rabu, 22 Ogos 2012

Lelaki serang polis ditembak

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dipercayai anggota kumpulan samseng cedera ditembak selepas menyerang pasukan polis yang cuba menahannya kerana terlibat dalam pergaduhan di sebuah pangsapuri di Pandan Perdana, dekat sini Isnin lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supt Md Nazri Zawawi berkata sebelum itu polis menerima laporan mengenai pergaduhan dua kumpulan di kawasan pangsapuri berkenaan 1.15 pagi sebelum menghantar sepasukan lapan anggota ke tempat kejadian.

"Menyedari kehadiran polis, suspek dan empat lagi rakannya masuk ke dalam kereta jenis Hyundai untuk melarikan diri sebelum dikejar pasukan polis yang kemudian mengesan mereka di Tasik Permai," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Md Nazri berkata kelima-lima suspek berumur 26 hingga 30 tahun itu kemudian meluru keluar daripada kereta cuba menyerang anggota polis menggunakan parang, pisau pemotong daging dan besi.

"Mereka memecahkan cermin hadapan kereta polis dan dalam situasi cemas itu, polis melepaskan dua das tembakan ke arah seorang daripada mereka. Suspek yang cedera itu dihantar ke Hospital Ampang dan kini dalam keadaan kritikal," katanya.

Md Nazri berkata polis menahan empat lagi suspek yang berada dalam kereta tersebut dan mendapati tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau antaranya kes dadah, samun dan cubaan membunuh.

Katanya, kesemua mereka ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan dan polis merampas lima bilah parang, dua batang besi dan satu alat 'walkie-talkie' daripada mereka.

"Polis sedang mengesan saki baki kumpulan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya./Bernama

Sabtu, 18 Ogos 2012

Remaja perempuan dibakar kekasih masih kritikal

remaja disimbah petrol
Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara, Datuk Seri Shahrizat Jalil (dua,kiri) menenangkan ibu kepada Nurul Firzannah Mat Zin, remaja yang di simbah petrol, Nor Liyati Hamid (kiri)
KUALA LUMPUR: Nurul Firzanah Mat Zaki, gadis berusia 16 tahun yang dipercayai dibakar kekasihnya masih dalam keadaan kritikal selepas menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur, semalam.

Bapanya, Mat Zaki Mat Hussin, 45, berkata Nurul Firzanah dibedah di bahagian leher bagi membolehkan saluran pernafasannya kembali berfungsi seperti biasa.

Beliau berkata, dengan keadaan Nurul Firzanah, yang 25 peratus terbakar dan masih kritikal, sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lagi membawa sebarang erti kepada keluarganya.

"Isteri saya, Norliyati Abdul Hamid masih tidak dapat menerima tragedi yang menimpa anak kedua daripada tiga adik beradik dan setiap kali masuk ke bilik Nurul, dia akan menangis kerana terbayangkan keletah manja satu-satunya anak perempuan kami itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di hospital itu, di sini hari ini.

Nurul Firzanah sebelum itu dilaporkan koma selepas disimbah petrol dan dibakar, dipercayai dilakukan oleh teman lelakinya di kawasan semak berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Sari, Seksyen 1, Wangsa Maju, selepas keluar bersahur bersama Selasa lepas.

Ekoran kejadian itu mangsa dikatakan mengalami kecederaan di muka, dada dan tangan.

Mat Zaki berkata selepas kejadian, keluarga kenalan anaknya datang bertemu keluarganya bagi memohon maaf atas tindakan anak lelaki mereka yang berumur 19 tahun itu, namun sebagai bapa, katanya beliau tidak dapat menerima perbuatan yang dilakukan ke atas anaknya itu.

"Sebagai bapa, saya tidak dapat memaafkan perbuatan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan itu," katanya.

Beliau berkata, mereka sekeluarga tahu mengenai persahabatan di antara Nurul Firzanah dengan pemuda itu dan tidak menghalang perhubungan itu, namun tidak menyangka perkenalan tersebut membawa derita kepada anaknya.

Susulan kejadian itu, polis Kuala Lumpur memulakan gerakan memburu pemuda itu.

Terdahulu, Nurul Firzanah menerima sumbangan RM2,000 daripada Yayasan Kebajikan Negara yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah yayasan itu Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil./Bernama

Jumaat, 17 Ogos 2012

Ahli perniagaan didenda RM2,000 kerana cederakan suami

PETALING JAYA: Gara-gara menumbuk dan membaling serbuk cili ke mata suami, seorang ahli perniagaan wanita didenda RM2,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret K.B.Elena Hong Tze Lan menjatuhkan hukuman itu setelah mendapati Rasidah Rahmathullah, 39, bersalah mencederakan Mohamed Nasser Abdul Razak, 42, yang kini bekas suami wanita itu.

Elena berkata pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah.

Rasidah didakwa mencederakan Mohamed Nasser, seorang Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) di sebuah jabatan kerajaan, dengan menumbuk dan menampar muka serta membaling serbuk cili di kediaman mereka di Jalan USJ 1/4F, Subang Jaya, dekat sini, pada 3 petang, 19 April 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shahida Wan Omar.

Rasidah kemudian menjelaskan denda itu.

Dalam pada itu, mengikut rekod mahkamah, Mohamed Nasser pernah didakwa atas tuduhan menggigit bahu Rasidah pada masa dan tempat yang sama, di Mahkamah Majistret Tiga di sini.

Dia tidak mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan ia kini masih dalam perbicaraan di peringkat pendakwaan./Bernama

Penjahat bulan Ramadan dicekup


DUA suspek yang terlibat kes pecah rumah di Seksyen 1, Wangsa Maju ditahan di Balai Polis Wangsa Maju kelmarin.
KUALA LUMPUR: Ketika umat Islam sibuk membuat amal ibadat pada hari-hari terakhir bulan Ramadan, lain pula perangai dua lelaki yang mengambil kesempatan memecah masuk beberapa buah rumah di Wangsa Maju di sini dipercayai bagi mengumpul duit raya.

Dua suspek warga tempatan itu bijak memilih masa apabila menyasarkan apartmen yang tiada penghuni sama ada pemiliknya keluar ke surau, masjid atau berbuka puasa.

Kegiatan dua sahabat itu terbongkar apabila mereka dilihat berada dalam keadaan mencurigakan dengan berlegar-legar di sekitar sebuah flat di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini kelmarin.

Kedua-dua suspek berusia 30-an itu kemudian cuba memecah masuk dua buah rumah di Blok A1 dan Blok A10 tetapi tidak berjaya kerana ramai penghuni lalu lalang di flat itu.

Selepas kegagalan itu, kedua-dua suspek berpisah untuk melakukan pecah rumah secara berseorangan./kosmo

Abang ipar Sabturiah ditahan

SHAH ALAM: Polis menahan seorang pemuda yang merupakan abang ipar kepada Sabturiah Faisal, 19, bagi membantu siasatan kes bunuh dan rogol gadis itu di sebuah rumah di Taming Jaya, Balakong pada Isnin lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, lelaki berusia 26 tahun itu ditahan pada pukul 2 petang kelmarin di sebuah kilang di Jalan Semenyih, Kajang tempat suspek bekerja.

"Siasatan awal mendapati suspek bekerja di sebuah kilang sama dengan adik iparnya yang menjadi mangsa bunuh dan isteri suspek sendiri.

"Setakat ini, lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengenai kematian Sabturiah," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini.

Menurut beliau, abang ipar mangsa ditahan dan direman sehingga 21 Ogos lalu selepas lelaki itu dipercayai memberi keterangan meragukan kepada polis berhubung kejadian yang menimpa anak ketujuh daripada 12 adik-beradik itu.

Difahamkan, pada hari kejadian, abang ipar Sabturiah dikatakan 'hilang' dari tempat kerjanya selama satu jam pada waktu tengah hari sebelum kembali menyambung tugas pada sebelah petang.

Akhbar pada Rabu lalu melaporkan, mayat Sabturiah yang berasal dari Kampung Merotai Besar dekat Tawau, Sabah dijumpai dalam keadaan terlentang di dalam bilik tidurnya oleh abang ipar mangsa pada pukul 7 malam Isnin lalu.

Laporan bedah siasat yang dikeluarkan oleh pakar patologi dari Hospital Serdang menunjukkan hampir semua organ dalaman mangsa yang masih bujang lebam manakala hati mangsa pecah.

Pemeriksaan juga mendapati mangsa dirogol selepas kematiannya dipercayai pada waktu tengah hari sebelum mayatnya dijumpai pada sebelah petang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Dalam kes berasingan, Tun Hisan memberitahu, pihaknya mengesan seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dan anak lelakinya bagi membantu siasatan kes seorang peniaga minuman mati dibelasah sekumpulan lelaki di sebuah tapak perniagaan di kawasan Downtown, Seri Kembangan Isnin lalu./kosmo

Khamis, 16 Ogos 2012

Sanggup sewa bilik, lakukan seks songsang

Sanggup sewa bilik, lakukan seks songsang
Dua remaja lelaki bernafsu songsang dicekup dalam keadaan bogel berpelukan atas katil di sebuah tempat penginapan, dekat Pantai Sura, petang semalam.
DUNGUN: Menjijikkan! Itu gambaran yang boleh diberikan buat dua remaja lelaki yang bernafsu songsang apabila sanggup menodai kesucian bulan Ramadan dengan menyewa bilik penginapan bagi melakukan hubungan sejenis.

Perbuatan tidak bermoral dua remaja lelaki termasuk seorang daripadanya penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) ini, terbongkar hasil serbuan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah di sebuah tempat penginapan di Pantai Sura dekat sini, kira-kira jam 2 petang semalam.

Serbuan tersebut dilakukan setelah maklumat diterima mengatakan salah seorang suspek yang berasal dari Berek Kastam, Dungun itu dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Ketika serbuan di lakukan, dua remaja lelaki itu difahamkan berada dalam keadaan bogel, berpelukan antara satu sama lain atas katil dalam sebuah bilik yang disewa dengan kadar RM60 semalaman itu.

Salah seorang suspek, pelajar semester enam jurusan perhotelan itu ketika ditemui, turut mengaku tidak berpuasa dan datang ke situ bersama rakan lelaki berusia 29 tahun itu untuk melakukan adegan asmara.

Hasil serbuan berkenaan, sehelai coli hitam dipercayai milik pelajar IPTA yang berasal dari Sungai Buaya itu turut dirampas polis.

Kedua-duanya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk siasatan lanjut sebelum diarahkan menjalani ujian saringan air kencing untuk mengesahkan pembabitan mereka dengan penyalahgunaan dadah./sinarharian

Rabu, 15 Ogos 2012

Nyaris menjadi mangsa rogol selepas dilarikan dua lelaki

Che Mahazan (tengah) menunjukkan antara senjata yang berjaya ditemui dalam kejadian berkenaan.
Che Mahazan (tengah) menunjukkan antara senjata yang berjaya ditemui dalam kejadian berkenaan.
KOTA TINGGI: Seorang gadis nyaris menjadi mangsa rogol selepas dilarikan dua lelaki, malam 12 0gos, lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa berumur 15 tahun bersama rakan lelakinya yang berada di Dataran Tasik Bandar Penawar didatangi dua suspek menaiki sebuah kenderaan jenis Proton Perdana berwarna hitam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Che Mahazan Che Aik berkata, pihaknya menerima aduan daripada rakan lelaki mangsa yang berumur 17 tahun kira-kira 9.20 malam, hari sama.

Menurutnya, pengadu memberitahu, rakan wanitanya dipaksa masuk ke dalam kereta oleh suspek yang turut mengugut menggunakan senjata parang.

“Ekoran itu, polis melancarkan operasi mengesan dan dalam tempoh kurang satu jam, kenderaan dinaiki suspek dilihat berada di Jalan Mawai, di sini.

“Polis mengejar sejauh 15 kilometer sehingga di Taman Sri Saujana sebelum kenderaan suspek berhenti kerana panik dikepung dan mangsa berjaya melompat keluar,” katanya pada sidang media, semalam.

Che Mahazan berkata, bagaimanapun, lelaki berkenaan sekali lagi memecut kenderaan mereka sebelum hilang kawalan dan terbabas di bandar Kota Tinggi.

“Dalam masa kurang sejam laporan dibuat, polis berjaya menahan pemandu kenderaan berumur 26 tahun yang didapati positif dadah jenis heroin," katanya.

Beliau berkata, polis mencari seorang lelaki berumur 25 tahun bagi membantu siasatan dengan alamat terakhirnya adalah di Felda Semenchu.

“Lelaki berkenaan mempunyai lima rekod jenayah lampau termasuk kes rogol, curi kenderaan, curi dalam bangunan selain dikehendaki dalam satu kes ugutan jenayah dan memiliki senjata merbahaya,” katanya.

Jelasnya, polis turut menemui senjata yang digunakan suspek antaranya pistol tiruan, parang panjang, pisau Rambo dan pisau pendek selain turut menjumpai barang lain iaitu anak kunci motor, dompet berisi kad ATM dan wang kertas RM13.

Katanya, kenderaan yang digunakan suspek juga dilaporkan dicuri pada 11 Ogos lalu, di Sungai Rengit.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik dan Seksyen 376 kanun sama./sinarharian

Isnin, 13 Ogos 2012

Dibunuh kekasih

PETALING JAYA: Seorang wanita warga Indonesia berusia 40-an ditemui mati dengan kesan tikaman dan lebam di beberapa bahagian badan dipercayai dibunuh teman lelakinya di sebuah bilik di Jalan PJU 1/2 Kampung Cempaka, Kelana Jaya, kelmarin.

Mayat mangsa yang ditemui penduduk berhampiran kira-kira jam 6 petang, dalam keadaan dua tangan diikat menggunakan kain. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi berkata, sebaik menerima aduan daripada penduduk kawasan berkenaan, sepasukan polis segera ke lokasi kejadian.

“Sebaik memasuki bilik itu, polis menemui mayat mangsa yang berpakaian lengkap tetapi dua tangannya diikat menggunakan kain.

“Pemeriksaan lanjut kemudian menemui kesan tikaman dan lebam di badan mangsa,” katanya.

Polis gagal menemui sebarang dokumen pengenalan diri mangsa kecuali surat pajak.

Arjunaidi berkata, siasatan awal mendapati mangsa tinggal di bilik itu bersama teman lelakinya.

“Polis menjejaki teman lelaki mangsa yang dipercayai sudah melarikan diri,” katanya. Mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, untuk bedah siasat.

Katanya, berdasarkan keadaan mayat, polis percaya wanita itu sudah dibunuh sejak tiga hari lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK)./hmetro

Terjun dari tingkat lapan

KOTA BHARU: Suasana di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian gempar seketika apabila seorang lelaki berusia 57 tahun dikatakan terjun dari tingkat lapan bangunan hospital berkenaan, kira-kira jam 10 pagi, semalam.

Mangsa, Sim Beck Imm yang menghidap sakit pinggang kronik sebelum itu dilihat berada di Jabatan Kecemasan hospital terbabit untuk membuat temujanji.

Dia kemudian dipercayai menuju ke tingkat lapan dan terjun dari bahagian koridor sebelum terjatuh di tingkat dua bangunan sama.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata kejadian itu menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian apabila mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala hingga otaknya berkecai. Katanya, polis menerima panggilan kira-kira jam 10 pagi sebelum bergegas melakukan siasatan di tempat kejadian./hmetro