Jumaat, 21 Disember 2012

Mayat bayi tanpa tangan

 
SEREMBAN – Manusia tidak berhati perut!

Itu yang boleh digambarkan terhadap individu yang sanggup membuang bayinya sendiri sehingga mati di Tapak Pelupusan Sampah Pajam di sini, kelmarin.

Lebih menyayat hati, mayat bayi yang ditemui oleh salah seorang pekerja di situ dalam keadaan pergelangan tangan kanannya putus.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, bayi yang dipercayai berusia seminggu dan mempunyai anggaran berat dua kilogram itu, dijumpai kira-kira jam 3 petang di dalam longgokan sampah di kawasan berkenaan.

Katanya, kejadian disedari oleh salah seorang pekerja yang ketika itu sedang membersihkan kawasan pelupusan sampah berkenaan.

“Kita percaya bayi tersebut telah dibuang ke dalam tong sampah di suatu kawasan lain, dan kemudian baru ditemui di tempat pelupusan sampah ini.

“Hasil bedah siasat yang dilakukan kita tidak mengetahui punca sebenar kematian kerana ianya tidak berjaya ditemui.

“Begitu pun kes akan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan (KK) kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya.

Sementara itu, menurut saksi kejadian, Fauzi Tukijo, 45, pada mulanya dia menyangka bahawa bayi tersebut adalah anak patung.

Namun, apabila dia meneliti bungkusan tersebut, rupa-rupanya adalah mayat seorang bayi.

“Semasa sedang meratakan kawasan pelupusan sampah ini dengan menggunakan jentolak, tiba-tiba jentolak itu tidak bergerak.

“Lalu saya melihat di bahagian bawah dan mendapati sebuah bungkusan yang dibaluti dengan kemeja hitam berada di bawah jentolak tersebut.

“Sebaik sahaja membuka bungkusan itu, saya amat terkejut melihat seorang bayi perempuan yang cukup sifat tidak bernyawa lagi dan segera mengalihkannya sebelum menghubungi polis,” katanya./sinarharian

Lelaki maut ditembak di Bukit Mertajam

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki mati selepas ditembak dari jarak dekat oleh suspek bermotosikal ketika sedang minum bersama rakan di sebuah kedai makan di Jalan Kampung Baru di sini, awal hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri SAC Mazlan Kesah berkata dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam itu, Khor Chun Hau, 41, terkena tiga das tembakan dan mati dalam perjalanan ke hospital.

Mangsa sedang minum bersama empat rakan, apabila dihampiri dua lelaki menaiki sebuah motosikal yang kemudian melepaskan tembakan dan mengenai bahu kiri, dada kiri dan belakang mangsa, katanya kepada pemberita, di sini.

Menurutnya kedua-dua suspek memakai topi keledar bertutup separa dan menutup sebahagian muka mereka dengan kain.

"Polis telah menubuhkan pasukan khas bagi menjejaki penjenayah terbabit dan motif pembunuhan masih dalam siasatan," katanya menambah mangsa bekerja di sebuah syarikat pembalakan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan./Bernama

Warga Pakistan didakwa sebabkan kematian pelajar perempuan

Amir Ali Khan Nawaty
Amir Ali Khan Nawaty, 40, (tengah) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan menyebabkan kematian seorang pelajar perempuan di Kota Marudu - Foto Bernama
KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Pakistan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan menyebabkan kematian seorang pelajar perempuan di Kota Marudu pada bulan lepas.

Amir Ali khan Nawaty, 40, didakwa menyebabkan kematian Norikoh Saliwa, 16, di dalam sebuah lori di Km2.8, Jalan Kota Marudu-Langkon pada 25 November lepas antara 11 pagi dan 12.30 tengah hari.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Duncan Sikodol kemudiannya menolak permohonan tertuduh untuk dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu sebutan semula kes itu yang ditetapkan pada 14 Januari depan.

Sebelum itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dibebaskan dengan ikan jamin atas alasan beliau berkahwin dengan seorang wanita tempatan dan mempunyai dua orang anak.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin membantah permohonan tersebut berdasarkan beberapa faktor termasuk kes itu serius yang membabitkan kepentingan umum, keselamatan tertuduh dan kebarangkalian melarikan diri kerana tertuduh bukan warganegara Malaysia.

Beliau turut memohon perintah mahkamah supaya pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Kes kematian Norikoh, berasal dari Kampung Bombong 1, Kota Marudu, yang ditemui mati terbaring di tepi jalan Kota Marudu-Langkon pada 25 Nov lepas itu telah menggemparkan banyak pihak termasuk pemimpin negeri dan pemimpin parti politik tempatan sehingga menimbulkan pelbagai kontroversi./Bernama

Warga Bangladesh didakwa liwat kanak-kanan lelaki

Seorang jurukimpal warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas tuduhan meliwat seorang kanak-kanak lelaki berumur sembilan tahun pada Oktober lepas.

Md. Rezaul dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Blok B, Lorong Merak 57, Taman Merak Jaya, Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan (SPS), pada 12 tengah hari, Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana tertuduh tidak memahami bahasa Malaysia dan tidak mempunyai jurubahasa.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi menetapkan 23 Jan depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fauziah Md. Daud./ Bernama

Mayat gadis dibungkus plastik hitam ditemui di dalam kereta

KULAIJAYA: Mayat seorang wanita yang dibungkus dengan plastik hitam yang kemudian cuba dibakar ditemui di dalam sebuah kereta di Kampung Desa Idaman, Bukit Batu, Sedenak di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Dr. Hashim Haron berkata, semasa ditemui pada pukul 7.30 pagi, mangsa yang dikenali sebagai Nor Roziah Zakaria, 25, dipercayai sudah mati dibunuh lebih 14 jam sebelum itu.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati mangsa yang berasal dari Peringgit, Melaka mati akibat dijerut di leher sebelum cuba dibakar di dalam kereta Perodua Viva di kawasan dusun buah-buahan itu.

“Terdapat kesan bakar di tempat duduk depan dan belakang kereta itu. Kita mengesyaki pembunuh cuba memadamkan bukti pembunuhan dengan membakar kereta tersebut namun gagal,” kata beliau./kosmo

Rabu, 19 Disember 2012

Pelajar perempuan dirogol, dicampak dari bas

NEW DELHI: Kejadian seorang pelajar perempuan berusia 23 tahun dirogol, dipercayai oleh empat lelaki, dalam sebuah bas di sini Ahad lalu mencetuskan kemarahan di seluruh India.

Kejadian itu turut membangkitkan kemarahan di kalangan ahli Parlimen hari ini, yang mendesak agar undang-undang sedia ada dipinda untuk mengenakan hukuman mati.

Polis telah menahan empat orang termasuk pemandu bas. Dua lagi masih dicari.

"Apa yang kerajaan lakukan untuk menangani kes-kes rogol di ibu negara?" kata Sushma Swaraj dari parti pembangkang, Bharatiya Janata.

"Perogol hari digantung, kita perlukan undang-undang yang ketat untuk menghentikan kejadian rogol," kata beliau lagi.

Pada hari kejadian, pelajar perempuan itu dan rakan lelakinya yang sedang dalam perjalanan itu dipukul, dilucutkan pakaian dan dicampak keluar dari bas.

Menurut polis, pasangan itu diserang oleh sekurang-kurangnya empat lelaki.

Ketua Polis Delhi, Neeraj Kumar memberitahu pemberita hari ini bahawa pelajar itu dan rakannya menaiki bas di kawasan Munirka, yang terletak di selatan Delhi.

"Kawan lelaki pelajar perempuan telah melawan lelaki-lelaki yang menyerang mereka untuk menyelamatkan pelajar perempuan itu, tetapi dipukul dengan teruk.

"Pelajar perempuan untuk juga menyelamatkan kawannya, tetapi turut dipukul dan dirogol di bahagian belakang bas.

"Kemudian, kedua-dua mereka dicampak dari bas," kata Neeraj.

Pasangan itu dimasukkan ke hospital dan wanita itu dipercayai berada dalam keadaan kritikal.

Polis sudah menahan pemandu bas dan beberapa yang lain bagi membantu siasatan.

Angka kejadian rogol di New Delhi lebih tinggi berbanding di bandar lain. Sebanyak 572 kes dilaporkan di New Delhi tahun lalu.

The Times of India mendakwa insiden yang berlaku itu menyebabkan mereka melabelkan New Delhi sebagai kawasan rogol India.

Ketua Menteri Delhi bagaimanapun memberitahu pemberita, kes terbaru ini sesuatu yang paling luar biasa.

“Kami ingin memastikan bahawa pesalah tidak akan dibenarkan untuk diikat jamin walau apa keadaan sekalipun. Pesalah akan dihukum dengan hukuman yang setimpal dengan kesalahan mereka," katanya.

Kata Ketua Menteri, pihaknya akan menimbang semula keperluan untuk menubuhkan mahkamah ‘fast track’ bagi emmastikan keadilan yang pantas dapat diberikan kepada mangsa./sinarharian

Selasa, 18 Disember 2012

Mati terkulai dalam kereta

 
ANGGOTA polis menyiasat mayat Suntarambhal yang ditemui mati dikelar di dalam kereta miliknya di Desa Mentari, Petaling Jaya semalam.
PETALING JAYA: Tanda-tanya seorang suami mengenai isterinya yang gagal dihubungi terjawab apabila wanita itu ditemui mati dibunuh di dalam kereta jenis Honda City miliknya di tepi jalan berdekatan kawasan perumahan Desa Mentari di sini semalam.

Mayat S. Suntarambhal, 33, ditemui dengan lehernya dikelar pada pukul 1.15 pagi oleh orang awam.

Mengimbau semula kejadian itu, suami mangsa yang ingin dikenali sebagai Durairaju, 36, berkata, sebelum kejadian, isterinya ada memberitahu ingin keluar ke kawasan berdekatan rumah kira-kira pukul 10 malam atas urusan perniagaan. Rumah mereka terletak di Taman Damai Perdana, Cheras.

Katanya, tidak lama kemudian, dia hairan apabila gagal menghubungi telefon bimbit isterinya sebelum membuat laporan di Balai Polis Damai Perdana pada pukul 4 pagi.

"Saya kemudian diarahkan pergi ke Balai Polis Sungai Way dan sebaik tiba saya terkejut apabila dimaklumkan isteri saya telah dibunuh," ceritanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur./kosmo

Sabtu, 15 Disember 2012

Anak enggan bayar denda kes khalwat ibu

Anak enggan bayar denda kes khalwat ibu
Tertuduh lelaki dan pasangan wanita diiringi pegawai penguat kuasa syariah untuk dihantar ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan atas dakwaan berkhalwat
DUNGUN: Gara-gara tidak mahu bersubahat dengan ibunya, seorang anak gadis enggan membayar denda mahkamah yang dikenakan ke atas ibunya, setelah wanita berstatus ibu tunggal itu didapati bersalah berkhalwat di sebuah rumah di Paka, awal Januari lalu.

Tertuduh, Nor Rasidah Abd Rashid, 40, tidak dapat menahan sebak apabila mengetahui dia bakal dipenjarakan setelah gagal menjelaskan denda mahkamah berjumlah RM1,800.

Namun selepas beberapa jam menunggu di pekarangan mahkamah, wanita yang disabitkan atas kesalahan mengikut Seksyen 31(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya, akhirnya berjaya dibebaskan setelah seorang rakannya tampil menjelaskan denda.

Nor Rasidah bersama pasangannya, Wan Mohd Rizal Wan Ariff, 22, ditahan Pegawai Penguat kuasa Syariah Kemaman di sebuah rumah di Kampung Darat Kolam, sehari sebelum perbicaraan tersebut, setelah menghadapi waran tangkap kerana gagal tampil di mahkamah untuk menghadapi tuduhan khalwat yang dikenakan ke atas mereka sebelumnya.

Tertuduh perempuan itu dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Dungun pagi kelmarin bersama Wan Mohd Rizal dan didapati bersalah serta didenda RM1,800 atau dua bulan penjara jika gagal menjelaskan denda.

Wan Mohd Rizal yang menghadapi tuduhan sama bagaimanapun gagal menjelaskan denda menyebabkan dia yang berasal dari Kampung Gelugor, Kerteh, Kemaman itu dihantar ke penjara Marang, untuk menjalani hukuman penjara selama dua bulan./sinarharian

Jumaat, 14 Disember 2012

Dituduh rogol sampai mati

BENTONG: Tanpa sebarang reaksi di wajahnya, Rabidin Satir, 42, yang digari bersama dua anggota polis di kiri kanannya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan membunuh dan merogol sehingga membawa kepada kematian seorang gadis berusia 17 tahun di Kampung Ketari, di sini, pada 2009.

Dia yang berasal dari Tambunan, Sabah juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Raub atas empat pertuduhan rogol terhadap dua kanak-kanak, dua remaja dan melakukan seks luar tabii terhadap salah seorang mangsa antara tahun 2009 dan 2011.
Bagi pertuduhan membunuh dan merogol remaja berusia 17 tahun itu, tiada pengakuan diambil. Rabidin juga digelar Rambo Bentong.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 17 Januari ini sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Rabidin didakwa membunuh mangsa di sebuah rumah di Kampung Ketari di sini antara jam 11.30 malam (7 Mac 2009) dan 1.50 tengah hari pada 8 Mac 2009./hmetro

Remaja perempuan mengaku tidak bersalah sebabkan kematian bayi

KANGAR: Seorang remaja perempuan hari ini dihadapkan ke mahkamah majistret Kangar atas tuduhan menyebabkan kematian bayi yang baru dilahirkannya pada 24 Okt lalu.

Bagaimanapun remaja berusia 17 tahun itu mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu antara jam 12.30 tengah hari dan 5.30 petang di dalam tandas di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Padang Benta dekat sini.
Remaja itu dituduh mengikut Seksyen 309A Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan itu dan boleh dihukum mengikut Seksyen 309B Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Remaja yang berbaju kurung berwarna merah putih dan bertudung merah yang diwakili peguam Pyara Singh itu memohon dibicarakan dan timbalan pendakwa raya, Noor Syazwani Mohamad Sobry memohon mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun majistret Zuhair Rosli memerintahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin sama ada ibu atau bapanya dan menetapkan 6 Feb 2013 sebagai sebutan pengurusan kes.

Remaja itu kemudiannya dibawa ke sebuah pusat tahanan di Kedah sementara menunggu jaminan itu./Bernama