Selasa, 3 Januari 2012

Tiket bas habis alasan khalwat

ditangkap khalwat
AMPANG: Tindakan seorang penuntut institut pengajian tinggi (IPT) menyewa sebuah bilik hotel murah untuk memadu asmara dengan teman lelakinya membawa padah apabila bilik penginapan mereka diserbu anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah, awal pagi semalam.

Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Osman berkata, gadis dari Kulai, Johor itu menyewa bilik hotel berkenaan untuk bertemu teman lelakinya.

“Gadis berkenaan memberi alasan kehabisan tiket bas ekspres untuk pulang ke IPT di Pahang, lalu menyewa bilik hotel itu,” katanya.

Ahmad Nawi berkata, pihaknya mendapati gadis berusia 21 tahun itu hanya membalut tubuhnya dengan tuala, manakala pasangannya yang berusia 33 tahun itu memakai seluar pendek tanpa baju.

“Gadis itu mengenali pasangannya enam bulan lalu melalui laman sosial. Lelaki berkenaan bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta,” katanya.

Beliau berkata, turut ditahan kerana berkhalwat adalah sepasang kekasih warga Indonesia. Wanita yang berusia 37 tahun itu bekerja sebagai pembantu rumah, manakala pasangan­nya berusia 33 tahun, seorang kontraktor.

“Wanita berkenaan telah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia sembilan tahun yang tinggal bersama suaminya di Indonesia, manakala pasangannya itu masih bujang,” katanya.

Operasi dijalankan mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995. Jika sabit kesalahan, boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-dua sekali,” katanya./sinarharian

Penjara sebulan curi seluar dalam

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori dihukum penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah mengaku bersalah kerana mencuri dua kotak seluar dalam di sebuah kompleks membeli-belah dan gagal menunjukkan kad pengenalannya, dua hari lepas.

Majistret Mohd Azali Ibrahim memerintahkan M. Tharmalingan, 29, menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap pada Ahad lepas.

Tharmalingan mencuri dua kotak seluar dalam jenama Alain Delon bernilai RM30 di UO Shopping Complex, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini pada pukul 2.47 petang, 1 Jan lepas mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Dia juga dituduh kerana kegagalan menunjukkan kad pengenalannya ketika diminta berbuat demikian oleh polis pada pukul 3 petang di tempat dan tarikh yang sama.

Ketika membuat rayuan, peguam Farkhana Omar, yang mewakili Tharmalingan berkata kliennya itu memperoleh pendapatan RM2,000 sebulan.

Timbalan Pendakwa raya Loh Wei Dhin mengendalikan pendakwaan./Bernama

Mati ditembak masa tengah makan

POLIS mengawasi sebuah restoran yang menjadi tempat penjenayah menembak mati seorang pekerja kedai keranda di Johor Bahru.
JOHOR BAHRU: Belum pun selesai kes pembunuhan seorang Pegawai Perhubungan Awam (PRO) yang ditemui mati diparang ketika sedang minum teh tarik di sebuah restoran di Taman Puteri Wangsa di sini pada 25 Disember lalu, satu lagi kes serupa menimpa seorang pekerja kedai keranda semalam.

Cuma bezanya, kejadian pukul 7.13 pagi itu menyebabkan Ong Chin Loo, 48, mati di tempat kejadian dipercayai ditembak sebanyak enam das di badan oleh seorang lelaki memakai topi keledar ketika mangsa sedang bersarapan di sebuah restoran di Jalan Nakhoda, Taman Ungku Tun Aminah, Skudai di sini.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim berkata, siasatan di tempat kejadian menemui enam kelongsong peluru.

"Kita akan meneliti rakaman kamera litar tertutup di premis berkenaan selain mendapatkan maklumat daripada dua lelaki yang ditahan selepas kejadian itu untuk membantu siasatan," katanya yang menyiasat kes bunuh itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, seorang saksi memberitahu, kejadian itu berlaku begitu pantas.

"Pelanggan juga panik dan tidak mampu berbuat apa-apa," ceritanya yang memberitahu polis tiba di tempat kejadian tidak lama selepas kejadian berlaku./kosmo

Amah kerabat mati tergantung

 
CHHOUY ditemui mati tergantung di jeriji tingkap (gambar kecil) yang terletak di belakang Balai Polis Desa Jaya.
KUALA LUMPUR: Dua anggota polis di Balai Polis Desa Jaya, Kepong kelmarin tergamam apabila menemui mayat seorang amah warga Kemboja yang bekerja dengan sebuah keluarga kerabat diraja sebuah negeri di utara tanah air tergantung di jeriji tingkap tandas balai polis itu.

Mayat wanita yang dikenali sebagai Chhouy Ren, 33, itu ditemui pada pukul 6.40 petang dalam tandas tersebut dengan lehernya terjerut pada sehelai seluar yang diikat pada jeriji tersebut.

Difahamkan, dia datang ke negara ini sejak lima bulan lalu dan baru bekerja dengan majikannya yang merupakan seorang Datin berusia 45 tahun minggu lepas.

Dua hari sebelum kejadian, pembantu rumah berkenaan telah ditahan oleh pengawal keselamatan di kawasan perumahan majikannya di Valencia, Desa Jaya dekat sini pada pukul 4 petang selepas dia dikatakan telah melarikan diri sejauh dua kilometer kerana memberontak untuk berhenti kerja.

Dia melarikan diri selepas hasrat dia untuk berhenti kerja pada hari berkenaan memerlukan dia menunggu tempoh beberapa hari berikutan ejennya gagal dihubungi manakala pejabat agensi itu pula tutup sempena cuti umum.

Pihak kedutaan Kemboja pula memaklumkan pihaknya memerlukan satu hingga dua minggu untuk urusan antara amah berkenaan dengan ejen itu.

Tanpa diduga, mangsa kemudian menjerit lalu terus berlari keluar rumah sebelum dia ditahan oleh pengawal kawasan perumahan dan ditempatkan di sebuah bilik.

Keesokan harinya, pengawal berkenaan membawa mangsa ke balai polis kerana bimbang dia akan mencederakan sesiapa ekoran kemurungan yang dialaminya. Mangsa kemudian meminta tumpang sementara di balai polis itu kerana tiada tempat tinggal./kosmo

Disergah dua penyamun

Polis-mencari-bukti-bagi-menjalankan-siasatan
KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah terkejut apabila disergah dua penjenayah yang masuk rumahnya di Desa Melawati, lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, mangsa, Wan Zuriani Wan Abd Hamid, 46, baru sampai ke rumahnya dan sejurus keluar dari kereta, dia didatangi dua penjenayah.

Ketika kejadian, dua anak lelaki mangsa yang berusia 15 dan 17 tahun sedang bermain bola dan cuba menyelamatkan ibu mereka menyebabkan berlakunya pergelutan.

Menurut mangsa, ketika pergelutan, penjenayah melepaskan dua das tembakan ke arah lantai dan pagar rumah.


“Salah seorang penjenayah ada mengacukan pistol ke arah saya, tetapi tembakan tersebut tidak berjaya dilepaskan.

“Dalam keadaan kelam-kabut itu, mereka berjaya mengambil beg tangan dan memukul anak saya dengan topi keledar sebelum melarikan diri,” katanya.

Beg tangan mangsa ditemui kemudian kira-kira tiga kilometer dari rumahnya dan dicampakkan di tepi jalan tetapi sejumlah wang tunai lesap.

Katanya, anaknya hanya mengalami pendarahan di belakang kepala dan semua ahli keluarganya selamat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintendan Othman Abu Bakar ketika ditemui di lokasi mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, setakat ini kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 375/397 kerana samun bersenjata./sinarharian

Guru berkhalwat bawa anak (Gambar)

Guru berkhalwat bawa anak
AMPANG: Taktik seorang guru menggunakan dua anaknya berusia tujuh dan empat tahun ketika berasmara dengan seorang lelaki bagi mengaburi pihak berkuasa tidak menjadi, apabila dicekup awal pagi semalam.

Pasangan itu ditahan Penguat Kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat dan Pegawai Masjid Al-Azim dalam operasi cegah maksiat di hotel murah di Ampang, Taman Seraya dan Pandan Indah, kira-kira jam 2.30 pagi, selepas mendapat maklumat pasangan bukan muhrim menjadikan hotel murah untuk memadu asmara.

Ketika penguat kuasa menyerbu bilik hotel berkenaan, wanita berusia 28 tahun, yang mengajar di Perak bersama pasangannya berusia 29 tahun itu bertegas mereka suami isteri, tetapi gagal menunjukkan sijil nikah.

Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Osman berkata, wanita berkenaan dipercayai membawa anaknya bagi melindungi tindakan jijik bersama pasangannya.

“Orang ramai akan menyangka pasangan itu suami isteri apabila ada anak bersama dalam bilik hotel berkenaan, tetapi kami membongkar rahsia pasangan itu setelah disoal siasat secara berasingan,” katanya.

Beliau berkata, wanita itu berkhidmat sebagai guru sandaran di sebuah sekolah, manakala pasangannya seorang kontraktor.

“Lelaki berkenaan memakai singlet dan berseluar panjang, manakala pasangannya berpakaian lengkap dan berkain batik,” katanya.

Di hotel berasingan, sekumpulan pemuzik lelaki perempuan bukan muhrim dari Singapura dicekup tidur sebilik.

“Difahamkan mereka pertama kali datang ke Kuala Lumpur untuk membuat persembahan,” katanya.

Beliau berkata, turut ditahan, seorang lelaki warga Pakistan bersama pasangannya warga Indonesia.

Wanita yang berusia 26 tahun itu bekerja sebagai pembantu pelayan restoran, manakala pasangannya berusia 31 tahun itu seorang kontraktor.

Operasi yang bermula jam 10 malam dan berakhir jam 6 pagi itu mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Pegawai Masjid Nurrusaadah di Kampung Cheras Baru, Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan dan Masjid Masjid Ubudiah Kampung Tasek Tambahan.

Operasi dijalankan mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995. Jika sabit kesalahan, boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-dua sekali./sinarharian

Umpan permainan sebelum beraksi songsang

Umpan permainan sebelum beraksi songsang
PUCHONG: Mengumpan mangsanya dengan permainan video, seorang lelaki berusia lingkungan 40-an dipercayai menjadikan kanak-kanak lelaki yang berkunjung ke rumahnya sebagai mangsa melampiaskan nafsunya.

Difahamkan, lelaki terba­bit cenderung melakukan perbuatan terkutuk kepada kanak-kanak lelaki berhampiran pangsapuri didiaminya di Puchong Permai di sini.

Aktiviti songsang lelaki yang dipercayai tinggal berseorangan di rumahnya itu terbongkar apabila seorang mangsanya menceritakan perkara itu kepada ibu bapanya.

Sinar Harian difahamkan, sehingga kini lima mangsa membuat pengakuan dicabul lelaki terbabit sejak setahun lalu namun jumlah yang menjadi mangsa masih belum dapat dipastikan.

Kes terbaru dilaporkan berlaku pada petang 28 Disember lalu di rumah lelaki terbabit dengan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun menjadi mangsa perbuatan jijik terbabit.

Mangsa pertama berusia 11 tahun berkata, dia bukan sahaja diraba di seluruh tubuhnya, malah susspek melakukan perkara yang lebih lucah.

“Saya ke rumah lelaki yang kami panggil ‘uncle’ untuk bertanyakan mengenai papan kekunci komputer yang dia janji untuk beri kepada saya.

“Selepas mengambil barang dan mahu keluar dari pintu rumahnya, ‘uncle’ memanggil nama saya dan mengajak saya duduk. Ketika itu saya diraba dari atas ke bawah dan dia langsung tidak mempedulikan tolakan saya,” katanya.

“Dia turut berpesan supaya apa yang berlaku tidak diceritakan kepada orang lain,” katanya yang menyimpan cerita itu sejak setahun lalu sebelum menceritakan apa yang terjadi kepada ibu bapanya selepas mengetahui ada rakannya yang lain turut diperlakukan sedemikian.

Seorang lagi mangsa, berusia 12 tahun berkata, dia kini trauma apabila turut menjadi mangsa lelaki songsang yang tinggal bersebelahan blok pangsapuri rumah dihuni.

“Saya mengenali ‘uncle’ itu melalui kawan yang mendakwa di rumahnya ada permainan video yang menarik. Masa itu saya ke rumahnya untuk meminjam raket.

Disebabkan takut, dia menceritakan perbuatan tidak senonoh ‘uncle’ itu kepada ibunya.

Bapa mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Bukit Puchong.

Sementara itu, Skuad Pemantau Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia, Zamal Hassan berkata, pihaknya menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan kejadian yang berlaku di pangsapuri itu.

“Apa yang saya tahu lelaki terbabit sudah menghilangkan diri sejak cerita itu terbongkar di pangsapuri ini.

“Kita minta pihak terbabit jalankan siasatan,” katanya./sinarharian

Seorang lagi kanak-kanak dikurung diselamatkan

GEORGE TOWN: Tangisan kanak-kanak perempuan yang berlarutan lebih 10 jam di sebuah rumah pangsa di Jalan Perak di sini awal hari ini mengejutkan seorang jiran yang pergi ke rumah itu apabila mendapati kanak-kanak itu dikurung dalam rumah berkenaan.

Jiran berkenaan yang enggan dikenali berkata beliau mendengar kanak-kanak itu menangis dan sesekali meminta tolong sejak pukul 3 petang semalam hingga 1 pagi ini.

"Saya menghubungi polis awal pagi ini selepas mendapati kanak-kanak perempuan berkenaan masih menangis," katanya ketika di temui di sini. Jurucakap polis berkata sepasukan anggota polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan berkenaan.

Katanya polis mengambil masa lebih setengah jam untuk masuk ke rumah berkenaan kerana ia berkunci.

"Selepas mendapat bantuan daripada jiran di flet berkenaan, polis berjaya menyelamatkan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang dalam keadaan takut dan trauma itu kerana ditinggal seorang diri," katanya.

Jurucakap polis itu berkata ada beberapa jiran menyedari bapa kanak-kanak itu pulang ke kawasan perumahan berkenaan tetapi lelaki terbabit melarikan diri selepas ternampak polis di rumahnya.

Katanya hasil maklumat jiran, polis cuba menghubungi anggota keluarga kanak-kanak malang itu tetapi gagal.

"Kanak-kanak itu di bawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini untuk pemeriksaan dan mendapati terdapat kesan luka di tangan, badan dan kakinya," katanya.

Katanya polis tidak menolak kemungkinan kanak-kanak malang itu didera dan siasatan lanjut akan dijalankan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan. Katanya polis juga sedang mengesan bapa kanak-kanak itu yang berumur lingkungan 30-an bagi membantu siasatan.

Pada 29 Dis lepas, polis menahan seorang lelaki kerana disyaki mendera dua anaknya dengan mengikat kaki mereka dan mengurung kedua-duanya dalam bilik air di rumah mereka di Jalan Raja Uda, Butterworth./Bernama

Isnin, 2 Januari 2012

Pasangan khalwat bawa anak (Gambar)

Pasangan-disoal-siasat-oleh-pegawai-Maij-yang-menjalankan-operasi-cegah-maksiat-ambang-tahun-baru
KLUANG: Seorang ibu yang membawa anaknya berusia setahun dicekup berkhalwat bersama pasangannya dalam satu Operasi Cegah Maksiat Ambang Tahun Baru di sebuah bilik hotel bajet di sini, lewat pagi semalam.

Malah, pasangannya yang berstatus duda yang turut membawa anaknya berusia lima tahun di dalam bilik berkenaan.

Pada awal siasatan, pasangan itu mengaku sebagai pasangan suami isteri, tetapi helah itu tidak menjadi selepas mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen perkahwinan yang sah.

Pegawai Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Daerah Kluang, Anuar Kosnin berkata, pasangan terbabit mengambil masa hampir 20 minit untuk membuka pintu.

“Sebaik pintu dibuka, duda berusia 29 tahun itu dilihat hanya memakai seluar pendek dan kemeja yang tidak berbutang, sementara ibu muda berusia 24 tahun itu memakai seluar ketat serta kemeja T di samping anak masing-masing yang tidur di atas katil.

“Mereka memberi alasan keletihan dan hanya singgah berehat di hotel berkenaan sebelum meneruskan perjalanan ke Batu Pahat dai Pahang.

“Bagaimanapun, mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat selepas mengaku tidak mempunyai ikatan sah suami isteri serta akan berkahwin tidak lama lagi,” katanya kepada Sinar Harian, awal pagi semalam.

Dalam operasi yang dijalankan bersama anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Cawangan Penyiasatan Khas Kem Mahkota, tiga pasangan lain termasuk dua pasangan warganegara Indonesia turut ditahan.

Kesemua pasangan berkenaan akan didakwa mengikut Seksyen 27 (1)(a) & (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997, yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Pegawai Tadbir Agama Daerah Kluang, Mohd Khalil Mohd Noor menasihatkan penduduk beragama Islam di daerah ini sentiasa menjaga maruah diri dan tidak hanya mengikut nafsu.

“Kita melakukan operasi sepanjang masa dan orang ramai boleh hubungi talian bebas tol 1800-88-3072 yang dibuka 24 jam bagi melaporkan kejadian maksiat di seluruh negeri ini," katanya./sinarharian

Ahad, 1 Januari 2012

Tidak sedar adik berkhalwat

BANDARAYA MELAKA: Seorang abang tidak sedar adiknya membawa seorang wanita asing masuk ke dalam bilik rumah disewa mereka bersama sehingga kediaman mereka diserbu Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi di sebuah taman perumahan di sini, rumah berkenaan disewakan lelaki tempatan berusia 22 tahun bersama dua adik beradiknya yang lain.

Sepasukan anggota penguat kuasa Jaim bertindak menyerbu rumah berkenaan selepas mendapat maklumat orang ramai berkaitan seorang wanita dikesan masuk dalam rumah berkenaan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, sebaik saja anggotanya melakukan serbuan, pihaknya menemui seorang wanita warga Indonesia berdua-duaan bersama seorang lelaki di dalam bilik rumah berkenaan.

“Ketika pemeriksaan, wanita berusia 25 tahun itu didapati sedang berada di dalam bilik air dalam keadaan bogel dan mendakwa baru pertama kali datang ke rumah lelaki itu yang dikenalinya sejak tiga bulan lalu,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Rahimin berkata, ketika serbuan juga, abang kepada suspek yang berada dalam rumah itu tidak menyedari adiknya membawa seorang perempuan ke dalam bilik.

“Pasangan terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekedudukan.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan denda sebanyak RM3,000 atau penjara selama 24 bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Rahimin berkata, Jaim kesal dengan kejadian itu dan menasihati umat Islam di negeri ini supaya tidak mengambil kesempatan terhadap warga asing yang bekerja di negara ini./sinarharian