Jumaat, 17 Februari 2012

Mayat bayi dalam tandas

BUKIT MERTAJAM: Seorang tukang cuci yang hendak memulakan tugas hariannya di wad kanak-kanak Hospital Bukit Mertajam (HBM), semalam terkejut menemui satu mayat bayi dalam keadaan masih bertali pusat.

Wanita yang enggan dikenali itu berkata, dia pada mulanya terlihat kesan darah pada lantai bilik mandi, namun tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah dia terlihat sekujur tubuh bayi dalam kolah air.

Menurutnya, dia terkejut dengan penemuan itu lalu memaklumkannya kepada jururawat hospital.

“Kejadian berlaku sekitar jam 12.30 tengah hari ketika saya hendak mencuci tandas berkenaan.

“Ketika masuk, saya terlihat kesan darah di atas lantai. Saya sangka ia darah biasa tetapi, ketika meninjau di sekitar tandas itu terkejut terlihat bayi dalam kolah. Dalam kolah itu hanya ada sedikit air sahaja,” katanya.

Difahamkan, pihak hospital cuba menyelamatkan bayi berkenaan, namunmalangnya bayi itu sudah pun meninggal dunia ketika ditemui.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Superintendan Baharudin Mustapha ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian.

Beliau berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai penemuan bayi perempuan itu pada jam 12.30 tengah hari.

“Berdasarkan siasatan awal, ada saksi terlihat seorang wanita keluar dari tandas wad berkenaan dalam keadaan pucat dan letih kira-kira jam 7.30 pagi.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih sedang dijalankan bagi mengesan ibu kepada bayi malang itu,” katanya.

Baharudin berkata, mayat bayi itu dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan