Isnin, 27 Disember 2010

Penganggur Hadapi Lima Tuduhan Merogol

SHAH ALAM: Seorang penganggur yang ditangkap oleh ibu bapa teman wanitanya semasa sedang tidur berpelukan di bilik tidur remaja perempuan terbabit dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.

Mohd Zainu Man, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan merogol remaja yang berusia 15 tahun tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Tertuduh yang berasal dari Dabong, Kelantan didakwa merogol mangsa pada pukul 2 pagi, akhir Ogos lalu dan didakwa mengulangi perbuatan tersebut pada pukul 2.30 pagi, awal September lalu.

Selain itu, dia juga didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 2 pagi, hujung September lalu, 2 pagi, awal Oktober lalu manakala pertuduhan terakhir menyatakan tertuduh melakukan kesalahan itu pada 2 pagi, November lalu.

Semua pertuduhan terhadap tertuduh dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Che Rohana Ismail mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Che Rohana tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh, bagaimanapun Wan Mohd Norisham membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin untuk setiap satu pertuduhan.

Beliau juga menetapkan syarat tambahan untuk tertuduh melaporkan diri ke balai polis yang berhampiran setiap Sabtu pertama setiap bulan.

Kes akan disebut semula pada 24 Januari depan untuk tertuduh melantik peguam.

Pada 25 Disember lalu, sebuah akhbar tabloid melaporkan seorang ibu yang tergerak hati untuk melihat keadaan dua anak gadisnya semasa terjaga dari tidur pada pukul 3.30 pagi, menemui dua remaja terbabit sedang tidur berpelukan dengan pasagan masing-masing.

Dilaporkan, ibu bapa remaja yang berusia 13 dan 15 tahun itu tidak menyangka anak gadis mereka boleh melakukan perbuatan sedemikian memandangkan kedua-dua mereka masih di bangku sekolah.

Wanita yang tergamam itu bertindak mengejutkan suaminya dan remaja lelaki yang berusia 20 dan 17 tahun itu merayu memohon maaf, bagaimanapun ayah remaja terbabit yang dikatakan kecewa dengan perbuatan tersebut nekad membuat laporan polis.

Difahamkan, remaja lelaki berusia 17 tahun akan didakwa di Mahkamah Majistret Juvana./mstar

Bayi lelaki baru lahir ditemui atas tangki air perumahan

TUARAN, 27 Dis: Seorang bayi lelaki yang dibungkus dengan kain ditemui di atas sebuah tangki air di Blok 15, Perumahan Sri Rugading di sini awal pagi ini.

Bayi seberat 1.9 kilogram itu ditemui oleh orang awam kira-kira pukul 4 pagi dalam keadaan berdarah.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Suhaimi Wiro berkata, bayi yang masih bertali pusat itu kini selamat dan dirawat di Hospital Tuaran./utusan

Perompak ugut cedera kanak-kanak perempuan

KUALA TERENGGANU, 26 Dis: Seorang perompak sempat mengugut untuk mencederakan seorang budak perempuan sebelum melarikan wang tunai dan barangan berharga bernilai RM5,000 dalam kejadian samun di Kampung Binjai Manis, Manir dekat sini, awal pagi ini.

Salah seorang daripada penjenayah bertopeng itu yang memecah masuk rumah dan meletakkan pisau di leher budak berusia 4 tahun agar ibunya, Nor Azlina Jaafar, 43, membiarkan mereka menggeledah rumah itu.

Menurut Nor Azlina, kejadian berlaku kira-kira pukul 3 pagi setelah dia terjaga dari tidur dan mendengar bunyi pelik di bahagian belakang rumahnya namun dia tidak mengesyaki apa-apa dan menyambung tidur.

"Tidak lama kemudian saya terkejut apabila muncul dua lelaki bertopeng di depan pintu bilik," katanya ketika ditemui di rumahnya, dekat sini hari ini.

Menurutnya, dia kemudian bangun dari tidur dan segera memeluk anaknya sebelum salah seorang penyamun memegangnya dari belakang dan mengacu pisau pada belakang leher anaknya.

Jelasnya, pada masa yang sama, seorang lagi penjenayah menggeledah seluruh bahagian rumah dan mengambil barang-barang berharga untuk diisi ke dalam sebuah beg mengkuang miliknya.

Menurutnya, kedua-dua penyamun itu kemudian melarikan diri melalui pintu belakang rumah tersebut.

Berikutan kejadian itu, Nor Azlina kerugian kira-kira RM5,000 apabila penjenayah itu melarikan wang tunai RM800, seutas rantai dan sebentuk cincin emas serta sebuah telefon bimbit.

Dia mengesyaki penjenayah itu berasal dari sekitar kawasan tersebut berdasarkan dialek percakapan mereka.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan dan Operasi) negeri, Supritendan Zani Che Din memberitahu, polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan penjenayah berkenaan./utusan

Ahad, 26 Disember 2010

Sembunyi heroin dalam seluar dalam

YAN: Seorang lelaki bertindak menyembunyikan dadah dipercayai jenis heroin dalam seluar dalam bagi mengelak ditahan polis yang melakukan serbuan mengejut di sebuah rumah yang dijadikan tempat aktiviti menjual dan menghisap dadah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu berkata, hasil serbuan itu, dua lelaki berjaya ditahan, salah seorangnya memiliki dadah disyaki jenis heroin.

“Semasa serbuan, polis menjumpai lima peket lut sinar dipercayai heroin yang disembunyikan dalam seluar dalam salah seorang dari lelaki itu.

“Anggaran berat kasar bahan yang disyaki adalah 6.33 gram,” katanya ketika ditemui.

Operasi yang diketuai oleh Inspektor Marafendi Marzuki itu turut menjalankan saringan air kencing kepada dua lelaki terbabit.

“Hasil saringan awal air kencing, ke dua-dua lelaki terbabit disahkan positif morfin,” katanya kepada Sinar Harian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 3(1)Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (pindaan 1998).

Suspek ditahan reman bermula 21 Disember sehingga 26 Disember./sinarharian

Remaja mungkin ke tali gantung edar heroin

JOHOR BAHRU: Seorang remaja berusia 19 tahun mungkin berhadapan hukuman gantung sampai mati atas kesalahan mengedar dadah jenis heroin.

N Partiban yang bekerja sebagai kelindan lori menghadapi dua pertuduhan mengedar dan memiliki dadah jenis itu mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan pertama iaitu mengedar dadah.

Mengikut fakta kes, tertuduh pada Isnin lalu kira-kira jam 4 petang dipercayai mengedar heroin seberat 45.2 gram di No 22, Jalan Suria 77, Bandar Seri Alam Masai, di sini.

Kes dibicarakan di bawah Seksyen 39B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama membawa hukuman mandatori gantung sampai mati.

Bagi pertuduhan kedua pula, pada hari yang sama kira-kira jam 1.30 petang, Partiban didapati memiliki dadah jenis sama seberat 4.7 gram Jalan Bangau, Kampung Sepakat Masai, di sini.

Tertuduh disifatkan sebagai bukan sebagai seorang yang diberi kuasa atau bukan seorang yang telah diberi kuasa di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesalahan itu termaktub di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (1) akta yang sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak lebih RM100,000.

Tertuduh mengaku melakukan kesalahan kedua dan Hakim, Mazana Sinin memutuskan 25 Januari depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu keputusan kimia.

Kes dibacakan Pendakwa raya, Chuah Shyue Chien manakala tertuduh tidak diwakili peguam. /sinarharian

Sabtu, 25 Disember 2010

Melacur untuk beli susu anak

KUALA LUMPUR: "Sejak bercerai dua tahun lalu, saya mula melacur dan duit itu saya gunakan untuk beli susu anak dan belanja rumah."

Bukan itu sahaja, malah Nora 30-an (bukan nama sebenar) memberitahu, dia seronok dengan pekerjaan itu kerana mampu memperoleh pendapatan setaraf dengan gaji eksekutif iaitu kira-kira RM3,000 sebulan.

Ibu kepada dua anak berusia di antara tiga dan lima tahun mendakwa dia terjebak dengan aktiviti persundalan selepas bergaul dengan pelacur asing yang turut menjual diri di kaki lima bangunan Wisma Indah, Jalan Pudu di sini.

Wanita yang mempunyai paras sederhana itu memberitahu, dia tidak perlu bersusah payah bekerja mengikut masa seperti di pejabat atau kilang kerana waktu kerja terserah kepadanya./kosmo

5 penculik budak didakwa


SALAH seorang tertuduh diiring keluar dari Mahkamah Tinggi Melaka atas
tuduhan menculik budak berusia tujuh tahun semalam.

MELAKA: Angkara menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun bagi meminta wang tebusan, lima lelaki berhadapan dengan hukuman mati selepas mereka didakwa di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Lima tertuduh berkenaan ialah Mohd. Shahir Axma Ab. Rahim 27; Mohd. Khairul Faizi Mohd. Yassin, 27; Mohd. Fazali Ab. Kudus, 22; Syamsul Amin Razali, 27; dan Norman Mahat, 20.

Ketika pertuduhan dibacakan, kelima-lima tertuduh menganggukkan kepala tanda faham terhadap kes yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, kelima-lima tertuduh didakwa menculik Ahmad Shamil Azamiraib, 7, pada 31 Mei lalu di sebuah rumah di No. 24 Jalan Nirwana 4, Taman Nirwana Batang Tiga di sini pada pukul 3.30 petang.

Selain menculik mangsa itu, kelima-lima tertuduh kemudian meminta wang tebusan sebanyak RM120,000 daripada bapa mangsa Azamiraib Bakar, 43./kosmo

Warga emas ditendang perompak

JENUN: Seorang warga emas yang menjalankan perniagaan barangan runcit di Pekan Kilang Kecil mengalami lebam di dagu dan mulut serta pecah di bahagian bibir akibat ditendang seorang lelaki yang cuba merompak duit di laci kedainya itu.

Mangsa, The Sok Hiang, 76, berkata, kejadian itu berlaku pada Ahad lalu kira-kira jam 3.30 petang ketika dia sedang menunggu pelanggan di kedainya, namun tidak menyangka pelanggan yang memasuki kedainya itu berniat ingin merompak.

Menurutnya, seorang perompak berkulit gelap lingkungan 30-an memasuki kedainya dengan memakai seluar jean bersama jaket berwarna hitam dan berkasut kulit berpura-pura ingin membeli sebotol cat sembur berwarna putih.

“Lelaki itu memasuki kedai dan meminta sebotol cat sembur menyebabkan saya bangun dari tempat duduk untuk menuju ke rak cat terbabit, namun tidak sempat mengambil cat dari rak itu tiba-tiba saya melihat lelaki itu sedang mengambil duit dari laci kedai.

“Ketika melihat lelaki itu sedang mengambil duit saya menjerit ‘perompak’ menyebabkan dia bertindak menendang bahagian dagu dan mulut saya sehingga saya terjatuh lalu dia menuju keluar dari kedai,” katanya.

Sok Hiang berkata, jeritan itu tidak didengari orang ramai terutamanya kedai-kedai berhampiran kawasan itu memandangkan keadaan kedainya itu berada agak dalam dan ketika kejadian tiada orang lain di dalam kedai terbabit.

“Ketika kejadian semua anak dan menantu keluar ke Alor Setar kerana ada urusan menyebabkan saya berniaga seorang diri, namun saya juga tidak menyangka kejadian itu akan berlaku memandangkan saya berniaga di sini lebih 50 tahun.

“Perompak itu berjaya mengambil duit dari laci itu berjumlah RM100 dan selepas beberapa minit dia keluar saya juga segera keluar dan mendapati dia sudah tiada,” katanya.

Sementara itu, Sok Hiang berkata, selepas kejadian itu, dia dimaklumkan orang ramai bahawa ternampak sebuah kereta berwarna putih sedang menunggu berdekatan kedainya bersama tiga lagi suspek./sinarharian

Bapa maut kena samun

IPOH: Seorang warga emas maut selepas ditikam dua lelaki bersenjatakan pisau yang menyamun kedai runcitnya di Taman Perpaduan di sini, malam semalam.

Mangsa, R Muniandy, 64, mati dalam perjalanan ke Hospital Pantai selepas mengalami kecederaan ditikam lelaki terbabit di rusuk kiri ketika bergelut dengan suspek.

Anak mangsa, M Tharmabalan, 24, berkata, ketika kejadian, ibunya, R Thevy bersama seorang pembantu turut berada dalam kedai itu.

“Saya difahamkan penjenayah itu berdua dan mereka tidak memakai topeng ketika melakukan samun itu.

“Mereka masuk ke bahagian kaunter untuk mendapatkan wang, tetapi bapa saya menghalangnya dan seorang daripada penyamun itu bertindak menikam bapa,” katanya ketika di temui di rumahnya di Kampung Tersusun Batu 6, Tambun di sini, semalam.

Menurut Tharmabalan, ketika kejadian suspek cuma menyerang bapanya, manakala ibu dan pembantu kedai hanya mampu melihat kejadian itu kerana takut.

Beliau berkata, identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti, bagaimanapun beberapa orang yang berada berhampiran kedai dapat melihat suspek melarikan diri.

“Selepas kejadian itu, beberapa orang datang membantu bapa untuk dihantar ke hospital, tetapi dia mati sebelum sempat mendapatkan rawatan.

“Saya sedih dengan apa yang berlaku kerana kejadian itu meragut nyawa bapa saya yang tidak berdosa,” katanya ketika menceritakan kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.10 malam itu.

Sementara itu, adik mangsa, R Siva Sangaram, 44, berkata, kejadian yang berlaku itu sangat dikesali kerana sepanjang abangnya menjalankan perniagaan di situ sejak 23 tahun lalu tiada sebarang kejadian jenayah.

Menurutnya, mangsa seorang yang periang dan sangat disenangi masyarakat setempat.

“Kali terakhir saya bercakap dengannya melalui telefon Ahad lalu untuk mengucapkan selamat hari jadi. Tak sangka perbualan telefon itu adalah yang terakhir saya dengan mendiang,” katanya.

Hadir sama mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Datuk Rusnah Kassim.

Menurut Rusnah, pihaknya simpati dengan apa yang berlaku ke atas keluarga mendiang Muniandy.

“Saya lihat sekarang ini trend jenayah semakin membimbangkan sehingga meragut nyawa. Kita akan minta kerjasama dengan pihak berkuasa untuk memantau kawasan tertentu yang dipercayai berpotensi menjadi sasaran penjenayah,” katanya.

Beliau berkata, selain polis, khidmat anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) diperlukan untuk memastikan kawasan kediaman dan pusat perniagaan selamat.

Menurutnya, berikutan kejadian itu, pihaknya bercadang mengadakan sesi dialog dengan polis bagi bertukar pandangan dengan orang awam untuk mencari kaedah terbaik membanteras jenayah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu./sinarharian

Jumaat, 24 Disember 2010

Bapa terkejut lihat anak tergantung

JEMPOL: Seorang penjaga tanah perkuburan Hindu di Rompin dekat sini terkejut apabila melihat tubuh anak lelakinya dalam keadaan tergantung atas pokok di lokasi berkenaan, kira-kira jam 11 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Sabri Muhamad berkata, sebelum itu, lelaki terbabit ternampak kereta anaknya, S Saravanan, 37, di bawah bukit berhampiran tanah perkuburan berkenaan.

“Kemudian, dia naik ke atas bukit dan melihat Saravanan tergantung atas pokok.

“Dia seterusnya membuat laporan di balai polis berdekatan sebaik sahaja mendapati anaknya tidak lagi bernyawa,” katanya ketika mengesahkan kejadian itu di sini, semalam.

Menurut beliau, siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian berkenaan dan mangsa dipercayai tertekan akibat masalah dihadapinya.

Sementara itu, seorang wanita dipercayai kekasih mangsa berumur sekitar 20-an dilihat gagal mengawal perasaannya semasa tiba di lokasi kejadian.

“Saya menghubungi Saravanan beberapa kali untuk memujuknya pulang ke rumah tetapi dia tidak menjawab panggilan. Dia (Saravanan) kelihatan murung sejak beberapa hari lalu. Saya sangat sedih melihat dia dalam keadaan begini,” katanya.

Menurut wanita itu, tiada sebarang masalah dalam hubungan mereka malah Saravanan pernah berjanji akan mengahwininya./sinarharian