Sabtu, 7 April 2012

Dipenjara akibat bertindak kejam pada kekasih

KUALA TERENGGANU: Walaupun hubungan mereka baru berstatus kekasih, namun seorang pemandu lori sudah berani bertindak kejam dengan menampar dan menolak teman wanitanya itu sehingga cedera di muka dan lengan kanan dalam satu kejadian di sebuah inap desa, di sini, hujung bulan lalu.

Gara-gara sikap panas barannya itu, Mohd Asrul Aswadi Yusof, 29, menerima pembalasan setelah dia dijatuhi hukuman penjara selama lima hari dan denda RM800 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh yang berasal dari Kampung Pengkalan Arang, di sini, turut berdepan hukuman penjara selama sebulan lagi jika dia gagal menjelaskan jumlah denda berkenaan.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa, Shafinaz Ismadi, 21.

Mohd Asrul Aswadi mengaku salah dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa di sebuah inap desa di Taman Semarak, Batu Enam, di sini, kira-kira jam 10 malam pada 30 Mac lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi manakala Mohd Asrul Aswadi pula tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang menginap di inap desa berkenaan bersama mangsa telah bertengkar kira-kira jam 10 malam pada 30 Mac lalu.

Dalam pertengkaran itu, tertuduh bertindak kasar memukul mangsa dengan menampar muka serta menolak mangsa menggunakan kaki sehingga dia terbaring.

Berikutan pertengkaran itu, mangsa bengkak di bahagian muka sebelah kiri dan lebam di lengan kanannya sebelum bertindak membuat laporan di Balai Polis Gong Badak.

Susulan laporan itu, tertuduh ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis di kediamannya kira-kira jam 4 pagi pada 2 April lalu./sinarharian

Nenek dicekup khalwat

DUNGUN, Terengganu: Tindakan seorang janda melewati usia lebih separuh abad yang kerap kali membawa pulang teman lelaki untuk memadu asmara di rumahnya pada waktu tengah malam membawa padah apabila perbuatan sumbang itu berjaya dihidu pasukan rondaan kampung.

Dalam kejadian terbaru awal pagi kelmarin, perbuatan sumbang wanita yang sudah memiliki cucu itu terbongkar setelah dia ditahan sepasukan anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan ahli Helang Recreation Club (HRC) ketika berada berdua-duaan di rumah milik janda tersebut.

Difahamkan ketika serbuan dilakukan bersama pegawai penguat kuasa syariah itu, anak wanita terbabit dikatakan keluar rumah dan kesempatan itu digunakannya untuk membawa pulang teman lelaki yang mempunyai jarak usia yang jauh berbeza dengannya.

Wanita berusia 55 tahun bersama teman lelakinya, 33, berasal dari Ketengah Jaya itu difahamkan pernah ditahan sebelum ini oleh penguat kuasa syariah kerana berkelakuan tidak sopan pada waktu lewat malam di pantai berdekatan.

Mereka akan menghadapi pendakwaan mengikut Seksyen 31 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001, dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali./sinarharian

Khamis, 5 April 2012

Dicekup asmara dalam kereta

Dicekup asmara dalam kereta
KOTA BHARU: “Tolong lepaskan kami encik, hanya kali ini sahaja, tolong lah...kami janji lain kali tidak akan buat lagi perkara ini.”

Itulah rayuan yang hampir menitiskan air mata dua wanita selepas ditahan pegawai penguat kuasa dalam Operasi Cegah Maksiat kira-kira jam 2 pagi semalam di Jalan Sri Cemerlang.

Dalam serbuan di sebuah hotel bajet itu, salah seorang daripada dua wanita juga penuntut kolej kejururawatan, ditahan bersama pasangan disyaki melakukan perbuatan sumbang di dalam kereta yang diletakkan di tepi bangunan berkenaan.

Malangnya keseronokan wanita berasal dari Besut berusia 20-an yang asyik berasmara bersama teman lelakinya itu dapat dihidu pegawai penguat kuasa walaupun ketika itu enjin kereta dimatikan.

Ketika pegawai penguat kuasa membuka pintu kenderaan itu didapati baju lelaki berumur 20-an yang bekerja sebagai kontraktor tersebut terbuka serta berada dalam keadaan berpeluh dengan alasannya kepanasan dan kelihatan menggelabah.

Di tempat sama, tiga remaja lelaki juga kenalan penuntut kolej terbabit turut disoal siasat berikutan penemuan beg tangan wanita di dalam bilik tersebut yang difahamkan ditinggalkan oleh rakannya setelah mengetahui kehadiran pihak berkuasa selepas menerima khidmat pesanan ringkas daripada seseorang.

Wanita terbabit yang kedua-duanya memakai baju ketat dan tidak bertudung dengan rambutnya diwarnakan memberi alasan dia baru sahaja sampai di hotel tersebut kerana pintu pagar asrama sudah ditutup, lagipun pengawal keselamatan enggan membenarkan mereka masuk.

Pasangan yang ditahan di dalam kereta tersebut diarahkan hadir ke Mahkamah Syariah untuk tindakan lanjut dan kedua-dua wanita itu dihantar semula ke asrama mereka selepas operasi tamat.

Sebelum itu, sebuah pusat karaoke di Jalan Padang Tembak yang dipenuhi pengunjung, juga turut diserbu dan dikenakan kompaun serta denda termasuk merampas kelengkapannya bernilai kira-kira RM2,000.

Operasi yang diketuai Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) turut melibatkan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan dan polis disertai kira-kira 26 anggota.

Sementara itu, Ketua Pengarah Penguat kuasa MPKB-BRI, Ramly Che Hussin berkata, operasi pencegahan maksiat akan dijalankan setiap masa supaya perkara yang bertentangan dengan tuntutan agama boleh dicegah./sinarharian

Pijak darah mangsa bunuh


ANGGOTA polis menyiasat kawasan rumah tempat mayat Letchumi ditemui mati dibunuh di Nibong Tebal, Pulau Pinang kelmarin.
NIBONG TEBAL: Hasrat seorang pemandu lori untuk menikmati makan malam yang disediakan oleh isterinya musnah apabila dia mendapati wanita itu mati dibunuh dalam kejadian di Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat di sini kelmarin.

Mayat suri rumah, P. M Letchumi, 54, ditemui oleh suaminya S. Nadharajan, 55, sebaik pulang dari kerja pada pukul 7.45 malam. Dia dijumpai di sebuah bilik dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan luka pada leher dan tapak tangannya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat berkata, ketika tiba di rumahnya, Nadharajan mendapati pintu rumah terbuka dan tiada kesan pecah masuk.

"Kita percaya suspek merupakan orang yang dikenali mangsa. Suspek dikatakan telah menggeledah rumah mangsa kerana terdapat kesan tapak kaki yang terpijak darah di dalam salah sebuah bilik," katanya./sinarharian

Rabu, 4 April 2012

Mayat anak depan kedai ibu

ANGGOTA polis memeriksa kereta dinaiki Mohamad Nazuri yang ditemui mati ditembak di Pekan Rantau Panjang semalam.
PASIR MAS: Seorang pemuda mati manakala rakannya cedera di tangan apabila seorang penunggang motosikal melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta yang mereka naiki di Rantau Panjang dekat sini semalam.

Ketika kejadian pada pukul 11.15 pagi itu, Mohamad Nazuri Mohd. Zain, 24, dari Kampung Kubang Panjang, Lemal di sini menaiki kereta yang dipandu rakannya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang duduk di sebelah penumpang hadapan ditembak penunggang motosikal berkenaan semasa kereta itu melalui Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Rantau Panjang.

"Rakan mangsa kemudian memecut kereta ke Pekan Rantau Panjang dan berhenti di hadapan gerai mi milik ibu mangsa.

"Hasil pemeriksaan mendapati dua tembakan mengenai mangsa, satu di bahagian rahang kiri dan satu di bahagian dada sebelah kiri," kata beliau di sini semalam./kosmo

Selasa, 3 April 2012

Mayat wanita bogel terikat

 mayat wanita bogel
TAIPING: Bau busuk dari sebuah rumah di Kampung Aman yang menimbulkan tanda tanya kepada penduduk akhirnya terbongkar apabila polis menjumpai mayat seorang wanita dalam keadaan bogel dan terikat.

Hasil maklumat jiran, sepasukan polis diketuai Asisten Superintenden Saerah Dollah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping ke rumah berkenaan untuk menjalankan siasatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintenden Mohd Ismon Suratman berkata, polis menemui mayat seorang wanita di ruang tamu rumah No. 27-505, Kampung Aman, Pokok Assam kira-kira jam 5.30 petang kelmarin.

Katanya, ketika ditemui mayat itu dalam keadaan bogel dan kedua-dua kaki diikat dengan wayar manakala mayatnya membengkak dipercayai meninggal dunia tiga atau empat hari yang lalu.

“Pintu rumah bahagian dapur tidak berkunci dan boleh dibuka manakala keadaan rumah berselerak akibat digeledah. Mangsa seorang pesara kerajaan tinggal sendirian dalam rumah berkenaan.

“Bagaimanapun polis masih dalam siasatan bagi memastikan barangan yang hilang, termasuk kemungkinan berlaku samun. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Mohd Ismon berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Bainun Ipoh untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian./sinarharian

Lelaki maut ditembak akibat dendam

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki terbunuh sementara tiga rakannya cedera akibat ditembak di sebuah restoran di Matang Pagar, Desa Jaya, Sungai Buloh semalam yang polis percaya berpunca daripada dendam.

Dalam kejadian 11.15 malam itu, mangsa, S. Parameswaran, 23, keluar menghisap rokok selepas makan di restoran berkenaan bersama tiga rakannya sebelum dihampiri dua lelaki menaiki motosikal yang salah seorang daripadanya melepaskan beberapa das tembakan.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah berkata, Parameswaran yang berasal dari Kuang, mati di tempat kejadian setelah ditembak di bahagian dada serta dua lagi rakannya parah di bahagian dada dan perut manakala seorang lagi cedera di kaki kiri serta tangan kiri.

"Kejadian ini turut dipercayai merupakan permasalahan membabitkan kumpulan samseng yang turut mempunyai kaitan dengan dua mangsa yang cedera parah, yang merupakan bekas tahanan polis,” katanya ketika dihubungi./Bernama

Isnin, 2 April 2012

Pemuda lumpuh dituduh rogol pelajar 15 tahun?

Pemuda lumpuh dituduh rogol pelajar 15 tahun
KUALA TERENGGANU: Seorang pemuda yang lumpuh dari pinggang ke kaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana dituduh merogol seorang pelajar berusia 15 tahun sebanyak tiga kali pada November tahun lepas.

Mohd Sapawi Ismail, 27, yang terpaksa berkerosi roda ketika dihadapkan di hadapan Hakim Zainal Abidin Kamarudin, merupakan bekas tenaga pengajar aktiviti selam skuba sebelum mendapat penyakit lumpuh pada tahun 2010.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Sapawi didakwa merogol pelajar itu di rumahnya di Kampung Beting Lintang di Kampung Raja, Besut, antara 8 malam dan 11 malam 27 Nov lepas.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia dituduh mengulangi perbuatan itu pada 28 dan 29 Nov di sebuah rumah berdekatan rumahnya antara waktu yang sama.

Tiada pengakuan dicatatkan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zul Fazliah Mahmud manakala Mohd Sapawi tidak diwakili peguam.

Zainal Abidin menetapkan 25 April ini bagi tarikh sebutan semula kes dan tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh./Bernama

Pelajar sekolah pilih suami orang

KULIM: “Masalah mengandung bukan serius seperti dulu. Terdapat ubat tertentu yang dijual di kebanyakan klinik dan ia mudah diperoleh, saya juga pernah memakan ubat itu empat bulan lalu,” itu kata seorang pelajar tingkatan lima yang hanya mahu dikenali sebagai Adik.

Adik mengakui dia menjalin hubungan cinta dengan suami orang berusia 26 tahun sejak setahun lalu.

Menurutnya, teman lelakinya yang mempunyai seorang anak itu bekerja sebagai seorang penyelia di sebuah kilang di Kulim Hi-Tech.

“Saya rasa lebih terjamin dan selamat sekiranya menjalinkan hubungan cinta dengan suami orang berbanding rakan sebaya kerana pada saya seorang lelaki bergelar suami merupakan lelaki paling penyayang dan bertanggungjawab,” katanya.

Adik berkata, dia hanya akan bertemu dengan kekasihnya pada hari cuti terutamanya Jumaat dan Sabtu. Untuk memastikan hubungan mereka tidak diketahui kenalan lain, mereka akan keluar bersama ke daerah lain untuk melepaskan rindu.

“Pada pagi hari Jumaat, saya selalunya akan ke sekolah untuk menjalani aktiviti kokurikulum antaranya berkawad. Saya akan ke sekolah seawal jam 7.30 pagi dan sampai kira-kira jam 8 pagi.

“Selepas meletakkan motosikal dalam sekolah, teman lelaki saya sudah menunggu dalam keretanya di luar sekolah. Selalunya kami akan ke Cameron Highlands yang terletak kira-kira tiga jam perjalanan dari Kulim.

Menurutnya, sebelum ke sana, teman lelakinya itu akan berhenti di hentian rehat Butterworth Kulim Express Highway (BKE) untuk menukar pakaian.

“Kami akan berada di pusat peranginan itu sehingga jam 3 petang sebelum berpatah balik ke Kulim dan sampai di sekolah sekitar jam 5.30 petang dan berada di rumah kira-kira jam 6 petang,” katanya.

Adik berkata, mereka juga sering bercuti bersama sekiranya pihak sekolah menganjurkan sebarang lawatan yang memerlukan masa dua hingga tiga hari.

Menurutnya, dia tidak akan mengikuti rombongan sekolah sebaliknya bercuti bersama kekasihnya dan akan berada di sekolah semula, sama seperti teman lain ketika rombongan itu tiba di sekolah.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR Cabang Kulim Bandar Baharu yang juga Pengerusi Pusat Khidmat Aduan Rakyat Parlimen Kulim Bandar Baharu, Suraiya Hashim berkata, beliau tidak menafikanramai remaja bawah umur lebih tertarik dengan suami orang berbanding rakan sebaya. Ini kerana, memiliki kekasih yang merupakan suami orang dapat memenuhi hampir keseluruhan kehendaknya sebagai pelajar sekolah.

Menurutnya, sebagai pelajar tidak banyak komitmen yang harus diberikan kerana remaja itu tinggal bersama keluarganya.

“Remaja bawah umur dijadikan kekasih hanya untuk tujuan berseronok semata-mata dan selalunya terjalin dalam jangka masa singkat.

“Bagi seorang suami, mereka hanya ingin berseronok apabila didampingi remaja bawah umur ini. Selain itu mereka tidak akan bosan melayan kerenah mereka kerana pasangan itu akan berjumpa seminggu sekali sahaja,“ katanya.

Suraiya berkata, bagi remaja perempuan mereka akan seronok apabila kekasih mereka memberi kad tambah nilai ke telefon mereka biarpun dengan nilai RM10 kerana jumlah itu sudah besar bagi mereka.

“Dalam masalah ini ibu bapa seharusnya melihat perubahan anak mereka. Bawa anak berjumpa doktor dan membuat pemeriksaan, sekiranya disahkan pernah melakukan hubungan seks, ibu bapa harus membuat laporan polis,” katanya./sinarharian

Ahad, 1 April 2012

Lelaki Nigeria cabul wanita tempatan mati dipukul

KUALA LUMPUR: Kebimbangan penghuni Kondominium Venice Hills di Batu 9, Hulu Langat dekat sini terhadap kebanjiran pendatang asing dari Afrika sampai ke kemuncaknya hari ini apabila seorang lelaki warga Nigeria mati setelah dibelasah kerana mencabul seorang wanita tempatan.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ab Rashid Ab Wahab berkata, mangsa berusia 35 tahun merupakan seorang pelajar di sebuah kolej swasta telah mencabul kehormatan seorang tukang cuci wanita berusia 43 tahun di kondominium itu pada 11 pagi.

"Wanita tersebut telah dipeluk dan dicium dari belakang oleh lelaki Nigeria itu yang juga menunjukkan kemaluannya kepada wanita itu. Wanita itu bagaimanapun berjaya melepaskan diri dan melaporkan kejadian itu kepada tujuh orang anggota Rela yang bertugas," katanya kepada pemberita di sini.

Ab Rashid berkata menyedari perbuatannya diketahui, lelaki Nigeria itu telah cuba melarikan diri ke kawasan lobi kondominium menggunakan lif namun dia berjaya ditahan oleh anggota Rela berkenaan.

Beliau berkata, anggota polis yang tiba ke tempat kejadian kemudian mendapati lelaki Nigeria itu yang diikat berada dalam keadaan tidak bermaya dan terus membawanya ke sebuah pusat perubatan terdekat, namun disahkan mati sebaik tiba.

Katanya, mayat mangsa kemudian telah dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat. Ab Rashid berkata, kesemua tujuh anggota Rela itu yang berumur lingkungan 20-an telah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, polis masih menyiasat sama ada lelaki Nigeria tersebut mati akibat dipukul menggunakan senjata atau sebaliknya.

Beliau berkata, ekoran kejadian itu beberapa lelaki Afrika telah berkumpul dan melahirkan rasa tidak puas hati mereka tetapi berjaya dileraikan oleh pihak polis.

Sementara itu saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Abu berkata, kira-kira 200 lelaki Afrika telah merusuh sebelum ketibaan pihak polis dan mereka telah merosakkan beberapa harta awam seperti pondok pengawal dan bilik gerakan Rela.

"Saya nampak mereka telah merusuh apabila mendapat tahu rakan mereka telah mati dan kejadian ini telah menakutkan penduduk setempat," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang sering mabuk sebelum ini pernah menimbulkan masalah kepada penduduk di kawasan itu./Bernama