Selasa, 19 April 2011

Gadis diculik, dikurung 11 hari

BUKIT MERTAJAM: “Sepanjang 11 hari dikurung, saya tak diberi makan, tak dibenarkan ke bilik air dan hanya terfikir mati kerana sering diugut untuk ditikam jika cuba melepaskan diri,” kata Nor Sahanita Rahmat, 15, menceritakan pengalaman ngerinya apabila diculik dan dikurung di sebuah rumah di Lunas, Kulim.

Remaja itu dilaporkan hilang pada 4 April lalu dipercayai membonceng motosikal bersama seorang lelaki berhampiran kawasan rumahnya di Kampung Bukit Kechil, Juru, dekat sini.
Bagaimanapun, katanya, dia sebenarnya diugut oleh kenalan kepada rakan perempuannya supaya mengikut mereka ke tempat yang dirahsiakan.

Nor Sahanita berkata, pada hari kejadian, dia diajak rakannya untuk berjumpa, tetapi apabila tiba di tempat dijanjikan, terdapat seorang remaja lelaki dan perempuan menunggang motosikal lain ada bersama rakannya itu.

“Remaja perempuan yang berusia belasan tahun itu minta saya dan rakan mengikutnya dan jika kami enggan, dia mengugut mahu menikam kami dengan pisau yang dibawa dan kerana takut kami berdua hanya mampu mengikut arahannya./hmetro

Direman kes bunuh di hotel

KOTA BHARU: Empat wanita direman enam hari bagi membantu siasatan kes kematian membabitkan seorang ibu lima anak, Rozi Hana Md Zin, 34, di sebuah bilik hotel, di sini, tengah hari kelmarin.

Suspek berusia antara 39 dan 49 tahun dari Kuala Lumpur itu ditahan pada petang hari sama.

Perintah tahanan reman yang bermula semalam itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Kota Bharu, Amni Mat Jahari bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut. Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, perintah tahanan reman itu bermula semalam sehingga 23 April ini.

Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian dengan kelalaian.

“Hasil laporan bedah siasat mendapati wujudnya unsur jenayah terhadap kematian mangsa.

“Bagaimanapun, kami masih meneruskan siasatan berhubung kes ini,” katanya./hmetro

Kakitangan MPK ke tali gantung

KUALA TERENGGANU: Seorang kakitangan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam selepas didapati bersalah membunuh seorang pemandu bas, Zaiton Mohamad atau lebih dikenal sebagai ‘Kak Nab’ pada 16 April 2008. 

Hakim, Datuk Abd Rahim Uda menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Zulhisham Fadly Mohamad, 30, dari Kemaman selepas mendapati pihak pembelaan yang diwakili dari Tn Law Chamber Of Abdullah gagal menimbulkan keraguan yang munasabah. 

Dalam penghakimannya, Abd Rahim menjelaskan seluruh keterangan saksi serta pendakwaan menjelaskan niat sebenar tertuduh adalah untuk membunuh mangsa dengan menanam mangsa bersama keretanya selepas memukul sehingga pengsan dalam satu pertengkaran antara mereka berdua. 

Katanya, sekiranya kejadian itu tidak berlaku dengan niat, tertuduh yang masih dalam keadaan waras dapat menyelamatkan mangsa dengan menghantarnya ke hospital kerana mangsa hanya pengsan selepas dipukul dan bukannya menanam mangsa bersama keretanya menggunakan jentolak. 

Katanya, laporan perubatan mendapati, mangsa meninggal disebabkan lemas tertimbus kerana hasil bedah siasat menemui pasir dalam kerongkong mangsa.

Dengan itu, mahkamah mensabitkan tertuduh bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas pihak pendakwaan yang dijalankan oleh Pendakwaraya Jazamuddin Mahmod berjaya membuktikan prima facie kes tersebut.

Sejurus keputusan dibacakan, ahli keluarga tertuduh termasuk isteri dan dua anaknya menitiskan air mata kesedihan namun sebaliknya tertuduh masih boleh tersenyum tenang di dalam kandang tertuduh.

Sebelum ini, tertuduh dituduh membunuh seorang pemandu bas yang juga ibu saudaranya pada 16 April 2008 di antara jam 10.30 pagi hingga 1 tengah hari di dalam kebun buah naga di Mukim Hulu Kemaman, Bukit Tebuan, Jalan Bukit Paka, Kemaman dengan bertindak menanam mangsa bersama keretanya di dalam lubang.

Dia menggunakan jentolak untuk menimbus mangsa yang ketika itu masih bernyawa selepas pengsan dipukul./sinarharian

Wanita dalam edah ditangkap khalwat

KAMPUNG RAJA: Seorang wanita yang masih dalam tempoh edah selepas dua bulan bercerai dengan suaminya ditahan Penguat Kuasa Pejabat Agama kerana disyaki berkhalwat dengan seorang duda di sebuah rumah dekat Jertih.

Dalam serbuan jam 3.45 petang itu wanita terbabit yang berusia 31 tahun dan pasangannya 28 tahun berada berdua-duaan di rumah sewa wanita itu di sebuah taman perumahan di Jertih. 

Bertindak atas maklumat orang ramai, serbuan dengan kerjasama polis yang diketuai Ketua Balai Polis Kampung Raja, Inspektor Yaakob Md Taib telah pergi ke rumah teres terbabit. 

Sebaik tiba di rumah itu, pintu rumah diketuk selama beberapa minit sebelum dibuka, wanita terbabit membuka pintu sambil mendukung anaknya berusia lingkungan setahun. 

Penguat kuasa dan polis memperkenalkan diri kemudian membuat pemeriksaan di dalam rumah itu dan menemui pasangan wanita tersebut berada di dalam tandas bilik utama rumah. 

Ketika ditanya hubungan mereka, lelaki itu memberitahu tidak mempunyai hubungan suami isteri atau muhrim dengan wanita terbabit. 

Wanita itu dikatakan baru berpisah dua bulan dengan suaminya ketika ditahan masih tempoh edah yang berbaki sebulan lagi. 

Menurut sumber, pasangan itu telah dibawa ke Pejabat Agama Daerah untuk diambil keterangan dan kemudiannya dibebaskan dengan jaminan waris terdekat masing-masing. 

Mereka dituduh melakukan perbuatan tidak bermoral iaitu berkhalwat disiasat di bawah Seksyen 31(a)dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (takzir) Terengganu 2001 jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali./sinarharian

Dua beradik dituduh bunuh Phat Phetpuk

KUALA TERENGGANU: Dua beradik warga Kemboja dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan membunuh seorang tekong warga Thailand di perairan Terengganu pada Mac lalu. 

Ariffin Salleh, 27, dan adiknya, Kadir Salleh, 25, dituduh membunuh Phat Phetpuk, warganegara Thailand kira-kira jam 1 tengah hari ketika menangkap ikan di perairan Terengganu pada 27 Mac lalu. 

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati. 

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud di hada-pan Majistret, Siti Faraziana Zainuddin. Siti Faraziana menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan semula kes. 

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Kadir turut didakwa atas pertuduhan cuba membunuh seorang nelayan warganegara Thailand pada hari sama kira-kira jam 1 tengah hari dalam bot nelayan di perairan Terengganu. 

Dia dituduh memotong tali bot dipegang mangsa ketika berada di laut dengan menggunakan pisau dengan niat dan gerak geri menyebabkan kematian./sinarharian

Tiga sahabat dibelasah 20 lelaki



NOR ditemani suaminya menunjukkan laporan polis berhubung kejadian dua anak mereka dipukul 20 lelaki di Nilai 3 semalam.
NILAI: Tiga sahabat termasuk dua beradik menempuh detik-detik menakutkan apabila dibelasah kira-kira 20 lelaki yang bersenjatakan pedang samurai dan kayu ketika sedang membeli burger di Pasar Borong Nilai 3 di sini Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 malam itu, kesemua mangsa mengalami kecederaan di kepala dan anggota badan sehingga terpaksa mendapat rawatan di hospital.
Ibu mangsa yang mahu dikenali sebagai Nor, 43, berkata, ketika kejadian, dua anaknya yang berusia 22 dan 19 tahun bersama seorang rakan berusia 19 tahun itu pergi ke pasar berkenaan untuk membeli burger.
Katanya, ketika sedang menunggu pesanan, sekumpulan 20 lelaki telah memanggil nama salah seorang anaknya itu.
"Sebaik panggilan disahut, kumpulan 20 lelaki berkenaan terus mengepung dan membelasah mereka tanpa sempat menerangkan puncanya.
"Lebih menakutkan lagi, beberapa lelaki berkenaan turut membawa kayu dan sebilah pedang samurai untuk membelasah mereka," katanya ketika ditemui di sini semalam./kosmo

Ahad, 17 April 2011

Warga emas tawar RM1,000

KUALA KRAI: Seorang warga emas dari Kampung Lela Jasa, Sungai Rek, dekat sini, meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang pemuda, juga anak angkatnya berusia 30 tahun, yang dikatakan melarikan barang kemas miliknya sejak dua minggu lalu. 

Warga emas terbabit, Esah Ngah, 72, mendakwa, kejadian berlaku awal pagi 1 April lalu, menyebabkan dia kerugian kira-kira RM12,000 selepas gelang tangan dan cincin emas miliknya itu dilarikan pemuda berkenaan. 

Esah yang kecewa dan terkejut dengan perbuatan anak angkatnya itu turut menawarkan ganjaran tunai RM1,000 kepada sesiapa yang berjaya mengesan lelaki terbabit dan menyerahkannya kepada polis. 

“Saya tak sangka dia sanggup buat begini sedangkan saya layan dia selama ini macam anak sendiri dan tidak pernah menghampakan permintaannya, termasuk bila dia minta duit belanja,” katanya kepada Sinar Harian. 

Esah berkata, kejadian cincin dan gelang tangannya dilarikan berlaku selepas anak angkatnya itu berpura-pura membantunya mencuci barang kemas terbabit dengan alasan berkarat. 

“Dia rendam cincin dan gelang dalam satu bekas, kemudian minta makcik ambilkan air tambah kerana katanya air tak cukup dan masa makcik pergi ambil air itulah dia larikan barang kemas berkenaan,” katanya. 

Esah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai kira-kira sejam selepas kejadian itu dan dimaklumkan pemuda terbabit memang dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes curi motosikal dan pecah rumah di beberapa daerah di negeri ini. 

Mengulas lanjut, Esah berkata, dia mula mengenali pemuda berasal dari Sibu, Sarawak, Mohamad Azhar Abdul Aziz selepas pemuda itu datang ke rumahnya pertengahan tahun lalu kerana berkawan dengan seorang anak bongsunya, Kamarulzaman Senik. 

“Selepas itu, Azhar (Mohamad Azhar) minta nak tumpang dan sepanjang tiga bulan tinggal di rumah makcik, dia memang tunjuk perwatakan baik dan orang kampung pun puji bila tengok dia pakai jubah bila pergi masjid. 

“Makcik pun tak pernah berkira bila dia kadang-kadang minta duit belanja kerana sudah anggap dia macam anak sendiri, jadi memang tak sangka dia sanggup buat begini,” katanya. 

Mereka mengenali Mohamad Azhar yang menunggang motosikal Yamaha LC berwarna merah bernombor DBP 2939 iaitu kenderaan sama digunakan ketika melarikan barang kemas milik Esah, diminta menghubungi Kamarulzaman menerusi 013-9759058./sinarharian

Bunuh Naib Pengerusi Pemuda MCA Padang Serai, dua lelaki terlepas hukuman gantung

ALOR SETAR: Dua pemuda hari ini dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar atas tuduhan membunuh naib pengerusi Pemuda MCA Padang Serai, Ching Eng Wah, empat tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Zakiah Kassim membuat keputusan itu ke atas Abdul Nirwan Abdul Aziz, 31, dari Tasik Gelugor, Pulau Pinang dan Mohamad Zalmizi Hasim, 27, dari Bachok, Kelantan, tanpa perlu dipanggil membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Dalam penghakimannya, Zakiah berkata pihak pendakwaan gagal memanggil dua saksi penting dan tiada saksi yang benar-benar melihat pembunuh dan pistol yang dijadikan barang kes tidak berfungsi.

Eng Wah, 43, ditembak di kepala semasa memberhentikan keretanya di persimpangan lampu isyarat jalan Lunas/Padang Serai semasa dalam perjalanan pulang selepas bersarapan bersama isterinya, Low Mui Keow pada 17 Ogos 2007.

Mengikut kertas pertuduhan, Abdul Nirwan dan Mohamad Zalmizi secara bersama dituduh melakukan kesalahan bunuh hingga menyebabkan kematian Ching Eng Wah dengan melepaskan tembakan menggunakan sepucuk pistol di persimpangan lampu isyarat jalan Lunas/Padang Serai kira-kira 8.50 pagi 17 Ogos 2007. 

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 34 kanun yang sama, iaitu hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

"Dalam kes ini, pistol yang ditemui di rumah seorang saksi berkarat menyebabkan tembakan ujian tidak dapat dijalankan manakala isteri mangsa tidak melihat dengan jelas (wajah) pembunuh.

"Walaupun isteri mangsa dapat mengecam pembunuh melalui kawat cam, namun ia hanya atas rasa syak yang kuat dan tidak boleh dijadikan keterangan atau bukti di mahkamah," kata Zakiah.

Kedua-dua tertuduh yang masing-masing mempunyai seorang anak perempuan semasa ditemui di luar mahkamah selepas dibebaskan bersyukur dengan keputusan itu namun masih menutup sebahagian muka mereka.

Abdul Nirwan berkata beliau akan mengadakan majlis khenduri kesyukuran manakala Mohamad Zalmizi akan pulang ke Bachok malam ini untuk menemui keluarganya.

Mereka diwakili peguam Noran Singh dan Ai Cha Ran manakala Timbalan Pendakwa Raya Ana Rozana Mohd Nor mengendalikan kes./Bernama

Rabu, 13 April 2011

Dibebas tuduhan bunuh isteri


Mohafri memeluk ibunya selepas dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan membunuh isteri di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor semalam.

SHAH ALAM: Kegagalan pihak pendakwaan memanggil seorang amah Indonesia dikenali sebagai Yayuk memberi keterangan menyebabkan Hakim Mahkamah Tinggi di sini semalam membuat keputusan melepas dan membebaskan seorang pengurus syarikat katering, Mohafri Mohamed daripada tuduhan membunuh isterinya, Fazlina Ahmad dua tahun lalu.
  
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki dalam alasan ringkas penghakimannya berkata, mahkamah kesal dengan tindakan pegawai penyiasat kes itu, Asisten Supritendan Siti Nathiroh Abu Bakar, 29, yang tidak memanggil Yayuk untuk memberi keterangan.
Polis melakukan siasatan terhadap Yayuk, pembantu rumah mangsa yang tiada dokumen, malah semua fakta mengenai penahanan dan pembebasan Yayuk adalah dalam pengetahuan polis.
“Kegagalan mengambil langkah untuk memastikan Yayuk hadir memberi keterangan adalah dikesali dan kegagalan itu telah menyebabkan kelompangan dalam kes pendakwaan,” kata beliau ketika membaca keputusannya semalam./kosmo

Bomoh hadapi tuduhan rogol empat pesakit


MESWAN menghadapi lima tuduhan merogol empat wanita di Mahkamah Sesyen Klang semalam.

KLANG: Seorang bomoh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas lima tuduhan merogol empat wanita termasuk dua remaja semasa merawat mangsa sejak tahun 2008.

Meswan Tujut, 42, membuat pengakuan itu selepas kelima-lima pertuduhan dibacakan dalam dua perbicaraan berasingan di mahkamah tersebut semalam.
Di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman, tertuduh didakwa merogol seorang remaja berumur 15 tahun di sebuah rumah di Sungai Udang, Klang di antara pukul 1 petang hingga 3 petang pada April 2008.
Meswan didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Di mahkamah yang sama, Meswan juga didakwa merogol seorang wanita berumur 22 tahun sebanyak dua kali dalam sebuah rumah di Sungai Nibong, Sekinchan pada pukul 8.10 malam, 8 dan 15 Mac lalu./kosmo