Jumaat, 31 Ogos 2012

Penjaga parkir mati dibunuh

BESUT: Seorang penjaga tempat letak kereta persendirian ditemui mati dibunuh di satu kawasan terpencil di hujung Kampung Gong Manok, dekat Kuala Besut di sini petang semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Faiza Jaafar, 27, berasal dari Kampung Beris Lampu, Kuala Besut dekat sini dipercayai diseksa sebelum dibunuh berdasarkan kesan tetakan senjata tajam serta kelaran di bahagian kaki dan belakang pinggang mangsa.

Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamaruddin Zakaria berkata, mayat mangsa yang merupakan duda beranak satu ditemui salah seorang ahli keluarganya pada pukul 2.40 petang selepas hampir dua jam kehilangannya.

"Mayat mangsa ditemui dalam keadaan duduk terlentang di satu kawasan sawah padi.

"Mangsa dipercayai mati akibat tetakan di bahagian lutut kirinya hingga hampir putus, betis kiri dan di belakang bahagian pinggang," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Polis percaya mangsa dibunuh antara pukul 5 petang hingga 9 malam Rabu lalu, katanya./Bernama

Lelaki dan rakannya didakwa bakar teman wanita

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan cuba membunuh teman wanitanya dengan cara membakar menggunakan petrol sehingga melecur anggota badan.

Turut didakwa rakan lelaki berkenaan dengan pertuduhan sama mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama mengikut Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim S. M Komathy Suppiah.

Teman lelaki wanita itu, Mohd Amir Mohd Anuar, 19, dan rakannya Muhammad Faiz Kamaruddin, 24, didakwa bersama-sama dengan niat cuba membunuh Nurul Firzanah Mat Zaki, 16, dengan membakarnya sehingga menyebabkan cedera sehingga 30 peratus pada anggota badannya.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kawasan semak di belakang Puspakom, Wangsa Maju pada pukul 3.15 pagi, 13 Ogos lalu.

Mohd Amir, yang bekerja di Hotel Sheraton, di sini, diwakili peguam Wan Azmir Wan Majid manakala Muhammad Faiz bekerja sebagai pengawal keselamatan tidak diwakili peguam.

Pendakwaan, yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazneen Zulkifli, tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kes tersebut tidak boleh dijamin.

Sementara itu, pegawai penyiasat kes tersebut, Insp Chua Sze Yuan, yang hadir ke mahkamah hari ini ketika ditanya Komathy memberitahu mahkamah bahawa mangsa masih koma dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Hakim Komathy menetapkan 27 September depan untuk sebutan semula kes.

Kedua-dua mereka ditahan di Penjara Sungai Buloh./Bernama

Khamis, 30 Ogos 2012

Remaja lesbian dicabul dalam kereta oleh ‘bomoh’

ROMPIN: Gara-gara menjalin hubungan cinta songsang, seorang remaja dibelasah dengan tongkat kayu sebelum dicabul dua lelaki di dalam sebuah kereta ketika dalam perjalanan dari Bandar Tun Razak ke Temerloh.

Gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Ina (bukan nama sebenar) bukan saja dibelasah dan dicabul, malah dia yang berada di tempat duduk penumpang belakang turut dimaki dengan kata kesat dan dipaksa makan cili api.

Lebih mengaibkan, seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai ‘bomoh’ sempat merakamkan gambar dan video Ina yang tidak berbaju itu dalam telefon bimbit sambil mengugut untuk menyebarkannya dalam Internet.

Ina yang berusia 19 tahun itu berkata, sepanjang perjalanan itu juga, dia didera fizikal dan mental apabila diasak pelbagai pertanyaan keluarga Tasha (bukan nama sebenar) dan bomoh terbabit tentang hubungan sejenisnya dengan wanita itu.

“Keluarga Tasha datang jumpa keluarga saya di rumah dan paksa saya supaya ikut mereka ke Temerloh kononnya untuk berbincang dan menyelesaikan secara baik kesalahan yang dilakukan saya terhadap Tasha,” katanya.

Menurutnya, ibunya yang bimbang sesuatu terjadi ke atas dirinya menghubungi abangnya memaklumkan tentang kedatangan keluarga Tasha ke rumahnya bagi menyelesaikan kes terbabit.

“Bagaimanapun keluarga Tasha tetap berkeras untuk membawa saya ke Temerloh untuk menyelesaikan perkara itu.

“Pada mulanya, mereka tidak membenarkan emak dan kakak saya ikut, namun setelah didesak beberapa kali akhirnya mereka terpaksa membawa kedua-duanya sekali ke Temerloh.

“Emak saya mula curiga, apabila saya dipaksa menaiki kereta berasingan sedangkan emak dan kakak menaiki kereta yang sama,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, atas alasan bomoh itu yang kononnya tidak berbuat apa-apa terhadap diri saya di dalam kereta terbabit, akhirnya ibu akur dengan alasan tersebut.

“Segala-galanya berubah apabila saya yang duduk di tempat penumpang belakang diapit abang Tasha dan bomoh telah bertindak kejam dengan memukul saya dengan tongkat kayu sambil melemparkan kata kesat,” katanya.

Ina berkata, bomoh itu turut merakamkan video dan gambar dia tidak berbaju sambil memaksanya untuk memandang kamera telefon bimbit tersebut.

Katanya, bomoh dan abang Tasha juga mengugut untuk membawanya ke sebuah penempatan Orang Asli kerana ada tujuh lelaki di situ yang sudah sedia menunggu untuk merogolnya.

“Bagaimanapun, ibu Tasha menghubungi anaknya itu supaya segera membawa saya ke rumah mereka kerana sudah lama menanti,” katanya.

Katanya, sebaik saja sampai di rumah ibu Tasha, dia dipukul wanita itu.

Menurutnya, kejadian dia dipukul itu hanya mampu disaksikan ibu dan kakaknya itu memandangkan mereka tidak dibenarkan untuk menghalang perbuatan kejam tersebut.

Bagaimanapun, katanya, sebaik dia tiba di rumah, dia menceritakan segala-galanya detik dia dicabul dan dipukul oleh bomoh dan abang Tasha kepada keluarganya sebelum laporan polis dibuat bagi menuntut keadilan bagi pihaknya.

“Pada mulanya, kita tak mahu memperbesarkan perkara ini, namun tindakan yang dilakukan oleh keluarga Tasha amat kejam hingga mendatangkan kecederaan dan mencabul kehormatan saya,” katanya.

Menurutnya, sehari selepas kejadian itu, dia membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 9 Shah Alam sebelum membuat laporan polis seterusnya di Balai Polis Bandar Tun Razak, Keratong.

Sementara itu, Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, Asisten Superintendan, Zainul Mujahidin Mat Yudin mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kes terbabit.

Zainul Mujahidin berkata, polis menahan seorang daripada suspek untuk membantu siasatan./sinarharian

'Geng 08' mengganas di Taman Musabika, Kalumpang

Rakaman CCTV
Rakaman CCTV menunjukkan beberapa orang bertindak memukul dan memecahkan cermin lori milik keluarga mangsa sambil ada yang membaling objek berapi ke dalam rumah.
CCTV
Rakaman CCTV menunjukkan beberapa orang bertindak memukul dan memecahkan cermin lori milik keluarga mangsa sambil ada yang membaling objek berapi ke dalam rumah.
Ahli keluarga mangsa menunjukkan cermin kereta Waja yang dipecahkan penjenayah terbabit.
Ahli keluarga mangsa menunjukkan cermin kereta Waja yang dipecahkan penjenayah terbabit.
Gunasegaran menunjukkan cermin pintu rumahnya pecah akibat dibaling dengan objek keras.
Gunasegaran menunjukkan cermin pintu rumahnya pecah akibat dibaling dengan objek keras.
KALUMPANG: Akibat dendam, sekumpulan ahli kongsi gelap bertindak memecahkan cermin empat kenderaan dan membakarnya serta membaling objek dipercayai berisi minyak tanah ke dalam rumah sebuah keluarga di Taman Musabika di sini dalam kejadian amuk awal pagi semalam.

Amukan lebih 10 orang lelaki yang sebahagiannya bertopeng itu disasarkan terhadap tiga keluarga bersaudara dengan motif menakut-nakutkan mangsa.

Salah seorang mangsa, G Gunasegaran, 24, berkata, kejadian jam 12.48 pagi itu dipercayai dilakukan ahli ‘geng 08’ yang bersenjatakan parang, besi serta kayu hoki.

“Ketika kejadian kami semua sudah tidur dan dikejutkan dengan bunyi bising serta dentuman.

“Kami lihat mereka bertindak ganas dengan memecahkan cermin kereta dan lori serta membaling objek berapi seperti bom minyak tanah ke badan lori dan ruang garaj rumah,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya.

Menurutnya, isterinya yang terkejut dengan tindakan itu menggigil ketakutan sambil menangis.

Katanya, kumpulan penjenayah itu datang menaiki dua kenderaan jenis Proton Perdana berwarna hitam dan Pajero warna cerah sebelum beredar lima minit kemudian.

Gunasegaran berkata, mereka bernasib baik kerana penjenayah terbabit lari setelah mendengar jeritan ibunya di rumah bersebelahan.

“Semuanya ketika itu cemas dan ketakutan kerana melihat tindakan ganas penjenayah tersebut dan tidak ada seorang pun berani keluar bimbang dicederakan.

“Kami hanya dapat melihat kereta Proton Waja, Perodua Kancil, lori tiga tan dan Naza Kia dipecahkan dengan hentakan berkali-kali menggunakan parang, besi dan kayu hoki,” katanya.

Katanya, mereka bernasib baik kerana kamera litar tertutup (CCTV) yang baru di pasang beberapa hari lalu dapat merakam kejadian itu.

Menurutnya, rakaman awal kira-kira lapan minit sebelum kejadian itu menunjukkan seorang lelaki dikenali mangsa melalui hadapan rumah mereka menaiki motosikal sambil menggunakan telefon bimbit dipercayai untuk memberi maklumat keadaan rumah mangsa kepada kumpulan terbabit.

Gunasegaran berkata, kejadian itu menjadi peristiwa hitam dalam keluarganya dan percaya dalangnya adalah ahli ‘geng 08’ yang sebahagiannya dikenali mangsa.

Difahamkan, ketua kumpulan itu telah ditahan pihak berkuasa berhubung kes ugutan menyebabkan anak buahnya datang bagi menakut-nakutkan keluarga mangsa.

Sementara itu, salah seorang ahli keluarga mangsa yang enggan namanya didedahkan berkata, mereka kini tinggal dalam ketakutan sehingga merasakan sudah tidak selamat.

Menurutnya, kewujudan geng tersebut di mana ahlinya daripada kalangan penduduk taman berdekatan menggusarkan lagi perasaan mereka.

Justeru, dia berharap pihak berkuasa bertindak tegas dengan menahan kesemua penjenayah terlibat dan mengenakan hukuman setimpal bagi mengelak kejadian sama berulang.

Halau penjenayah keluar

Keganasan dilakukan sekumpulan penjenayah dipercayai ahli ‘geng 08’ terhadap tiga keluarga di Taman Musabika semalam turut menimbulkan kebimbangan penduduk taman berkenaan.

Penduduk yang juga Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Hulu Selangor, B Raja Kumar, 31, berkata, tindakan kumpulan terbabit menjadi ancaman keselamatan terhadap penduduk dan hanya dengan menghalau mereka keluar daerah menjadi penyelesaian.

“Mereka semakin berani dan menunjukkan belang sehingga sanggup bertindak mengugut penduduk di sini.

“Kewujudan kumpulan ini sudah disedari lama kerana kegiatan mereka menconteng papan-papan tanda dengan simbol 08 kelihatan di semua tempat, tetapi sekarang mereka bertindak kejam,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Menurutnya, kumpulan terbabit dikatakan wujud sejak lebih tiga tahun lalu dan pengaruhnya semakin meluas.

Katanya, tidak cukup dengan ahli samseng, geng terbabit turut mempengaruhi remaja termasuk pelajar sekolah menyertai mereka.

Raja Kumar berkata, walaupun tidak pernah mendatangkan kecederaan tetapi tidak mustahil kumpulan itu akan bertindak lebih ganas jika tidak dihalang.

“Kita bimbang kejadian lebih buruk berlaku kerana tindak-tanduk mereka semalam sudah cukup menakutkan penduduk.

“Mereka langsung tidak menghiraukan keselamatan orang lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

Menurutnya, terdapat ahli keluarga mangsa membuat laporan polis dan siasatan mengenainya sedang dijalankan./sinarharian

Mayat ditemui dipercayai dibunuh

SHAH ALAM: Mayat seorang lelaki yang hanya berseluar dalam, dipercayai dibunuh, ditemui dalam Sungai Klang di Jalan Pelabuhan Utara-Pelabuhan Klang, Jumaat lalu.

Mayat lelaki itu ditemui orang awam yang melalui kawasan tersebut kira-kira jam 4.15 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, mayat yang mereput dan kembung itu tersangkut pada tebing sungai.

“Mangsa dipercayai dibunuh seminggu lalu dan didapati terdapat kesan kecederaan di belakang badannya.

“Bagaimanapun laporan bedah siasatan tidak dapat mengenal pasti punca kematiannya berikutan keadaan mayat yang mereput,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.

Menurutnya, polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri milik mangsa di lokasi kejadian.

“Mangsa hanya memakai seluar dalam saiz s, jenama V Camel berwarna kuning cair,” katanya.

Beliau berkata, motif dan lokasi sebenar pembunuhan mangsa disiasat.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

"Sesiapa kehilangan ahli keluarga boleh hubungi balai polis berhampiran ," katanya./sinarharian

Warga emas cabul cucu saudara ketika bersiar

SABAK BERNAM: Seorang warga emas bakal berhadapan tindakan undang-undang setelah dipercayai cuba mencabul kehormatan cucu saudaranya yang berusia enam tahun, Ahad lalu.

Difahamkan, kejadian sekitar jam 11.30 pagi tersebut berlaku apabila suspek dipercayai membawa mangsa bersiar-siar di kawasan berhampiran dengan menaiki motosikal.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohd berkata, suspek kemudiannya berhenti di satu lokasi di kawasan kebun di Parit 7 Sungai Leman sebelum mengarahkan mangsa untuk membuka seluar dan kemudian meraba mangsa.

“Mangsa yang berada dalam keadaan ketakutan kemudian menangis dan merayu supaya suspek menghantarnya pulang ke rumah," katanya.

Menurutnya, suspek kemudian menghantar mangsa pulang semula ke rumahnya sekitar jam 12 tengah hari.

“Kira-kira jam 8 malam, bapa mangsa mendapati mangsa menangis dan selepas didesak, mangsa memberitahu kejadian sebenar.

"Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang oleh bapanya bagi menjalani pemeriksaan lanjut,” katanya bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Besar.

Noor Mushar berkata, selepas menerima laporan, polis bertindak menahan suspek yang berusia lingkungan 68 tahun itu sekitar jam 2 pagi di kediamannya.

“Polis masih menjalankan siasatan dan suspek kini ditahan di bawah Seksyen 377E Kanun Keseksaan sementara siasatan dijalankan,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu beliau turut menasihatkan ibu bapa agar mengawasi pergerakan anak mereka agar kes sebegini dapat dielakkan pada masa hadapan.

"Ini juga sedikit sebanyak dapat membantu dan memudahkan polis dalam mengambil tindakan awal terhadap mana-mana pesalah undang-undang negara ini,” katanya./sinarharian

Ragut: Wanita ditetak hampir putus tangan

Ragut: Wanita ditetak hampir putus tanga
Orang ramai membantu mangsa yang cedera ditetak peragut di Kota Bharu, Kelantan hari ini.
KOTA BHARU: Seorang pembantu klinik swasta hampir putus pergelangan tangan kirinya selepas ditetak salah seorang daripada dua peragut di hadapan sebuah pusat jualan tudung di Jalan Sultanah Zainab di sini, hari ini.

Kejadian yang berlaku pada jam 1.30 petang itu berlaku ketika mangsa Rohaini Abdullah, 36, sedang berjalan kaki seorang diri di hadapan pusat jualan berkenaan untuk ke tempat letak keretanya, yang tidak jauh dari situ.

Ketika melalui jalan tersebut, dua peragut menghampiri mangsa dan berlaku pergelutan sehingga menyebabkan salah seorang dari peragut tersebut bertindak menetak mangsa menggunakan objek tajam.

Difahamkan mangsa yang berasal dari Kampung Pintu Geng di sini baru sahaja menamatkan kerja shif siang sebelum kembali semula untuk shif malam.

Ibu kepada dua cahaya mata yang pengsan selepas kejadian itu dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan.

Saksi kejadian, Hidayah Daud, 21, berkata kejadian itu berlaku di hadapan pusat jualan tudung berkenaan yang merupakan tempat dia bekerja.

“Ketika kejadian saya lihat peragut berkenaan menarik beg tangan mangsa namun tidak berhasil apabila mangsa berjaya menariknya.
“Selepas itu mangsa mula menjerit meminta tolong dan pergelutan di antara mereka kemudian terus berlarutan sehingga ke tepi jalan,” katanya.

Hidayah berkata, menyedari mangsa masih tidak melepaskan beg tangannya, peragut berkenaan seterusnya bertindak ganas dengan menetak pergelangan tangan kiri mangsa.

“Mangsa ditetak lebih tujuh kali sehingga terjatuh dan masa itu darah telah berlumuran pada tangan mangsa. Selepas itu peragut tersebut telah bertindak melarikan diri dengan membonceng motosikal yang ditunggang seorang lagi rakanya yang sudah menunggu apabila menyedari kehadiran orang ramai di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, peragut tidak sempat melarikan barangan berharga daripada mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan serius iaitu luka sedalam 38 sentimeter dan putus urat pergelangan tangan kiri.

Katanya, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan serta meminta orang ramai tampil membantu siasatan./sinarharian

Rabu, 29 Ogos 2012

Dua wanita Filipina dibunuh lelaki mabuk di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Seorang lelaki Filipina yang mabuk akibat meminum minuman keras bertindak ganas dan membunuh dua wanita di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Cenderakasih, Kolombong semalam.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP Jauteh Dikun berkata mangsa dikenali sebagai Bibia, 40, dan Jalijah, 30, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah setelah ditikam oleh suspek.

Suspek dilaporkan tinggal serumah dengan sepasang suami isteri dan dua wanita berkenaan, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata kejadian berlaku kira-kira 7 malam apabila pasangan suami isteri itu menegur lelaki berusia 30 tahun itu kerana tingkah lakunya yang ganas selepas meminum minuman keras secara berlebihan.

Katanya ini mencetuskan pertengkaran antara mereka sehingga lelaki itu hilang kawalan lalu bertindak menikam Bibia dan Jalijah.

Difahamkan suspek mengalami cedera parah ekoran satu pergelutan. Dia ditahan polis pada 8 malam dan kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu./Bernama

Bayi perempuan ditemui depan kedai surat khabar

Seorang bayi perempuan yang sihat dan cukup sifat ditemui di hadapan sebuah kedai menjual surat khabar di Jalan Sultan Omar di Kuala Terengganu hari ini.

Bayi yang dibalut dengan tuala berwarna biru dan hanya memakai lampin itu diletakkan dalam sebuah beg pakaian dan ditinggalkan di hadapan pintu kedai berkenaan.

Rozlan Shahril Hamzani, 31, yang menemui bayi itu ketika ingin memulakan perniagaan pada pukul 6 pagi, berkata beliau mendengar suara bayi menangis tetapi tidak menghiraukannya apabila bunyi tangisan itu hilang tidak lama kemudian.

"Masa nak buka kedai, saya nampak ada beg depan pintu dan tidak menyangka di dalamnya ada bayi. Saya terus alih (beg) letak atas bangku sebab ia diletak betul-betul di depan pintu kedai," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Rozlan Shahril berkata beliau kemudian memulakan kerja memasukkan sisipan surat khabar di perhentian bas sebelah kedai itu sebelum sekali lagi mendengar bunyi tangisan bayi.

"Masa itulah baru saya cuba periksa beg itu dan mendapati beg itu tidak ditutup... Saya terkejut apabila nampak ada bayi dalam beg itu," katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K. Manoharan berkata bayi berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

"Doktor mengesahkan bayi itu sihat dan dipercayai dilahirkan beberapa hari yang lalu berdasarkan keadaan bayi itu," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan/Bernama